Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Kempen CAP: Katakan TIDAK Kepada Pembaziran Makanan Ketika Thaipusam

Rakyat Malaysia sukakan makanan dan tidak terdapat kekurangan restoran atau kedai makan yang menghidangkan makanan untuk menjamu selera.

Tetapi malangnya kita juga banyak membazirkan makanan. Pada hakikatnya, angka daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal (SWCorp) menunjukkan rakyat Malaysia menjana 16,687.5 tan sisa makanan setiap hari.

Jumlah ini bukanlah satu jumlah yang kecil kerana ia boleh memberi makan kepada 12 juta individu tiga kali sehari.

Lebih penting, sekurang-kurangnya 3,000 tan makanan harian yang dibuang ini masih sesuai untuk dimakan

Semasa musim perayaan, seperti Thaipusam, angka ini meningkat.

Adalah menjadi satu amalan bagi komuniti Hindu untuk mendirikan bangsal makanan dan minuman (panthals) ketika Thaipusam untuk memberi makan kepada penganut. Ini adalah satu usaha yang murni dan perlu dipuji.

Bagaimanapun, memandangkan semakin ramai kumpulan dan individu memberi makan, pembaziran juga semakin meningkat. Di banyak tempat kami mendapati sesetengah tong sampah penuh dengan bungkusan makanan yang tidak dihabiskan.

Hinduisme memandang makanan sebagai suci, sebab itulah kenapa kanak-kanak diajar untuk tidak memijak makanan. Di kebanyakan rumah, malah sehingga hari ini, penganut agama Hindu tidak menggunakan penyapu untuk menyapu nasi atau makanan lain yang jatuh ke atas lantai. Mereka menggunakan kain.

Makanan yang ditawarkan kepada penganut terlebih dahulu mendapat rahmat di kuil atau tempat ibadat (altar) yang diletakkan di dalam bangsal itu. Bagi makanan biasa, ia menjadi “prasadam” iaitu anugerah dari Tuhan.

Sehubungan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa penganut yang menghadiri perayaan Thaipusam supaya sentiasa mengingati perkara ini dan tidak membazir “prasadam” ini.

CAP memahami bahawa banyak NGO Hindu menyediakan makanan kerana Hinduisme mengajar bahawa ia anugerah terbesar yang anda boleh berikan kepada orang lain ialah anugerah makanan dan ia adalah kehidupan.

Sementara CAP mengalu-alukan sikap mulia mereka yang menawarkan makanan, kami ingin mengingatkan mereka untuk menyedari akan keperluan bagi mengurangkan pembaziran makanan.

Kami mempunyai beberapa cadangan bagi mereka yang mengendalikan bangsal makanan dan NGO yang mengedarkan makanan percuma ketika Thaipusam:

·       Berikan makanan hanya kepada mereka yang meminta untuknya dan bukannya sesiapa sahaja yang melalui bangsal;

·       Berikan hanya satu bungkus kepada seorang, melainkan mereka mengambilnya untuk ahli keluarga;

·       Kurangkan jumlah makanan dalam setiap bungkusan kerana daripada pemerhatian kami kebanyakan orang tidak menghabiskan semua makanan dalam bungkusan itu;

·       Bungkus sesetengah bungkusan dengan setengah bahagian sahaja untuk diedarkan kepada kanak-kanak;

·       Letakkan papan tanda yang menyatakan: “Ini prasadam, jangan membazir”; dan

·       Sediakan tong sampah berdekatan untuk mereka membuang bungkusan yang sudah digunakan (walaupun pihak kuil telah menyediakan tong sampah).

CAP juga menyarankan kepada penganut supaya:

·       Mengambil hanya apa yang diperlukan; ambil satu bungkus, dan jika selepas makan anda perlukannya lagi, datang semula untuk mengambil bungkusan kedua;

·       Jika anda tidak dapat menghabiskan makanan itu, bawa pulang untuk dimakan kemudian hari;

·       Jangan mengumpulkan bungkusan makanan daripada beberapa bangsal makanan untuk melihat apa yang ada di dalamnya sebelum memutuskan untuk memakannya dan membuang yang lain. Ingat ini prasadam; dan

·       Didiklah kanak-kanak untuk tidak membazir makanan dengan menunjukkan contoh ketika Thaipusam.

Thaipusam adalah peristiwa yang suci dan oleh sebab itu adalah menjadi kewajipan kepada penganut untuk menunjukkan penghormatan kepada makanan yang mereka makan. Ini kerana Hinduisme mengajar penganutnya untuk menghormati makanan yang mereka makan dengan berdoa sebagai terima kasih kepada Tuhan, kepada semua yang memastikan penyediaan makanan dan makanan itu sendiri.

Thaipusam juga satu peristiwa yang mempunyai disiplin yang mendalam memandangkan penganutnya perlu berpuasa atau kurang bercakap atau membuang tabiat buruk atau melakukan tindakan disiplin lain yang mereka pilih. Kami menyarankan penganut menguatkan disiplin dengan mengambil hanya sejumlah makanan yang diperlukan sahaja untuk memuaskan kelaparan mereka dan memakan hanya sejumlah kecil untuk memastikan kesihatan yang baik. Ini akan membantu mengurangkan pembaziran makanan.

CAP berharap 2019, lebih ramai rakyat Malaysia peka akan keperluan untuk mengurangkan pembaziran makanan, terutama sekali memandangkan masih lagi terdapat sesetengah rakyat Malaysia yang tidak mempunyai makanan yang cukup untuk dimakan, atau tiada makanan langsung pada masa tertentu.

Jika setiap orang daripada kita melakukan tanggungjawab untuk mengurangkan pembaziran makanan, kita akan dapat mengurangkan jumlah pembaziran makanan di negara ini. Ingatlah bahawa jika kita mengurangkan pembaziran makanan di rumah kita sendiri, kita juga sebenarnya turut menjimatkan wang.

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt