Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Hentikan Amalan Tidak Beretika Hospital Swasta

Apakah hospital swasta tidak mempunyai sebarang rasa tanggungjawab sosial korporat kepada pesakit mereka dan orang awam, terutama ketika negara sedang menghadapi saat-saat kecemasan, atau adakah ia merupakan masa/keadaan yang membuka peluang perniagaan untuk mengaut lebih banyak untung?

Baru-baru ini  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna telah mengenakan denda sebanyak RM200,000 terhadap sebuah hospital swasta di KL kerana mengenakan bayaran RM11.20 bagi penutup muka yang pada harga kawalannya cuma RM1.50 tiap satu.

Di Pulau Pinang, kami telah menerima aduan mengenai sebuah hospital swasta mengenakan bayaran RM5.00 pada pesakit-pesakit bagi “Langkah Berjaga-jaga untuk Pesakit Luar/A & E”. Istilah ini bermaksud bayaran untuk imbasan suhu (temperature scanning) apabila pesakit melangkah masuk ke hospital.

Dalam tempoh kecemasan Covid-19 ini, mengambil bacaan suhu mereka yang masuk ke hospital, pejabat, kedai dan sebagainya adalah atas arahan Kementerian Kesihatan. Dalam perkataan lain,  ia merupakan ketetapan undang-undang dan wajib dilaksanakan.

Oleh itu, adakah ia sesuatu tindakan yang beretika atau betul bagi pihak yang mengambil suhu badan mengenakan bayaran? Ia bukanlah satu bentuk cukai, tetapi semata-mata suatu pendapatan bersih kepada sesiapa sahaja yang melakukan imbasan tersebut. Pesakit dialisis misalnya harus mengunjungi hospital 3 kali seminggu. Oleh itu, mereka terpaksa membayar tambahan RM5.00 bagi setiap kunjungan. Amalan ini merupakan pencatutan.

Menurut Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), hospital swasta “bukanlah peruncit” tetapi sebaliknya menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan. Jika hospital membeli penutup muka dengan harga RM1.50 satu (yang tidak mungkin begitu kerana lebih murah apabila dibeli secara pukal) bermakna mereka telah menaikkan harganya sehingga 750% apabila mereka menjualnya kepada pesakit. Adakah etika profesion perubatan membenarkannya?

Tidak kisahlah sama ada hospital swasta merupakan peruncit atau tidak, itu bukan persoalannya. Penutup muka adalah barangan di bawah kawalan yang dijual dengan harga kawalan RM1.50 tiap satu. Ia mesti digunakan dalam tempoh kecemasan wabak Covid-19 ini. Apabila pihak hospital mengenakan RM11.20 kepada pesakit bagi setiap penutup muka yang digunakan oleh kakitangan hospital yang merawat mereka, bermakna pihak hospital menjual penutup muka kepada pesakit dengan harga yang sudah meningkat 750%.

Gambaran yang diberikan oleh APHM ialah hospital swasta tidak mengaut untung,  tetapi hanya sekadar untuk pulang modal dan perlu kreatif mencari jalan untuk memperolehi pendapatan tambahan. Kenyataan ini nampaknya tidak dapat diterima oleh orang ramai yang bertanya jika benar hospital swasta bukan mesin yang menjana kewangan, kenapa terdapat  begitu banyak hospital swasta?

Kami menyeru Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna agar memastikan hospital swasta tidak mengenakan bayaran berlebihan kepada pesakit. Dalam keadaan semasa yang meruncing, mereka  tidak sepatutnya mengeksploit pesakit dengan mengenakan bayaran tambahan yang tidak beretika. Hospital-hospital yang terbabit perlu diarah mengembalikan wang lebihan yang telah dikenakan kepada pesakit.

 

Surat kepada Pengarang, 1 Jun 2020

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt