Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Keselamatan Makanan Bazar Ramadan Dipersoalkan

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Kesihatan Negeri berwaspada terhadap keracunan makanan dan penyakit bawaan air yang mudah tersebar melalui pengendalian makanan secara tidak bersih di semua bazar ramadan.

Daripada pemantauan, kami mendapati banyak pengendali makanan di bazar Ramadan tidak memakai sarung tangan, apron, atau penutup kepala. Terdapat beberapa orang yang mengendalikan gerai ini dan kami tertanya-tanya jika mereka ini mendapat suntikan mencegah tifoid dan jika mereka juga telah menghadiri kursus wajib mengenai pengendalian makanan.

Kita perlu mempertimbangkan kemungkinan makanan yang disimpan pada suhu bilik di dalam periuk atau bekas makanan bagi lebih daripada empat jam (dengan andaian daripada 3 petang hingga 7 malam) dan pencemaran silang daripada penggunaan sendok dan penyepit untuk makanan yang berbeza.

Oleh sebab itu, adalah tidak mengejutkan bahawa sampel makanan yang dikumpulkan daripada beberapa gerai sebelum ini menunjukkan pencemaran oleh bakteria patogenik berbahaya seperti E.coli dan beberapa daripadanya mempunyai Salmonella. Kami juga bimbang mengenai beberapa laporan berita yang hampir setiap tahun mendapati bakteria patogenik ditemui dalam sampel makanan yang diambil secara rawak daripada gerai bazar Ramadan. Gerai ini juga terletak di kawasan terbuka yang terdedah kepada debu dan menarik perhatian lalat.

Dalam kajian yang diterbitkan pada 2017, didapati 42 peratus sampel yang diambil daripada kedai makanan di Kelantan mengandungi E.coli, Salmonella, dan Staphylococcus. Ia juga ditemui kehadiran patogen bawaan makanan dalam produk daging yang dimasak dan ia dikatakan “kemungkinan pencemaran silang dan kekurangan kebersihan ketika pengendalian makanan”.

Kebimbangan juga bukan hanya dalam makanan dimasak yang terbiar pada suhu bilik dalam tempoh jangka masa yang panjang tetapi juga sayuran sebagai ulam, dan daging mentah yang diperap untuk ayam percik dan sate.

Kami menggesa pihak berkuasa Kementerian Kesihatan dan Majlis Kerajaan Tempatan mendedahkan kepada orang awam berhubung langkah yang sedang diambil untuk memastikan makanan yang dijual di gerai makanan sementara ini adalah selamat untuk dimakan dan jika gerai-gerai ini berlesen. Pemeriksaan perlu dijalankan di seluruh negara untuk memastikan bahawa pengendali gerai ini mematuhi undang-undang makanan. Tindakan perlu diambil untuk mengelakkan wabak penyakit di seluruh negara.

 

Kenyataan Akhbar, 10 Mei 2019

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt