Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Pengguna Hidup Di Luar Kemampuan Mereka

Pengguna hidup di luar kemampuan mereka disebabkan kenaikan harga makanan. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah lama mendedahkan peningkatan dalam harga makanan sejak berdekad tetapi malangnya gesaan kami tidak mendapat perhatian.

Kita kini mengalami kos sara hidup yang tinggi disebabkan oleh pelbagai faktor dan salah satu daripadanya ialah kita terlalu bergantung terhadap makanan import yang memberikan kesan negatif kepada pengaliran keluar Ringgit kita, terutama sekali apabila mata wang kita yang lemah.

Pada pertengahan 2018, laporan mendedahkan susu cair kita yang dikeluarkan di seluruh negara cukup hanya untuk memenuhi 5% keperluan tempatan, selebihnya perlu diimport. Ini jelas seperti yang boleh dilihat di dalam jadual di bawah ini:

CAP secara aktif menyokong pertanian sejak berdekad. Malaysia gagal dalam sektor pertanian disebabkan kita terlalu bergantung kepada hasil pertanian import. Terdapat perbezaan yang begitu ketara dengan jiran kita, Thailand, yang memajukan sektor pertanian pada 1960, memanfaatkan sepenuhnya buruh dan tanah terbiar.

Malaysia dilaporkan membelanjakan RM3.2 bilion untuk buahan dan sayuran yang diimport pada 2016. Keutamaan pertanian kita di salah tempat disebabkan pada 2012, Malaysia memiliki 5.1 juta hektar (ha) penanaman kelapa sawit berbanding 52,582 ha untuk sayuran dan 205,467 ha untuk buahan. Keluasan bagi tanaman sayuran dan buahan hanyalah 258,049 ha atau hanya 5.1 peratus daripada yang digunakan untuk penanaman kelapa sawit.

Kemerosotan nilai Ringgit juga memberikan kesan terhadap kos pengeluaran dalam bentuk peralatan pertanian dan bahan kimia pertanian yang lebih mahal.

Kita juga tidak mempunyai dasar pengeluaran makanan yang lestari menjadikan kita mudah terjejas dalam keadaan seperti hari ini. Lebih-lebih lagi, rantaian bekalan makanan daripada ladang ke meja secara kasarnya tidak cekap yang membolehkan pelbagai peringkat orang tengah mengaut keuntungan daripada proses ini. Terdapat juga dakwaan sindiket mengawal harga dan bekalan makanan.

Bagi perikanan, nelayan terutama sekali pukat tunda telah memupuskan sumber marin. Diramalkan bahawa perairan di seluruh negara akan pupus ikannya menjelang 2048. Kemerosotan bilangan ikan turut disumbangkan oleh penggunaan peralatan yang diharamkan seperti pukat rawa sorong yang mengaut hasil lebih daripada paras yang lebih lestari.

Di samping pengambilan ikan berlebihan, penggunaan peralatan bukan pilihan juga turut memerangkap ikan bukan komersial, anak-anak ikan komersial dan juga spesies marin lain. Malah daripada melepaskan semula ikan bukan komersial dan anak-anak ikan komersial ke laut, ia diproses menjadi makanan haiwan.

Apabila rantaian makanan terputus akibat perikanan berlebihan, ia akan menjejaskan seluruh ekosistem akuatik. Dengan kepupusan kekayaan sumber marin, kita boleh menjangkakan harga ikan akan meningkat naik. Ikan serumbu (Big Jawed Jumber), Ikan Kurau (East Asian Fourfinger Threadfin), Ikan Ubi (Sleeper Goby) dan Ikan Kedera (Greenback Mullet) kini sukar untuk ditemui di pasaran.

Kami menyarankan kepada nelayan supaya menghentikan penangkapan ikan ketika musim pembiakan bagi membolehkan penambahan stok akuatik di samping mengelak daripada penggunaan peralatan perikanan yang diharamkan.

Kami menggesa kerajaan mengubah seluruh dasar pertanian, pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan, rantaian bekalan makanan, dan juga sektor perikanan yang tidak lestari. Tanpa membaik pulih sepenuhnya adalah mustahil untuk memulihkan semula kerosakan yang telah dilakukan sejak hampir empat dekad yang lalu.

 

Kenyataan Akhbar, 8 Ogos 2019

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt