Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Liabiliti tanpa kesalahan adalah skim yang lebih baik

Kerajaan telah menolak cadangan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bagi skim Liabiliti Tanpa Kesalahan (NFL) bagi mangsa kemalangan jalan raya dan sebagai ganti memutuskan untuk mengekalkan sistem masa kini dengan beberapa perubahan.

Perlindungan kenderaan pihak ketiga yang baru akan dilaksanakan awal tahun depan, juga sistem liabiliti berasaskan kesalahan (FBL). Mangsa kemalangan akan rugi dengan penolakan skim NFL.

Memandangkan skim kenderaan baru masih berasaskan prinsip FBL, ia tidak berbeza daripada skim semasa kerana pada akhirnya pemilik kenderaan juga yang akan terjejas:

• Menanggung risiko tuntutan mereka ditolak oleh syarikat insurans;

• Terpaksa mengambil peguam untuk membawa perkara itu ke mahkamah;

• Perlu menunggu keputusan mahkamah untuk siapa yang bersalah dan berapakah jumlah yang perlu dibayar.

Skim FBL juga gagal untuk mencapai objektif untuk memberikan faedah maksimum kepada mangsa kemalangan. Daripada setiap Ringgit premium yang dikumpulkan, 30 sen untuk komisen dan perbelanjaan pengurusan. Jika bayaran peguam dipotong maka kurang daripada 50 sen yang akan diperolehi mangsa. Dalam skim NFL, tiada komisen dan bayaran peguam perlu dibayar dan perbelanjaan pentadbiran kurang 10% daripada jumlah yang dikumpulkan.oleh itu 90% daripada jumlah itu adalah untuk pampasan dan pemulihan mangsa dan menyediakan mereka dengan faedah lain.

Satu lagi keburukan untuk meneruskan dengan sistem FBL ialah kemalangan kenderaan bermotor akan terus meningkat. Bilangan kemalangan kenderaan bermotor ialah 265,416 pada 2001, meningkat kepada 363,319 pada 2007 dan mencapai 414,421 pada 2010.

Bagaimanapun, dalam skim NFL salah satu tujuan utama ialah untuk mencegah kemalangan dan mempromosikan keselamatan jalan raya. Skim NFL menekankan pencegahan kemalangan dalam usaha untuk mengurangkan bilangan tuntutan. Pelaksanaan NFL di Victoria, Australia melihat kejatuhan 29% dalam kematian di jalan raya antara 2000 dan 2009.

Jika kita boleh mengurangkan kematian di jalan raya, ini akan membawa kepada pengurangan dalam kos mahkamah, dari segi masa dan tenaga kerja, apabila terlalu banyak kes kemalangan jalan raya dibicarakan. Menurut statistik terbaru, pada Julai 2006 terdapat kira-kira 11,890 tuntutan insurans yang belum selesai di Mahkamah Majistret di seluruh Malaysia. Sehingga Jun 2006, terdapat kira-kira 32,267 tuntutan insurans yang belum selesai di Mahkamah Sesyen. Tuntutan untuk pampasan daripada kemalangan jalan raya berada di tempat kedua tertinggi antara jumlah bilangan kes sivil yang difailkan dalam tempoh yang sama. Dengan bertukar kepada NFL, mahkamah bebas untuk mendengar kes bukan kemalangan.

Oleh itu NFL adalah skim yang lebih baik untuk mangsa kemalangan jalan raya. Alasan yang diberikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kenapa NFL tidak boleh dilaksanakan tidak menyakinkan.

Pertama, BNM mendakwa orang ramai yang mahu mengekalkan sistem FBL yang sedia ada. Bagaimanapun lobi oleh sesetengah kumpulan yang berkepentingan bagi mengekalkan sistem FBL tidak boleh dilihat sebagai konsensus “awam”. Jika orang ramai diberikan maklumat yang mencukupi berhubung skim NFL berbanding sistem FBL yang sedia ada, mereka tentu memilih sistem NFL.

Apabila Pejabat Peguam Negara mencadangkan skim NFL pada Ogos 2007 dan mengadakan rundingan dengan semua pihak yang berminat termasuk NGO, ia mestilah menyakinkan skim FBL pada masa kini tidak memberikan manfaat kepada mangsa kemalangan jalan raya.

Apabila BNM juga mengadakan rundingan pada 2007 dan membawa pakar dari negara yang mengamalkan skim NFL untuk menjelaskan bagaimana skim itu dijalankan dan masalah yang dihadapi, ia juga mestilah mempercayai akan merit NFL. Oleh itu kita tidak faham kenapa BNM berubah pendirian dan menolak NFL.

Alasan kedua ialah: NFL tidak boleh dilaksanakan kerana majoriti menganggap meletakkan had ke atas jumlah pampasan bagi kecederaan yang dialami adalah pencabulan hak seseorang mengikut perlembagaan.

Pandangan ini silap memandangkan tiada hak perlembagaan untuk kerosakan yang tidak terhad. BNM pada satu masa menyarankan had RM2 juta untuk jumlah pampasan bagi kecederaan, iaitu satu angka yang boleh diterima. Jumlah mangsa kemalangan yang boleh dituntut dengan berjaya bagi kerosakan am untuk kesakitan dan penderitaan di mahkamah Malaysia bergantung kepada kes undang-undang dan Akta Undang-undang Sivil 1956, yang telah dipinda untuk menghadkan kerosakan yang boleh diperolehi dalam kes kemalangan yang melibatkan kematian.

Alasan ketiga yang diberikan untuk perkara ini: Skim NFL memerlukan sokongan infrastruktur saling melengkapi yang kuat (contohnya pencegahan penipuan dan menubuhkan pusat pemulihan) untuk ia berfungsi. Memandangkan wang dan masa amat diperlukan untuk bergerak kepada skim NFL, ia telah ditolak.

NFL tidak dijangka untuk dilaksanakan dengan segera. Satu jawatankuasa pakar perlu dilantik untuk merancang dengan lengkap bagi penubuhan skim ini. Sokongan infrastruktur yang saling melengkapi akan berkembang dan maju bersama dengan pengembangan NFL. Sepertimana yang ditekankan oleh kami kepada BNM sebelum ini, PERKESO adalah contoh yang baik skim NFL yang wajar dan berfungsi dengan baik. PERKESO hari ini adalah jauh berbeza daripada PERKESO awal 1980-an apabila CAP mendedahkan kekurangannya. Jadi kenapa tidak kita mempunyai skim yang sama bagi mangsa kemalangan jalan raya?

Pelaksanaan skim NFL akan mengambil masa mungkin setahun atau dua tahun tetapi ia bermanfaat kerana mangsa kemalangan akan memperolehi faedah daripadanya. Adalah amat malang bagi mereka kerana perkara ini tidak berlaku.

Isu dan masalah utama dengan sistem FBL semasa ialah ia tidak dapat diselesaikan oleh perlindungan kenderaan bermotor pihak ketiga tetapi hanya dengan pengenalan perlindungan NFL.

CAP sekali lagi menegaskan pendirian bahawa skim berasaskan FBL baru tidak akan memberikan manfaat kepada mangsa kemalangan dan perlu dibatalkan. Kerajaan mestilah meletakkan kepentingan mangsa kemalangan jalan raya mengatasi pihak yang menyokong skim FBL dalam usaha mereka untuk terus memperolehi keuntungan daripadanya.

Kenyataan Akhbar - 15 September 2011

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt