Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Hentikan Hidangan Daging dari Sumber Haiwan yang Diberi Antibiotik – CAP

Bersempena dengan Hari Hak Pengguna Sedunia, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa mengharamkan penggunaan antibiotik dalam makanan ternakan.

Kami juga menggesa rangkaian makanan segera supaya berhenti daripada menghidangkan daging yang diperolehi daripada haiwan ladang yang diberikan antibiotik.

Negara-negara Kesatuan Eropah (EU) dan beberapa buah negara lain telah mengharamkan penggunaan antibiotik bukan atas alasan perubatan dalam makanan ternakan untuk membendung krisis yang berpunca daripada kekebalan antibiotik. Pelbagai antibiotik, termasuk yang paling beracun, semakin kurang berkesan dalam melawan penyakit hingga menimbulkan krisis kesihatan awam di seluruh dunia.

Antibiotik sering dicampur ke dalam makanan untuk mencepatkan pembesaran haiwan ternakan. Di Amerika, 70% antibiotik digunakan untuk haiwan. Di Malaysia pula, penggunaan antibiotik dalam makanan ternakan terus berleluasa tanpa sebarang halangan.

Consumers International, badan penaung dunia bagi persatuan pengguna di seluruh dunia, telah mengeluarkan satu laporan yang mengetengahkan kegagalan rangkaian makanan segera mengeluarkan secara berperingkat penjualan produk daripada sumber daging haiwan yang diternak menggunakan antibiotik secara rutin.

Menurut laporan tersebut, McDonald’s hanya melaksanakannya di dua (Amerika dan Kanada) daripada 100 negara di mana ia beroperasi.

KFC pula tidak menunjukkan sebarang komitmen yang bermakna sementara Subway hanya membuat komitmen dalam cuma 1 daripada 111 negara di mana ia beroperasi.

Di Malaysia terdapat bukti secukupnya yang menunjukkan bakteria kebal antibiotik terkandung dalam pelbagai produk makanan yang dijual di negara ini.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada 2012 menemui separuh daripada ayam tempatan yang diuji kebal kepada tiga jenis antibiotik. Ayam yang diimport pula menunjukkan tahap kebal antibiotik yang lebih tinggi, dengan 50-87%  daripadanya kebal kepada antibiotik yang berbeza.

Tambahan pula, 75% ayam hidup yang dijual di pasar di Selangor diuji positif bagi antibiotik Campylobacter. Kira-kira 25-95% bakteria tersebut kebal kepada antibiotik yang berbeza. Lebih sepertiga sampel bakteria menunjukkan kekebalan kepada pelbagai ubat.

Sampel daging burger beku yang diambil dari pasar raya dan kedai runcit menunjukkan kehadiran kuman Listeria monocytogenes yang kebal kepada pelbagai ubat dalam hampir separuh sampel.

Penggunaan antibiotik yang meluas dalam ternakan tidak mengejutkan. Sewaktu CAP membuat tinjauan di Kedah dan Perlis, kami mendapati antibiotik erythromycin mudah ditemui di kedai-kedai yang menjual makanan ternakan. Kami diberitahu antibiotik perlu diberi makan secara rutin kepada haiwan untuk mencepatkan pembesarannya.

Erythromycin juga digunakan untuk mengubati penyakit manusia. Dalam tinjauan sama, kami juga mudah membeli erythromycin di farmasi di luar bandar tanpa memerlukan preskripsi. Ini  jelas mencabuli undang-undang yang sedia ada.

Mikrob yang kebal kepada antibiotik kini menjadi salah satu ancaman kesihatan paling serius di negara kita.  Jangkitan daripada bakteria kebal kerap berlaku malah sesetengah patogen menjadi kebal kepada beberapa jenis antibiotik. Dengan meningkatnya ketidakberkesanan “ubatan pilihan terakhir” ini, kita kini sedang menuju ke arah bencana kesihatan.

Jika dibiarkan tanpa sebarang tindakan, kekebalan terhadap antibiotik akan membunuh 10 juta nyawa setahun pada 2050.  Ia dijangka membunuh 4.73 juta orang di Asia sahaja

Berikutan krisis yang berpunca daripada pengambilan antibiotik, CAP menggesa Kementerian Kesihatan dan Pertanian agar:

·         Mengharamkan antibiotik dalam makanan ternakan seperti yang dilaksanakan oleh negara-negara EU.

·         Membentuk satu sistem kebangsaan untuk memantau penggunaan dan penyalahgunaan antibiotik dalam makanan haiwan.

·         Mendidik dan melatih penternak mengenai penggunaan antibiotik yang betul.

CAP turut menasihati pengguna agar tidak mengunjungi rangkaian makanan segera yang masih belum menghentikan penggunaan daging haiwan ternakan yang diberi antibiotik.

Untuk mengurangkan pendedahan kepada sisa antibiotik dan bakteria kebal antibiotik, pengguna dinasihatkan mengelak daripada memakan makanan segera di samping mengurangkan makan daging.

Kenyataan Akhbar, 15Mac 2016

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt