Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Adakah Anda Makan Plastik?

alt

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memperingatkan pengguna untuk mengelak daripada memakan makanan yang dimasak menggunakan sendok dan sudu plastik atau makanan panas yang disimpan di dalam bekas plastik. Daripada perspektif kesihatan awam, plastik yang dipanaskan adalah sumber pendedahan terhadap elemen berbahaya yang tidak sewajarnya dan langkah yang lebih tegas dan ketat mestilah diambil untuk mencegahnya.

Penggunaan plastik telah meningkat dengan pesat. Pengeluaran plastik global pada 2012 meningkat kepada 288 juta tan – peningkatan 2.8% berbanding 2011.

Plastik berada dalam hampir apa sahaja barangan yang kita gunakan dan orang ramai termakan secara tidak disedari. Kita tentunya tidak akan makan plastik sekiranya kita mengetahuinya tetapi apabila kita makan atau minum sesuatu yang disimpan dalam plastik, terutamanya makanan atau cecair yang panas, plastik mungkin akan bergabung bersama dan masuk ke dalam tubuh kita.


Kajian dan tinjauan CAP menunjukkan bahawa ramai pengguna kini menggunakan kaedah merebus atau mendidih terus makanan dalam lapisan plastik berbungkus. Kuih tradisional seperti nasi himpit, Huat kuih, Thee kuih (kuih bakul) prabungkus direbus atau dipanaskan dengan pembungkus plastik. Makanan ini secara tradisinya dibungkus dalam daun pisang, teratai, buluh, pandan atau palas sebelum distimkan, direbus atau dibakar.

Kami juga pernah melihat penggunaan lembaran plastik untuk melapik Idli (sejenis makanan dari India Selatan) apabila ia distimkan. Adalah juga menjadi perkara biasa untuk melihat pengguna “tapau” atau membungkus minuman panas dalam beg polythene. Bekas plastik (khususnya Styrofoam) juga menjadi pilihan bagi mengisi makanan untuk dibawa pulang, malah apabila membungkus makanan panas.

Menyimpan makanan dan air dalam bekas plastik mungkin memudahkan tetapi adakah ia selamat sepenuhnya? Saintis alam sekitar memberi amaran bahawa sejumlah kecil bahan kimia sintetik yang digunakan dalam pemprosesan, pembungkusan dan penyimpanan makanan yang kita makan boleh melarut resap, berinteraksi dan menyebabkan kerosakan kepada kesihatan kita dalam jangka panjang.

Kebimbangan ini telah ditimbulkan dalam Journal of Epidemiology and Community Health, sebahagian daripada British Medical Journal. Walaupunbahan kimia dalam jumlah kecil ini mungkin tidak berbahaya tetapi tiada sesiapa pun yang mengetahui sejauhmana selamatnya pendedahan sepanjang hayat terhadap bahan kimia ini melalui pengambilan makanan yang dibungkus, atau disimpan atau dimasak dengan plastik.

Kajian yang diterbitkan pada awal 2008 dalam Toxicology Letters menyarankan bahawa cecair atau makanan panas memburukkan lagi larutresapan dalam plastik mengandungi BPA. Apabila penyelidik menuang air mendidih ke dalam botol minuman polycarbonate, ia menyebabkan sehingga lebih 55 kali Bisphenol A (BPA) meresap keluar berbanding air pada suhu bilik.

Ftalat, bahan kimia yang menjadikan bekas Polyvinyl Chloride (PVC) anjal, boleh migrasi keluar daripada plastik apabila ia dipanaskan. Ftalat boleh melarutresap ke dalam makanan, menghasilkan ketidakseimbangan hormon dan kecacatan ketika lahir.

Sesetengah bahan kimia dalam plastik yang menimbulkan kebimbangan adalah diregulasi dan sesetengah plastik dikatakan berkualiti gred makanan. Bagaimana pun, kami bimbang pengguna yang memakan makanan berproses atau berbungkus cenderung terdedah kepada paras rendah bahan kimia ini sepanjang hayat mereka.

