Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Kenaikan Drastik Harga Bawang Merah

Persatuan Pengguan Pulau Pinang (CAP) amat prihatin dengan kenaikan mendadak dalam harga bawang merah selepas India mengenakan pengharaman eksport disebabkan bencana banjir monsun.

Tinjauan pasaran oleh CAP yang dilakukan di Pulau Pinang menunjukkan harga bawang merah import dari China, Holland dan Pakistan meningkat daripada RM4.00 kepada RM7.50 sekilo sebulan yang lepas dan pada masa ini ia meningkat kepada RM10.50 sekilo.

Aduan biasa yang diterima oleh CAP ialah bawang merah berkualiti rendah tetapi harganya mahal.

Peruncit mendakwa masalah bermula apabila bekalan daripada India terhenti. Mereka juga berkata daripada sekarung 5 kg bawang merah import, hanya 80% boleh dijual manakala baki 20% rosak dan busuk.

CAP menggesa Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk memeriksa pengimportan bawang, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk memastikan bahawa tidak terdapat aktiviti pencatutan atau kenaikan harga berlebihan di samping bekalan yang berterusan dalam pasaran.

KPDNHEP juga seharusnya menjalankan siasatan segera terhadap kenaikan harga bawang yang terlalu tinggi dan sama ada peningkatan itu wajar serta memeriksa kualiti bawang itu.

Pihak kementerian tidak seharusnya teragak-agak untuk melaksanakan skim kawalan harga sepertimana yang diperuntukkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 jika sekiranya keadaan mendesak.

Memandangkan bawang merupakan ramuan asas dalam kebanyakan resipi masakan rakyat Malaysia, kami menggesa agar pihak FAMA supaya menggalakkan petani tempatan agar menanamnya. Bawang juga boleh ditanam di rumah memandangkan ia mudah untuk ditanam dan tidak memerlukan ruang yang besar.


Kenyataan Akhbar,1 Disember 2020

alt

alt

alt

alt

alt