Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Budaya pengguna jejaskan kesejahteraan

Kemahuan kita yang tidak terbatas, keperluan yang tidak pernah berakhir, perbelanjaan yang tidak terkawal, pembelian yang tidak perlu dan pemilikan tidak terkawal telah mengakibatkan satu perkara – hidup yang tidak gembira, demikian amaran oleh saintis sosial. Penemuan ini muncul pada masa apabila budaya pengguna telah mencapai satu peringkat yang telah menjadi wabak, demikian ulasan Myers yang juga pengarang buku The American Paradox: Spiritual Hunger in an Age of Plenty yang diterbitkan pada tahun 2000.

Memiliki lebih banyak benda dan mengumpulkan lebih banyak kekayaan hanya memenuhi sebahagian sahaja; ia tidak memastikan kebahagiaan jangka panjang. Penyelidikan menunjukkan apabila seseorang itu memenuhi kehidupan mereka di sekitar matlamat luaran seperti pemilikan produk, mereka melaporkan kurang bahagia dalam perhubungan, perasaan muram dan lebih banyak masalah psikologi.

Dalam buku The High Price of Materialism, 2002, ahli psikologi Amerika, Tim Kasser dari Kolej Knox yang meneliti beberapa kajian di seluruh dunia, menulis: “Penyelidikan saintifik berhubung nilai kebendaan menghasilkan penemuan yang kekal dan jelas. Mereka yang menumpukan kepada nilai kebendaan mempunyai kesejahteraan diri yang rendah dan kesihatan psikologi berbanding mereka yang percaya kebendaan relatifnya tidak penting. Hubungan ini didokumentasikan dalam beberapa contoh mereka yang kaya hinggalah kepada mereka yang miskin, daripada remaja kepada yang tua dan dari Australia ke Korea Selatan.”

Lebih banyak, lebih kedekut      

“Hampir setiap orang percaya mendapat apa yang kita mahu akan menjadikan kehidupan dan diri lebih baik,” kata Kasser. “Kebijaksanaan biasa serta banyak teori psikologi berkata bahawa jika kita mencapai matlamat, harga diri dan kepuasan hidup kita akan meningkat...” Bagaimanapun, “mereka yang berjaya dalam usaha mereka untuk mendapat wang dan status sering kekal tidak memenuhinya apabila mereka mencapai matlamat mereka.”

Dalam beberapa tahun yang lalu, penyelidik melaporkan peningkatan dalam mendapatkan sesuatu dan perbelanjaan merosakkan perhubungan dan harga diri, meningkatkan risiko kemurungan dan kebimbangan, kekurangan masa untuk apa yang penyelidik nyatakan benar-benar menjadikan seseorang itu benar-benar gembira (seperti keluarga, persahabatan dan kerja), dan mungkin lebih sakit kepala.

“Budaya pengguna berterusan membanjiri kita dengan mesej bahawa  kebendaan akan menjadikan kita lebih gembira,” kata Kasser tetapi jauh daripada kebenarannya.

Mereka yang nilainya berpusat kepada pengumpulan kekayaan atau pemilikan kebendaan, berdepan dengan risiko tidak gembira termasuk kebimbangan, kemurungan, harga diri yang lebih rendah dan masalah dengan perhubungan tidak mengira usia, pendapatan atau budaya. Nilai kebendaan sebenarnya menjejaskan kesejahteraan kita kerana merasakan tidak selamat, melemahkan hubungan yang mengikat kita dan menjadikan kita kurang bebas.

Untuk maklumat lanjut, dapatkan buku Mencari Erti Bahagia terbitan CAP. Klik di sini.

Banyak harta, tidak gembira    

Kebanyakan orang mahu menjadi kaya raya. Tetapi salah satu perkara yang ditemui dalam kajian mengenai kebahagiaan ialah lebihan ringgit tidak memberi banyak perbezaan apabila keperluan asas anda telah dipenuhi.

Begitu juga, pendapatan yang lebih tinggi tidak semestinya membawa lebih kebahagiaan. Kajian menunjukkan apabila pendapatan meningkat untuk semua orang, kehidupan tidak banyak berbeza. Tahap kebahagiaan ditemui hampir sama antara 400 orang terkaya dalam senarai Forbes dengan puak Masai di Afrika Timur.

Kajian menunjukkan penduduk di negara kaya didapati tidak lebih gembira daripada mereka yang berada di negara miskin.