Budaya guna buang plastik telah mewujudkan keperluan untuk mengitar semula. Walaupun sektor tersusun wujud, industri kitar semula tidak tersusun juga berkembang. Di sinilah terdapat kemungkinan pencemaran gred plastik yang berbeza. Jika penggunaan produk akhir dihasilkan daripada plastik seperti ini adalah dalam bentuk bekas makanan dan botol air, khususnya untuk kanak-kanak, ia akan memberikan kesan ke atas kesihatan. Kita juga terlepas pandang pelarutresapan bahan kimia dari pusat pelupusan sampah yang meresap ke dalam air bawah tanah disebabkan oleh sisa plastik yang tidak diuruskan dengan baik.

Plastik dihasilkan dengan memanaskan komponen minyak mentah atau gas asli, menggabungkan banyak bahan kimia dalam proses yang dipanggil polymerization. Sebagai tambahan kepada polimer asas, plastik juga mengandungi komponen bahan kimia tambahan dipanggil bahan tambah (aditif)yang ditambah dalam sejumlah kecil untuk mengubah sifat polimer dalam cara yang dikehendaki dan/atau mempermudahkan prosesnya.

Industri plastik menyatakan bahawa prosespolymerizationmengikat bahan kimia bersama. Bagaimana pun, proses ini tidak pernah 100% sempurna dan sesetengah bahan kimia ini mungkin berpindah atau melarutresap keluar daripada produk plastik dan memasuki apa sahaja yang bersentuh dengannya – makanan, air dan sebagainya.

Banyak bahan kimia dalam plastik boleh mengganggu fungsi biasa sistem endokrin kebanyakan haiwan termasuklah manusia. Kesan daripada pengganggu endokrin ini boleh memusnahkan dan berkekalan. Janin dan bayi paling mudah terjejas kepada serangan ke atas sistem endokrin kerana tubuh mereka sedang membesar.

Penilaian sains pengganggu endokrin yang disediakan oleh sekumpulan pakar untuk Program Alam Sekitar PBB (UNEP) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2012 menyatakan bahawa pelbagai sistem terjejas oleh Bahan Kimia Pengganggu Endokrin (Endocrine Disrupting Chemicals - EDCs) termasuklah semua sistem hormon dan daripada pengawalan tumbesaran dan fungsi organ reproduktif kepada tisu dan organ yang mengawal metabolisme dan kekenyangan. Kesan ke atas sistem ini boleh membawa kepada obesiti, ketidaksuburan atau kurang subur, kesukaran dalam pembelajaran dan ingatan, diabetes apabila dewasa atau penyakit kardiovaskular, serta pelbagai jenis penyakit lain.

Ramai orang membuang pelbagai jenis sampah dan pada masa yang sama membakarnya. Membakar dengan plastik dan getah boleh juga mengeluarkan bahan kimia toksik dan gas seperti dioksin ke persekitaraan.

Maklumbalas pihak industri plastik terhadap amaran yang dikeluarkan oleh pencinta alam sekitar bahawa bahan kimia toksik itu mungkin berpindah daripada semua plastik berlaku hanya pada paras yang amat rendah yang tidak menyebabkan bahaya. Kami mengakui bahawa terdapat kekurangan penyelidikan untuk membuat kenyataan yang pasti terhadap risiko ketoksikan plastik, tetapi terdapat bukti yang cukup untuk menimbulkan prinsip pencegahan.

Dengan demikian CAP menggesa supaya Prinsip Pencegahan (Precautionary Principle) digunakan. Jika terdapat sebarang keraguan mengenai keselamatan atau kesan kesihatan daripada bahan kimia, ia mestilah dilarang sehingga ia boleh dibuktikan sebagai tidak berbahaya. Membuat kesilapan dari segi risiko akan mendedahkan orang ramai terhadap bahaya kesihatan. Melindungi kesihatan manusia dan alam sekitar daripada bahaya plastik, memerlukan pencegahan.

CAP menggesa pengguna supaya mengelakkan daripada meletakkan makanan dan minuman panas dalam plastik atau memasak makanan dengan sendok plastik dan menyimpan makanan panas dalam bekas/lembaran/pelapik/beg plastik. Terdapat banyak pilihan seperti kaca, seramik, keluli tahan karat untuk menyimpan atau memanaskan makanan; dan pembungkus dan pelapik tradisional untuk memasak seperti daun dan kain linen/kapas.

Elakkan Plastik.


Sidang Akhbar, 11 November 2014

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt