Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Melupuskan Barangan Isirumah Dengan Selamat

Tidak tahu apa yang perlu dilakukan dengan semua barangan kimia yang disimpan di rumah? Berikut adalah bagaimana untuk melupuskannya dengan selamat.

Apabila anda mahu membersihkan rumah, pertimbangkanlah apa yang akan berlaku kepada semua ubatan, racun makhluk perosak, bahan kimia, pembersih, pelarut cat dan bateri selepas anda membuangnya ke dalam tong sampah atau membuangnya melalui sink dapur atau membuangnya ke longkang.

Sesetengah bahan kimia menjadi lebih berbahaya apabila bercampur dengan bahan kimia lain, sisa makanan atau hanya air. Sesetengah barangan berbahaya kerana ia mengandungi logam berat  dan racun lain yang mencemarkan tanah dan saliran air.

Bahan kimia mudah terbakar dan benda tajam mendedahkan risiko kepada orang lain terutama pengutip sampah dan pengendalinya, kanak-kanak dan binatang apabila mereka mengangkat sampah itu.

Jelas anda tidak mahukan semua barangan ini berada di rumah kerana ia boleh membahayakan keselamatan dan kesihatan keluarga. Jadi apa yang perlu anda lakukan dengannya?

Berikut adalah beberapa bahaya terhadap kesihatan dan alam sekitar yang dikaitkan dengan produk yang biasanya ditemui di rumah dan pilihan untuk melupuskannya dengan selamat.

Cat dan produk berkaitan

Cat, pencair, varnis, cat kayu, pelarut, methylated spirits, turpentin, gam dan likatan.

Masalahnya:

• Barangan ini mudah terbakar.
• Ia boleh mengeluarkan wasap beracun apabila terbakar.
• Ia juga beracun kepada tumbuhan, binatang, manusia dan hidupan akuatik.
• Tin aerosol berpotensi untuk meletup jika dipanaskan atau ditebuk.
• Cat berasaskan minyak mengandungi pelarut mudah terbakar dan berusnya hendaklah dibersihkan dengan turpentin yang turut menghadapi masalah untuk melupusnya.

Penyelesaiannya:

• Gunakan cat berasaskan air berbanding berasaskan minyak seberapa boleh.
• Kiralah kawasan yang perlu dicat dan belilah tin cat yang kecil yang boleh memenuhi keperluan anda.
• Jangan sekali-kali membuang cat ke dalam sink atau longkang di luar rumah.
• Gunakan cat sehingga habis atau lebihannya bolehlah berikan kepada kawan atau jiran yang boleh menggunakannya. Mungkin terdapat pusat pengumpulan cat berdekatan kediaman anda untuk projek komuniti.
• Cat lama yang telah keras boleh dibuang bersama dengan sampah biasa. Biarkan penutup tin terbuka jika tinggal sedikit (sebolehnya di luar rumah, supaya wasapnya tidak menjejaskan) atau tuang ke atas kertas suratkhabar dan biarkannya kering barulah dibuang.
• Jika tiada satu pun pilihan itu yang praktikal, hubungi majlis tempatan untuk mendapatkan nasihat.

Sisa perubatan  

Ubatan, jarum dan picagari (termasuk produk haiwan).

Masalahnya:

• Jika dibiarkan di sekitar rumah, ubatan yang telah tamat tempoh atau terbiar mendedahkan risiko keselamatan terutama sekali kepada kanak-kanak atau mereka yang mempunyai masalah penglihatan.
• Jika anda membuangnya ke dalam sampah isirumah, kanak-kanak atau binatang boleh berdepan dengan risiko keracunan.
• Membuang ubatan ke dalam tandas atau sink boleh menjejskan rawatan kumbahan (yang bergantung kepada bakteria dan organisme lain untuk mengurai sisa).
• Jarum dan picagari yang telah digunakan mendedahkan risiko keselamatan kepada pengendali sisa buangan, kanak-kanak dan binatang.

Penyelesaiannya:

• Jangan letakkan botol mengandungi ubat pil atau cair ke dalam sampah.
• Keluarkan pil yang tidak diperlukan daripada bungkusan dan bungkus ke dalam kertas suratkhabar. Rendam kertas suratkhabar untuk melarutkan pil, kemudian letakkan ke dalam beg plastik dan lupuskannya ke tempat sampah biasa.
• Bagi ubatan cair, jika terdapat hanya sejumlah kecil yang tinggal, buangkannya ke atas lapisan kertas yang boleh meresap, bungkuskannya dan masukkan ke dalam beg plastik dan masukkannya ke dalam tong sampah.

Produk pembersih isirumah

Amonia, peluntur klorin, disinfektan, cecair cucian kering, pembersih longkang, pengilat dan pembersih ketuhar.

Masalahnya:

• Sesetengah pembersih mengeluarkan wasap berbahaya apabila bercampur (dan berpotensi membunuh) contohnya beberapa pembersih tandas dengan peluntur.
• Jika anda membuangnya dengan jumlah yang besar melalui sink atau tandai ia boleh mengganggu bakteria yang mengurai sisa buangan di dalam proses rawatan kumbahan.