Seorang ahli psikologi dari Universiti Illinois, Edward Diener (yang membuat penemuan mengenai puak Masai itu) telah mengkaji selama lebih daripada 25 tahun. Salah satu penemuan menariknya ialah negara-negara kaya tidak semestinya yang paling gembira.

Diener dan ramai saintis sosial lain berkata apabila keperluan asas seseorang itu dipenuhi, peningkatan dalam pendapatan sangat sedikit, jika ada kesan ke atas kesejahteraan mereka.

Sementara itu, menurut ahli ekonomi British, Richard Layard, penulis Hapiness: Lessons from a New Sciece (2005), berkata pertumbuhan di negara-negara kaya sejak 1950-an tidak pula menyumbang kepada lebih kegembiraan.

Selepas pendapatan negara sebanyak AS$20,000 setahun, Layard berkata, “pendapatan tambahan tidak dikaitkan dengan perasaan lebih bahagia.”

Menurut ahli psikologi Oliver James, penulis buku They F*** You Up pula berkata, kebanyakan penduduk negara maju tidak lebih bahagia daripada penduduk yang hidup di zaman 1950-an yang kurang berharta.

“Mereka yang berusia 25 tahun pada hari ini 3 dan 10 kali lebih cenderung mengalami kemurungan berbanding tahun 1950-an. Apabila anda mencapai paras pendapatan tertentu dan pendapatan tahunan sekitar £15,000, peningkatan kekayaan tidak mempunyai kesan sama ada anda lebih gembira. Pada hakikatnya lebih banyak anda perolehi, lebih kurang anda gembira,” katanya.

Pengalaman Jepun        

Jepun merupakan sebuah negara miskin pada 1960, kemudiannya antara 1980-an pendapatan per kapitanya telah meningkat 4 kali ganda, meletakkannya antara yang tertinggi di negara perindustrian. Purata tahap kebahagiaan yang dilaporkan oleh orang Jepun tidak lebih tinggi dalam tahun 1987 berbanding 1960 (Happiness in Nations, 1993 – sepertimana yang dipetik oleh Robert H. Frank dalam “How Not to Buy Happiness” dalam Daedalus, Journal of the American Academy of Arts & Sciences, Vol. 133, Isu 2, Spring 2004).

Mereka memiliki lebih banyak mesin basuh, kereta, kamera, dan barangan lain berbanding sebelum ini tetapi mereka tidak menunjukkan skala kebahagiaan yang signifikan.

Rumusan yang sama juga dibuat oleh ahli ekonomi Richard Easterlin dalam kajian mengenai Jepun (“Does Economic Growth Improve the Human Lot? Some Empirical Evidence,” sepertimana yang dipetik dalam buku, Nations and Households in Economic Growth, 1974).

Beliau menjelaskan sejak 1950-an, pendapatan Jepun meningkat hampir 10 kali ganda tetapi orang Jepun tidak begitu gembira pada hari ini berbanding sebelum ini.

Pengalaman Jerman

Di Barat hari ini, peningkatan dalam pengeluaran ekonomi dan pengguna juga tidak lagi selaras dengan peningkatan tahap kebahagian mereka. Perkara ini berlaku di Jerman, walaupun “era 1980-an Jerman Barat mempunyai pendapatan dua kali ganda berbanding orang Ireland yang tahun demi tahun melaporkan lebih berpuas hati dengan kehidupan mereka,” kata David Myers, ahli sosiologi di Kolej Hope Michigan yang menulis buku The Pursuit of Happiness, pada 1993.

Begitu juga di BRITAIN, pendapatan mereka telah meningkat tiga kali ganda sejak 1950-an tetapi kegembiraannya tidak meningkat sama sekali, demikian menurut laporan The Sunday Times Britain (2 Oktober 2005).

Pengalaman Amerika

Di Amerika Syarikat, saintis sosial melaporkan bahawa selepas mencapai paras pendapatan AS$40,000, meningkatnya kekayaan turut menjejaskan kegembiraan.

“Berbanding dengan nenek moyang mereka, orang dewasa hari ini hidup dengan lebih mewah dan kaya tetapi tidak gembira dan berdepan risiko besar kemurungan dan pelbagai masalah sosial,” kata ahli psikologi Kolej Hope David G. Myers, PhD, pengarang artikel yang disiarkan di dalam American Psychologist (Vol. 55, No. 1).   
 
“Kita menjadi lebih baik dalam tempoh empat dekad yang lampau tetapi tidak diikuti oleh peningkatan kesejahteraan.”

Untuk maklumat lanjut, dapatkan buku Mencari Erti Bahagia terbitan CAP. Klik di sini.

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt