Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Keluarkan Pengesahan Halal bagi Ubatan dan Suplemen Makanan

alt

CAP berasa bimbang dengan penjualan ubatan dan suplemen makanan yang mengandungi bahan-bahan yang dilarang pengambilannya oleh umat Islam di hospital dan farmasi. Ramai orang Islam memakannya tanpa menyedari mereka melanggar hukum syarak.

Ubatan dan suplemen yang mengandungi unsur-unsur sumber porcine (dari sumber babi) dan bovine (dari sumber lembu), antaranya gelatin yang digunakan di dalam pembuatan kapsul, digunakan dalam sektor kesihatan dan mudah dibeli dari farmasi tanpa perlu mendapatkan preskripsi doktor. Misalnya, ubatan untuk ciri-birit dengan jenama dagangan Imodium mengandungi porcine dan dipreskripsi oleh doktor atau boleh dibeli di farmasi.

Pelbagai suplemen yang tidak memerlukan preskripsi doktor juga mengandungi sumber porcine atau bovine untuk kapsulnya. Misalnya sejenis suplemen yang popular, Centrum Miltivitamin mengandungi porcine dan bovine. Tidak dinyatakan daripada mana sumber bovine itu diperolehi malah lembu mungkin tidak disembelih mengikut hukum syarak.

Malaysia tidak mempunyai sebarang undang-undang yang mewajibkan pelabelan produk perubatan dan suplemen. Kandungan produk sahaja yang perlu dinyatakan pada label. Maklumat di atas label boleh memaklumkan pengguna mengenai  isi kandungan produk dengan bahan-bahan yang diharamkan dalam Islam. Tetapi kadangkala tulisan pada label terlalu kecil menyebabkan pengguna, khususnya golongan tua, tidak dapat membacanya. Tambahan pula, kebanyakan pengguna tidak memahami istilah teknikal pada label seperti ‘porcine’ dan ‘bovine’.

Pengesahan halal pada label adalah perlu demi memudahkan pengguna Islam memilih ubatan dan suplemen yang tidak dilarang oleh agama. Di Australia, pertubuhan Halal Certified Medicine mengeluarkan logo HCM yang diletakkan pada produk setelah mereka yakin ia tidak mengandungi bahan ramuan yang dilarang. Farmasi di sana memperkenalkan produk-produk yang disahkan kehalalannya. Maklumat bercetak mengenai initiatif ini disertakan bersama.

alt

Di India, produk makanan dalam paket perlu dilabel dengan penanda yang diwajibkan bagi membezakan antara vegetarian dan bukan vegetarian. Prosedurnya amat mudah: dengan mencetak simbol bulatan hijau untuk makanan vegetarian dan simbol bulatan perang untuk makanan bukan vegetarian pada paket. Melanggar peraturan ini boleh dianggap telah melakukan satu kesalahan. Pendekatan yang serupa boleh dilakukan di sini berhubung produk farmaseutikal dan suplemen.

Bagi pengguna Islam, isu Halal dan Haram adalah penting kerana ia membabitkan soal akidah. Di dalam al Quran, Allah memerintahkan umat Islam supaya memakan hanya makanan yang Halal lagi Baik. Justeru itu, kami menggesa pihak berkuasa supaya memaktubkan undang-undang yang mewajibkan pengesahan Halal bagi semua ubatan dan suplemen dengan secepat mungkin. Langkah ini akan turut menyumbang kepada perkembangan Malaysia sebagai hub bagi produk yang Halal selaras dengan dasar negara.

Kenyataan Akhbar - 23 April 2014

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt