Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Senaman dan Penuaan

Penuaan bukan sekadar muncul kedutan pada wajah. Tubuh kita juga berubah seiring dengan pertambahan usia di mana otot mengecut dan hilang jisim, otot jantung semakin kurang berkesan mengepam darah, kadar metabolik (bagaimana tubuh menukar makanan kepada tenaga) menjadi perlahan; tulang menjadi kurang padat dan mudah retak/patah, dan sendi semakin kurang anjal.

Akibatnya: Obesiti, paras kolesterol naik, artritis dan osteoporosis. Obesiti boleh menyebabkan penyakit jantung, kanser dan penyakit-penyakit lain. Orang pada umumnya bukan mati kerana usia tua sebaliknya kerana penyakit yang dihidapi.

Penuaan yang sihat boleh dinikmati dengan selalu bersenam. Penyusutan tulang, otot, kulit, saraf dan sel-sel yang dikaitkan dengan pertambahan usia boleh diperlahankan dengan melakukan senaman. Dalam satu kajian, risiko komplikasi jantung yang membawa maut di kalangan pesakit yang menghidap penyakit arteri koronari turun sehingga 20-25% dengan bersenam. Kajian juga mendapati sekalipun mula bersenam pada usia yang agak lewat, kesan-kesan penuaan masih boleh diperlahankan.    

Hasil Kajian Menunjukkan:

Keadaan fizikal yang tidak aktif boleh menyegerakan penuaan, pengecutan otot, penurunan ketahanan diri dan kehilangan keanjalan serta keseimbangan (penyelidikan mengenai perubatan tingkah laku, Universiti Texas).

Mengamalkan gaya hidup santai juga boleh menambah risiko keretakan tulang pinggul. Dalam satu kajian, wanita yang menghabiskan masa kurang dari 4 jam berjalan didapati menanggung risiko dua kali ganda keretakan tulang pinggul berbanding wanita yang lebih aktif.

Bersenam 30 minit setiap hari membantu jantung, tulang dan minda kekal sihat. Mereka yang selalu bersenam mengalami kira-kira 40% kurang kemerosotan mental apabila usia bertambah berbanding mereka yang mengamalkan kehidupan yang santai.

Berjalan, mengangkat berat, latihan regangan dan senaman-senaman lain boleh membantu golongan berusia menjauhi ketidakupayaan yang dikaitkan dengan peningkatan usia, dan menerbalikkan proses penuaan itu sendiri (penyelidik Universiti Texas, AS).

Maklumat yang Terkumpul: Satu program berjalan kaki bagi warga berusia 70-an menerbalikkan 22 tahun penurunan kapasiti paru-paru dalam tempoh 22 minggu. Program mengangkat berat selama dua minggu menguatkan otot kaki wanita yang berusia 64 tahun ke atas. Mereka yang berlatih berjalan beberapa hari seminggu mengurangkan risiko ketidakstabilan dan mempertingkatkan kemampuan mereka menaiki anak tangga, bertinggung,  dan melutut.

Dari sudut klinikal, orang yang selalu bersenam di sepanjang kehidupan mereka mampu mengendalikan aktiviti harian dengan  lebih baik dari segi fizikal apabila mereka memasuki usia tua (Dr Chuck McCauley, jabatan kardiologi, Marshfield Clinic, Wisconsin, AS)

Belum terlambat untuk memulakannya: Dalam satu kajian, apabila beberapa orang yang berusia 50 tahun dan gemar hidup santai mula bersenam selama 1 jam sehari, 4-5 hari seminggu, keupayaan aerobik mereka didapati kembali sebagaimana ketika mereka berusia 20-an (“Staying Alive”, The Age, Australia, 11 Mac 2004)

Dapatkan lebih banyak maklumat mengenai kebaikan senaman melalui buku terbitan CAP, Bersenam Sebagai Ubat.

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt