Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

APAKAH PUNCA PERAIRAN PULAU PINANG DICEMARI LOGAM BERAT?

Perairan Taman Negara Pulau Pinang Turut Dicemari oleh Logam Berat.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perikanan mendedahkan kepada umum hasil siasatan berhubung masalah pencemaran logam berat yang dilaporkan berlaku di perairan Tanjung Bungah,Teluk Bahang dan Taman Negara Pulau Pinang di sini.

CAP terperanjat dan merasa bimbang dengan kejadian tersebut kerana ia bukan saja boleh menjejaskan hidupan laut di kawasan terbabit malah amat berbahaya kepada kesihatan awam.

Media tempatan melaporkan hasil kajian yang menunjukkan paras nikel yang tinggi telah dikesan kepekatannya iaitu 944% lebih tinggi dari paras biasa di kawasan Taman Negara Pulau Pinang.Kajian oleh Pusat Pengajian Pantai dan Marin Universiti Sains Malaysia (CEMACS) ini juga menunjukkan paras plumbum yang tinggi turut ditemui melebihi 184%,manakala kadmium 32% lebih tinggi dari paras biasa.

Menurut Profesor Datuk Dr Aileen Tan dari CEMACS masalah ini dikesan berlaku sejak dua bulan yang lalu dan menimbulkan kebimbangan dan kemungkinan menjadi penyebab hidupan marin mati.

Menurutnya, perkara ini telah dimaklumkan kepada JAS dan Jabatan Perikanan namun punca kejadian tersebut masih belum dapat dikesan.

CAP kesal dengan sikap pihak kerajaan Pulau Pinang, jabatan serta agensi yang terlibat kerana lambat menyiasat dan masih gagal mengesan punca pencemaran ini.  CAP menggesa agar analisa kandungan logam berat dalam ikan, kerangan dan sedimen di perairan di sini juga dilaksanakan.

CAP bimbang alam sekitar,hidupan marin dan sumber pendapatan nelayan tempatan akan terjejas jika masalah ini dibiarkan berlarutan.

Justeru, penglibatan dan tindakan bersepadu perlu dilakukan segera oleh kementerian yang berkenaan,kerajaan negeri,jabatan dan agensi berkaitan untuk mengambil tindakan segera bagi menangani isu yang menggemparkan ini.

CAP meminta hasil siasatan dan tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan mengenai masalah ini didedahkan kepada umum.

 

Kenyataan Media, 14hb Mei 2019

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt