Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

BERBELANJALAH DENGAN CERMAT UNTUK BARANGAN KELENGKAPAN SEKOLAH – CAP

Dianggarkan terdapat kira-kira 5 juta pelajar (dari pra sekolah hingga sekolah menengah) akan membeli pakaian seragam sekolah yang baharu dan barangan keperluan lain apabila sekolah dibuka tahun depan. Ibu bapa dijangka akan berbelanja lebih daripada RM2 bilion dalam tempoh ini sahaja.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) ingin menasihatkan ibu bapa agar tidak membeli pakaian seragam dan alat kelengkapan sekolah yang baharu jika yang sedia ada masih elok dan boleh digunakan lagi pada tahun depan.

Kami berasa bimbang melihat keadaan ekonomi yang tidak menentu dan sudah tiba masanya kita mengawal perbelanjaan dengan berjimat-cermat seberapa yang boleh. Dengan keadaan harga barangan yang semakin naik, adalah penting kita berbelanja mengikut keperluan, bukan membazir wang  ke atas barangan yang tidak diperlukan sekarang.

Kenapakah kita perlu berbelanja ratusan ringgit untuk membeli alat kelengkapan sekolah padahal yang digunakan selama ini masih elok? Wang yang dijimatkan boleh digunakan ke atas perkara yang lebih penting misalnya mendapatkan makanan berkhasiat untuk keluarga, ataupun membayar yuran sekolah, perpustakaan dan sukan. Kita tidak sepatutnya lupa mungkin kita perlu membayar yuran bas sekolah atau yuran tuisyen; oleh itu wang yang dijimatkan itu mampu menampung keperluan lain pada masa depan.

Membeli kelengkapan persekolahan sememangnya menyulitkan dari segi kewangan. Pakaian seragam sekolah bersama beg sekolah, kelengkapan alat tulis dan kasut boleh mencecah RM200.00. Itu belum termasuk  peralatan sukan, buku dan keperluan lain.

Satu hal lagi yang membimbangkan ialah pengumuman Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching di Dewan Rakyat pada 6 Disember 2018. Beliau berkata,  mulai 2019, pelajar menengah rendah dibenarkan membawa peralatan komputer ke sekolah bagi menggantikan buku teks.

Jika perkara ini laksanakan, akan terdapat jurang perbezaan di antara pelajar berdasarkan latar belakang ekonomi mereka. Pelajar dan ibu bapa yang miskin akan tertekan. Pernahkah kementerian memikirkan tentang pelajar yang komputer mereka rosak atau hilang? Ini tentu akan menambah beban kewangan ibu bapa.

Meskipun perbelanjaan meningkat 30%, ibu bapa perlu menambah perbelanjaan sebanyak RM40 bagi setiap anak berbanding apa yang dibelanjakan pada tahun sebelumnya. Jumlah ini boleh dikatakan agak tinggi kerana ia boleh menekan perbelanjaan sesebuah keluarga. Banyak wang yang  perlu dikeluarkan pada awal tahun.

Mengenai pakaian seragam sekolah, memandangkan kebanyakan pelajar mempunyai dua pasang pakaian untuk dipakai,  agak mustahil pakaian itu sudah tidak boleh digunakan lagi pada tahun depan, oleh itu tidak perlu membeli yang baharu.

Sekiranya 70 peratus (3.5 juta) daripada pelajar berkenaan tidak membeli dua set pakaian seragam setiap seorang, berdasarkan apa yang benar-benar diperlukan dan sebuah beg, maka RM1.2 bilion dapat dijimatkan di seluruh negara. Jumlah ini tidak termasuk pelbagai barangan sekolah lain.

Dengan penekanan sistem pendidikan ke atas penglibatan pelajar dalam aktiviti ko-kurikulum, ibu bapa terpaksa pula membeli pakaian seragam untuk kelab/persatuan yang disertai anak mereka. Ia boleh menelan kos RM100 setiap satu dan bergantung kepada berapa banyak kelab dan persatuan yang pelajar itu sertai.

Ibu bapa tidak seharusnya terlalu taksub untuk mendapatkan benda baharu pada awal penggal persekolahan. Idea sebegini sebenarnya sudah terlalu dikomersialkan. Anak-anak perlu dididik agar menghargai wang dan terus menggunakan barangan yang masih elok. Bagi pakaian seragam, pakailah mana yang masih ada, kecualilah pakaian itu sudah tidak muat ataupun mereka hadir ke sekolah buat kali pertama.

Persatuan Guru - Ibu bapa (PTA) perlu bekerjasama dengan ibu bapa untuk merungkai “budaya” tidak sihat seperti itu, yang boleh menyebabkan ibu bapa yang tidak mampu akan stres dan bimbang. Tambahan pula, bukanlah pakaian seragam baharu yang akan menentukan kejayaan akademik pelajar dan nilai ini perlu diterap dalam minda ibu bapa. Ia boleh menyebabkan  pemisahan antara mereka “yang berada” dan “mereka yang kurang berada”.

Selain itu, CAP turut menggesa kerajaan agar segera memeriksa kualiti pakaian seragam yang berada di pasaran. Kualitinya perlu berkeadaan baik dan boleh dipakai dalam jangkamasa yang sewajarnya.

 

Kenyataan Akhbar, 13 Disember 2018

 

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt