Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Lynas Perlu Hentikan Memberi Maklumat Mengelirukan Mengenai Sisa Radioaktifnya

Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyatakan bahawa Lynas perlu berhenti mengelirukan orang ramai mengenai sisanya.

Kami menyatakan perkara ini sebagai maklum balas kepada Lynas Malaysia Sdn. Bhd. bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh kami di dalam media “tidak berfakta tepat” apabila kami berkata sisa daripada proses pembersihan air lupus ‘water leached purification’ (WLP) perlu dikeluarkan dari Malaysia, memandangkan sisa ini tidak boleh dianggap sebagai bahan radioaktif yang terujud secara semula jadi (naturally-occurring radioactive material - NORM), tetapi pada hakikatnya ia adalah sisa yang berpunca daripada peningkatan dengan teknologi, dan yang seterusnya diubah suai menjadikannya bahan yang lebih berbahaya.

Perkara yang mengelirukan adalah dakwaan Lynas bahawa ianya “fakta saintifik” yang sisa WLP “terdapat secara semula jadi”. Lynas mendakwa TIADA peningkatan teknologi yang meningkatkan tahap radioaktif kerana sisa thorium dan uranium ujud secara semula jadi.

Jelas,  bahawa dakwaan Lynas tidak saintifik dan menafikan fikiran logik.

Fakta mengenai perkara ini ialah bahan mentah yang diproses oleh kilang Lynas dibawa dari Australia dan dikeluarkan daripada keadaan semula jadinya. Sebaik sahaja dikeluarkan daripada tanah dan diproses menggunakan teknologi, bahan elemen radioaktif yang berlaku secara semula jadi tidak boleh dirujuk sebagai “ujud secara semula jadi” lagi, memandangkan ia bukan lagi berada dalam keadaan semula jadinya.

Sebarang pembuangan dan pemprosesan bahan radioaktif yang “ujud secara semula jadi” menjadi Technologically Enhanced Naturally Occuring Radioactive Material (TENORM) - yang dipertingkatkan oleh teknologi. Memanggilnya NORM adalah secara saintifiknya mengelirukan.

Sesungguhnya, Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (EPA AS) mendefinisikan TENORM sebagai “bahan radioaktif yang berlaku secara semula jadi yang telah dipadatkan atau terdedah kepada alam sekitar hasil aktiviti manusia seperti pembuatan, pengeluaran mineral atau pemprosesan air.”

EPA AS juga menyatakan “peningkatan teknologi” bermaksud radiologi, fizikal dan nilai kimia bahan radioaktif yang telah dipadatkan atau seterusnya berubah akibat pemprosesan atau dimanfaatkan atau diganggu secara meningkatkan potensi bagi manusia dan/atau pendedahan alam sekitar.”

Seterusnya, NORM didefinisikan sebagai “Bahan yang berkemungkinan mengandungi sebarang primordial (yang wujud sejak awal memandangkan ia terjadi dalam keadaan semula jadi) radionuklid atau elemen radioaktif  seperti radium, uranium, thorium, potassium dan produk reput radioaktif seperti radium dan radon, yang tidak terganggu hasil daripada aktiviti manusia.”

Sisa Lynas adalah pastinya TENORM sebagai elemen radioaktif yang berlaku secara semula jadi bila diganggu oleh proses teknologi akan menjadi lebih merbahaya. Proses teknologi ini merbahaya kerana ia melibatkan pengeluaran thorium dan uranium daripada tanah dan kepadatan akibat proses kimia dan mekanikal.

Kami menafikan dakwaan Lynas bahawa elemen radioaktif seperti uranium dan thorium dalam WLP boleh dicairkan dan menjadikan ia kurang radioaktif.

Sudah diketahui umum uranium dan thorium dan ‘anak-anaknya’ mempunyai jangka hayat yang panjang sehingga berjuta dan berbilion tahun.

Tiada seorang pun yang boleh mendakwa bahawa bahan radioaktif boleh disimpan dengan selamat selama berjuta dan berbilion tahun.

Tambahan pula, tiada paras radiasi selamat, memandangkan sebarang dos akan memberikan kesan sepertimana yang dinyatakan dalam laporan oleh U.S. National Academy of Sciences Biological Effects of Ionising Radiation (BEIR), dengan yang terbaharu adalah laporan ketujuh.

Hanya disebabkan kerajaan menetapkan apa yang dikenali sebagai pendedahan ‘paras yang dibenarkan”, ini tidak bermakna parasnya selamat, memandangkan terdapat pertimbangan lain dan ekonomi yang akan diambilkira dalam menetapkan ‘paras yang dibenarkan’, walaupun terdapat risiko kepada kesihatan awam dan alam sekitar.

Isunya ialah sama ada orang ramai atau penduduk di sekitarnya sanggup untuk menerima risiko terhadap kesihatan dan alam sekitar bagi generasi yang akan datang.

SAM dan CAP tidak boleh ditepikan sebagai tidak berkelayakan.

Kami telah mempelajari daripada kerja dan pengalaman dengan kilang Asian Rare Earth (ARE) di Bukit Merah, Ipoh, yang banyak mengajar kami pelajaran yang amat bernilai dan kita mesti mempelajari daripadanya.

Walaupun bahan mentah yang digunakan dan produk nadir bumi akhir di kilang Lynas berbeza daripada yang digunakan dan dihasilkan di kilang ARE, sisa yang dihasilkan oleh kedua-dua kilang itu adalah sama, di mana ia mengandungi uranium dan thorium dan terdapat cabaran yang besar dalam mengurus dan menghapuskannya.

Sisa ARE yang disimpan di Banjaran Kledang, Perak kini menjadi tanggungjawab Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) dan kerajaan Negeri Perak, dan ini adalah cabaran yang sangat besar dalam memastikan kemudahan pelupusan kekal diuruskan dalam cara yang lebih selamat untuk beratus juta dan bilion tahun akan datang.

Berkaitan sisa Lynas, pilihan terbaik dalam menjaga kesihatan awam dan alam sekitar ialah dengan menghantar sisa itu kembali ke Australia, supaya kerajaan Malaysia tidak perlu bertanggungjawab dalam menguruskan sisa ini, yang akan kekal radioaktif dalam jangka masa yang panjang.

Inilah hakikat yang sebenar. Kita tidak sepatutnya diperbodohkan atau dilalaikan untuk memikirkan bahawa sisa radioaktif bukannya masalah dan ia boleh dicairkan. Kita bincang mengenai keselamatan berjuta dan berbilion tahun akan datang dan tiada seorang pun yang dapat menjaminnya.

Lynas mestilah tidak dibenarkan untuk cuba mencari jalan keluar daripada janji kepada kerajaan, bahawa jika ia tidak dapat memenuhi syarat memindahkan sisa radioaktif kembali ke Australia, ia tidak seharusnya dibenarkan untuk beroperasi seterusnya.

Kenapa kerajaan Malaysia dan rakyatnya terpaksa membayar harga yang tinggi untuk generasi yang akan datang, hanya untuk keuntungan satu syarikat?

 

Surat Kepada Pengarang, 6 April 2019

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt