Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Elak makanan yang diproses untuk mengawal tekanan darah

alt

Menurut data terbaharu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang diterbitkan pada April 2011, kematian akibat hipertensi atau tekanan darah tinggi di Malaysia mencecah 1,251 atau 1.22% daripada jumlah kematian secara keseluruhan. Kajian mendapati 1 dalam tiga atau kira-kira 32.7% penduduk Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas mengalami hipertensi.

Hipertensi merupakan satu keadaan yang dikaitkan dengan peningkatan risiko strok, kegagalan kardiak, kegagalan renal dan penyakit vaskular feriferal.

Beberapa faktor dan keadaan boleh menyumbang kepada perkembangan tekanan darah tinggi termasuk berbadan gemuk, kurang bersenam, stres, merokok, meminum alkohol dan mengambil terlalu banyak garam dalam makanan.

Dalam satu kajian terbaru, penduduk Malaysia didapati mengambil kira-kira 8.7 gram garam sehari iaitu 1.7 kali lebih tinggi daripada 5 gram garam sehari yang disarankan oleh WHO.  Garam makan (natrium klorida) menjadi penyumbang utama natrium dalam makanan penduduk Malaysia. Satu sudu kecil atau 5 gram garam memberikan 2,000 mg  natrium.

Terdapat beberapa alasan kenapa rakyat Malaysia memakan terlalu banyak garam:

•    Tabiat makan pada hari ini yang tidak menyihatkan dengan terlalu bergantung kepada makanan yang mudah dibeli (seperti makanan dalam tin, makanan segera, makanan siap dihidang, makanan penjaja) dan makanan yang diproses (seperti snek bergaram, roti yang disediakan secara komersial).

•    Bahan penambah natrium yang tersembunyi di dalam makanan yang diproses. Beberapa contoh bahan-bahan ramuan ini ialah monosodium glutamate atau MSG (penambah perisa), sodium saccharin (bahan pemanis), sodium phosphates (penstabil pengemulsi, penggebu), sodium caseinate (bahan pemekat dan pengikat) dan sodium nitrite (bahan pengawet). Terdapat lebih 40 jenis bahan penambah berasaskan natrium yang dibenarkan di dalam makanan yang diproses.

•    Bahan perasa yang masin atau tinggi kandungan garamnya yang tersembunyi, ditambah ke dalam makanan ketika memasak.

•    Tabiat gemar memakan beberapa jenis makanan tempatan yang masin seperti ikan masin, telur masin dan sayuran masin.

•    Kaedah pemprosesan makanan moden. Kadang-kadang garam ditambah ke dalam buah-buahan dalam tin atau yang dibekukan untuk mencegah buah daripada bertukar ke warna gelap serta menambah perisanya. Misalnya minuman sitrus dalam tin atau botol kadang-kadang ditambah sodium citrate ke dalamnya.

Pengambilan garam yang berlebihan juga telah dikaitkan dengan beberapa masalah kesihatan selain daripada menaikkan tekanan darah. Ia turut meningkatkan risiko kanser perut, meningkatkan kemerosotan dalam fungsi buah pinggang pesakit renal; ia dikaitkan dengan batu dalam saluran kencing;  dan mungkin mencetuskan asma dan osteoporosis.

Walaupun adalah penting pengguna dinasihatkan supaya mengurangkan pengambilan garam atau memilih makanan yang rendah kandungan garamnya, penggunaan garam yang meluas dalam makanan yang diproses, makanan yang disediakan atau dimakan di luar  menjadi penghalang utama dalam usaha mengurangkan pengambilan garam dalam makanan. Oleh itu terdapat keperluan untuk mengurangkan kandungan garam dalam makanan dan minuman yang diproses.

Bertepatan dengan Hari Hipertensi Sedunia pada 17 Mei ini dan sehubungan dengan kes-kes hipertensi yang terus meningkat dalam kalangan penduduk Malaysia, Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa kerajaan supaya:

•    Mewajibkan pengeluar melabel kandungan natrium pada produk makanan.

•    Menghentikan iklan bagi produk makanan yang mengandungi terlalu banyak garam seperti mi segera atau makanan segera, sewaktu masa tontonan TV bagi kanak-kanak.

•    Melancarkan kempen besar-besaran untuk menggalakkan pengguna melakukan banyak aktiviti riadah dan bersenam untuk mengelak daripada menjadi gemuk.

Sementara itu semua pengguna dinasihatkan supaya:

•    Mengelak makanan diproses yang mengandungi kandungan natrium yang tinggi.

•    Mengurangkan garam dan bahan perasa ketika memasak makanan di rumah, sebaliknya menggunakan pelbagai herba dan bahan perasa asli untuk menyedapkan makanan.

•    Memilih makanan yang kurang bergaram dan bersos ketika membeli makanan, tanpa mengira sama ada untuk membawanya pulang atau makan di tempat makan.

•    Baca panel maklumat pemakanan (NIP) dan ketahuilah kandungan natrium atau garam dalam makanan yang hendak dibeli.

Kenyataan Akhbar - 16 Mei 2014

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt