Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Fikir. Makan. Jimat: Elakkan Pembaziran Makanan

Sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2013, Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa pengguna agar menghentikan dengan segera pembaziran makanan. Tema sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia tahun ini ialah Fikir. Makan. Jimat, merupakan kempen antipembaziran dan kehilangan makanan untuk menggalakkan pengurangan makanan kita.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, setiap tahun 1.3 juta tan makanan dibazirkan. Ini bersamaan dengan jumlah yang sama yang dihasilkan di seluruh sub-Sahara Afrika. Pada masa yang sama, satu dalam setiap tujuh orang di dunia tidur dalam kelaparan dan lebih daripada 20,000 kanak-kanak di bawah usia lima tahun mati setiap hari akibat kebuluran.

Pada tahun lepas sahaja di Pulau Pinang, sisa makanan merupakan kira-kira 45% daripada 288,377 tan sisa pejal yang dikumpulkan dari kawasan komersial dan domestik, demikian menurut Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP). Ini merupakan kira-kira 355,000 kg makanan yang dibuang setiap hari di Pulau Pinang.

Siapakah yang membuang sisa makanan ini? Mereka terdiri dari isirumah, tempat makan (restoran, hotel, penjaja atau pusat komersial yang menghidangkan makanan), peruncit makanan, dan pasar.

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh CAP di beberapa restoran di Pulau Pinang, pemilik restoran mendedahkan bahawa kira-kira 5% hingga 10% makanan yang telah dimasak yang tidak  dapat dijual dibuang begitu sahaja setiap hari. Pada masa yang sama, peratus makanan yang dipesan oleh pelanggan dan tidak habis dimakan berakhir sebagai sisa ialah 10%.

CAP menemubual kira-kira 10 pemilik restoran di Pulau Pinang berhubung pembaziran makanan. Sesetengah pemilik restoran yang menyediakan perkhidmatan penyediaan makanan mengakui bahawa 15% hingga 20% daripada makanan yang dihidangkan sewaktu perayaan, bufet, majlis perkahwinan, majlis hari lahir dan majlis perkumpulan dibuang begitu sahaja disebabkan oleh perancangan yang lemah dan kehadiran yang kurang memuaskan di dalam majlis itu. Rakyat Malaysia juga mempunyai tabiat memenuhi pinggan mereka dengan makanan dan sering tidak menghabiskan makanan yang diambil oleh mereka. Ini menunjukkan sikap tamak mereka semata-mata terhadap makanan itu.

Berdasarkan ramalan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, pada tahun 2020 rakyat Malaysia akan menjana 31,500 tan sisa pejal setiap hari. Ini menjadikan anggaran 5 juta tan sisa makanan dibuang pada tahun 2020.

FAO menganggarkan satu pertiga daripada pengeluaran makanan global sama ada dibazirkan atau hilang. Sisa makanan merupakan satu pembaziran sumber utama dan penyumbang kepada kesan alam sekitar yang negatif. Jika makanan dibazirkan, ia bermaksud semua sumber dan input yang digunakan dalam pengeluaran semua makanan juga akan hilang.

Pengeluaran makanan global merupakan 25% daripada semua tanah yang diduduki dan bertanggungjawab bagi 70% penganbilan air bersih, 80% penebangan hutan, dan 30% pengeluaran gas rumah hijau. Ia merupakan pendorong terbesar kehilangan biodiversiti perubahan penggunaan tanah.

Berdasarkan kepada statistik di atas, kini tiba masanya untuk kita memerangi pembaziran makanan memandangkan ia merupakan satu cara yang paling mudah untuk mencegah sumber semula jadi kita dari kehabisan bagi pengeluaran makanan.

CAP menggesa setiap individu supaya memainkan peranan penting dengan berikrar untuk tidak membazirkan makanan. Setiap ibu bapa mestilah memupuk anak-anak mereka dengan nilai untuk menghargai setiap cebisan makanan pada peringkat awal usia kanak-kanak. Pihak sekolah juga perlu memainkan peranan mereka dengan mengajar dan membincangkan mengenai pembaziran makanan.

Rakyat Malaysia perlu menyemai sikap “Mencintai Makanan dan Membenci Pembaziran”. CAP juga menggesa pihak berkuasa yang berkenaan agar menjadikan pembaziran makanan satu jenayah yang boleh dihukum.

Kenyataan Akhbar - 4 Jun 2013

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt