Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Operasi penipuan ancam keselamatan negara

Kita kini sudah berada di tahun 2020 namun insiden warga China masuk ke Malaysia bagi menjalankan operasi penipuan mereka masih berterusan sejak 2019. Menjelang Tahun Baharu, 23 warga China ditahan dalam satu serbuan membabitkan operasi penipuan di Damansara Perdana sementara 87 warga China ditahan di Puchong dua hari kemudian, juga bagi tujuan yang sama. Selanjutnya pada pertengahan Disember lalu dilaporkan seramai 3,185 orang telah ditahan ekoran 181 serbuan yang dijalankan di seluruh negara.

Adakah mereka menganggotai satu kumpulan jenayah atau pelbagai kumpulan jenayah yang tidak berkaitan? Kami tidak dapat mengesahkannya tetapi satu hal yang pasti, bahagian jenayah terancang PDRM perlu menyiasat operasi penipuan itu hingga ke akar umbi. Dalang tempatan perlu segera dibanteras agar operasi penipuan warga China di Malaysia dapat dihentikan.

Selain itu, jabatan imigresen perlu mengenakan syarat dan prosedur visa yang lebih ketat untuk menghalang orang luar daripada masuk ke negara ini menggunakan visa pelancong tetapi menjalankan operasi penipuan. Sungguhpun perkara ini boleh menjejaskan industri pelancongan negara, harus diingat terdapat ramai orang luar yang berjaya menyusup masuk ke Malaysia di bawah alasan palsu. Jika orang luar boleh berbuat begini untuk menjalankan operasi penipuan, tidak mustahil mereka juga boleh menjalankan lain-lain aktiviti jenayah.

Sehubungan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta PDRM dan jabatan imigresen untuk mempertingkatkan usaha mereka dan mengambil kira saranan kami demi menjamin keselamatan negara. Kami berharap rakyat akan berasa lebih selamat tahun 2020 ini.


Kenyataan Akhbar, 3 Januari 2020

alt

alt

alt

alt

alt