Penyelesaiannya:

• Jangan sekali-kali membuangnya melalui sink atau longkang. (Sesetengahnya jelas melalui sink ketika anda mencuci tetapi dalam jumlah yang kecil ia tidak menjejaskan. Bagaimanapun, penggunaan yang banyak boleh membunuh bakteria dalam sistem kumbahan dan mungkin menjejaskan kesihatan manusia dan alam sekitar.)
• Gunakan produk itu sehingga habis atau berikannya kepada jiran atau kawan yang boleh digunakan oleh mereka.
• Seberapa yang boleh gunakan alternatif yang kurang berbahaya.

Bateri

Masalahnya:
• Kadmium dalam bateri kadmium nikel yang boleh dicaj semula (NiCads) merupakan logam berat amat beracun.
• Bateri kereta mengandungi plumbum dan asid mengakis.

Penyelesaiannya:

• Bateri nikel logam hidrid yang boleh dicaj semula (NiMHs) tidak mengandungi bahan beracun dan boleh dilupuskan dengan sampah isirumah.
• Menggunakan bateri yang dicaj semula bermakna lebih sedikit bateri yang akan dibuang.
• Jangan bakar bateri, ia boleh mengeluarkan wasap berbahaya dan boleh menyebabkan letupan.
• Bagi bateri kereta lama anda, serahkan kepada kedai bateri. Apabila anda membawanya ke kedai kendalikan dengan berhati-hati, pastikan asidnya tidak bocor.

Bahan api, minyak dan bahan mudah terbakar lain

Masalahnya:

• Bahan api mudah terbakar dan amat berbahaya untuk disimpan di dalam rumah. Jika anda tidak memerlukannya, tidak perlulah anda menyimpannya.
• Minyak kenderaan yang sudah digunakan mengandungi beberapa bahan kimia beracun dan mungkin mengandungi plumbum.
• Minyak dan air tidak bercampur: jangan masukkan minyak kenderaan atau minyak masak ke dalam sistem kumbahan.

Penyelesaiannya:
• Minyak kenderaan yang telah digunakan boleh dikitar semula dan kedai boleh menerimanya. (Anda boleh meminta mekanik untuk mengitarnya apabila anda menukar minyak itu.)
• Kumpulkan minyak masak yang telah digunakan dalam botol plastik untuk dibuang bersama sampah biasa.

Fikirkan

• Fikirlah sebelum anda membuang sesuatu produk itu adakah ia boleh membahayakan orang lain, binatang peliharaan dan binatang lain, atau alam sekitar.
• Cara yang paling baik untuk mengelakkan masalah pelupusan produk berbahaya di masa depan ialah dengan membeli dan menggunakan produk alternatif tidak berbahaya seberapa yang boleh dan hanya membeli apa yang anda benar-benar perlukan dengan kuantiti yang diperlukan.

Lakukan dan elakkan

Lakukan:

• Gunakan produk alternatif tidak berbahaya seberapa yang boleh.
• Apabila mempunyai pilihan belilah yang hanya diperlukan.
• Berikan bahan lebihan  kepada seseorang yang boleh menggunakannya.
• Simpan bahan kimia dengan berhati-hati di tempat yang kering, peredaran udara yang baik, dikunci dengan selamat di tempat yang jauh daripada kanak-kanak dan binatang peliharaan.
• Biarkan produk dalam bekas asal dan tuliskan tarikh dibeli pada label.
• Jika anda membawa bahan kimia ke tempat pembuangan sisa berbahaya pastikan ia dibungkus dengan selamat dan dilabelkan dengan jelas.

Elakkan:

• Menyimpan bahan kimia dalam bekas makanan atau minuman.
• Membuang bahan kimia berbahaya melalui sink atau tandas – loji rawatan kumbahan tidak boleh mengurai semua bahan toksik dan ia boleh menghasilkan wasap yang berpotensi meletup. Sesetengah bahan kimia mengganggu proses biologi yang digunakan dalam penguraian kumbahan.
• Membuang bahan kimia berbahaya (termasuk minyak kenderaan) ke dalam longkang kerana ia akan memasuki sistem air bawah tanah.
• Menanamnya di dalam tanah kerana ia boleh meracuni tumbuhan dan hidupan liar, mencemarkan tanah dan melarut resap ke dalam sistem air bawah tanah.
• Melainkan dinyatakan sebaliknya dalam artikel ini, jangan buang ke dalam tong sampah. Ia kelihatan tidak berbahaya tetapi bahan kimia boleh bertindak balas dengan bahan lain, kemungkinan menghasilkan wasap berbahaya, malah menyebabkan kebakaran atau letupan dalam trak sampah atau pusat sisa buangan. Di tempat pelupusan sampah pula ia boleh melarut resap ke dalam tanah dan sistem air bawah tanah.

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt