Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Elakkan Mi Segera demi Kesihatan - CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) ingin mengucapkan syabas kepada para penyelidik kerana mengeluarkan laporan mengenai kandungan natrium yang tinggi dalam mi segera (Berita Harian, 17/10/2019).

Namun begitu, masalah mi segera bukan sekadar mengandungi natrium pada paras yang tinggi tetapi ia juga mengandungi terlalu banyak bahan kimia dalam proses pengeluarannya.

Menurut Piawaian Codex (piawaian FAO) bagi mi segera, pengawal kadar asid, penambah perisa, pemekat, humektan, pewarna, pemantap, antioksidan, pengemulsi, bahan rawatan tepung, pengawet dan bahan pencegah gumpalan – dibenarkan untuk digunakan dalam membuat mi segera.

Dua puluh empat daripada 136 penambah yang disenaraikan di dalam Piawaian Codex adalah garam natrium. Penggunaan penambah natrium menjadi penyebab utama mi segera tinggi kandungan natriumnya. Makanan yang tinggi kandungan natrium boleh menyebabkan hipertensi, penyakit jantung, strok, kerosakan buah pinggang serta pelbagai masalah kesihatan lain.

Satu perkara lagi yang menimbulkan kebimbangan dari sudut kesihatan adalah laporan mengenai rembesan dioksin dan bahan lain yang menyerupai hormon daripada cawan atau bekas plastik mi tersebut. Apabila air panas dituang ke dalamnya, bahan-bahan yang memudaratkan boleh meresap masuk ke dalam supnya.

Salah satu kebimbangan utama berhubung mi segera ialah ia boleh menghasilkan lemak dan minyak teroksida jika tidak dikendalikan dengan sempurna sewaktu proses pengeluaran. Perkara ini membimbangkan jika minyak memasak tidak berada pada suhu yang sesuai ataupun minyak itu tidak ditukar seberapa kerap yang perlu.

Mi segera disalut dengan lilin untuk mencegahnya daripada melekat. Ini boleh diperhatikan apabila air panas ditambah kepada mi tersebut. Selepas beberapa lama lilin itu akan kelihatan terapung dalam air.

Selain itu Piawaian Codex turut membenarkan penggunaan 10,000 mg/kg bahan kimia propylene glycol – ramuan pencegah bekuan seperti humektan (membantu mengekalkan kelembapan untuk mencegah mi daripada mengering) dalam mi segera. Propylene glycol mudah diserap dan berkumpul dalam jantung, hati dan buah pinggang hingga menyebabkan kecacatan dan kerosakan. Kimia itu juga boleh melemahkan sistem imun.

Mi segera dan sup berperisa juga mengandungi monosodium glutamate (MSG) pada kadar tinggi. Ia merupakan bahan penambah perisa yang digunakan oleh pembuat mi segera untuk menjadikan perisa udang “lebih terasa udangnya” dan perisa lembu “lebih terasa dagingnya.” MSG boleh mencetuskan tindakbalas alahan dalam 1-2 %  penduduk. Individu yang alah kepada MSG boleh berasa seperti terbakar, muka dan dada terasa panas ataupun berasa sakit dan sakit kepala sesudah memakannya.

Pengambilan natrium yang tinggi dikaitkan dengan strok atau kerosakan buah pinggang. Di Malaysia dianggarkan terdapat 13,000 pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis. Setiap tahun kira-kira 2,500 menjadi pesakit kegagalan ginjal tahap akhir. Enam kes baharu strok berlaku setiap jam di Malaysia.

Sebahagian daripada bahan ramuan dalam mi segera juga berupaya menyebabkan kanser. Misalnya apabila dioksin dan pemplastik merembes daripada bekas apabila ditambah air panas.  Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sekurang-kurangnya 30% kes kanser boleh dicegah melalui langkah-langkah mudah seperti mengamalkan diet yang sihat. Mi segera sememangnya bukan makanan yang menyihatkan, oleh itu pengguna perlu mengelak daripada memakannya.

Memandangkan ia bukan makanan yang sihat, Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa Kementerian Kesihatan agar melancarkan satu kempen untuk mengetengahkan bahaya mi segera dan pada masa sama mempertimbangkan pengharamannya.

Demi kesihatan mereka, pengguna sepatutnya memilih lebih banyak makanan semula jadi dan tulen.

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt