Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Peguam cara tidak patut mengenakan bayaran kepada penggadai bagi pertukaran nama bank dalam dokumen gadaian

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Majlis Peguam Malaysia dengan segera mengarahkan ahlinya supaya tidak mengenakan caj bagi penyediaan borang Pertukaran Nama dan Perintah Letakhak bagi pertukaran nama bank dalam dokumen gadaian  apabila melepaskan harta dari bank yang telah menukar nama kerana berlakunya penggabungan. Kos pertukaran nama bank dalam dokumen gadaian perlu ditanggung oleh bank berkenaan dan bukannya Penggadai.

Gesaan ini dibuat sebagai merujuk kepada kes aduan yang dirujukkan oleh CAP kepada Persatuan Bank Malaysia (ABM) dan kemudiannya mengesahkan bahawa bank yang dipersoalkan itu CIMB telah menjelaskan kepada Persatuan bahawa bayaran yang dikenakan bagi pertukaran Pemegang Gadaian dari Southern Bank kepada CIMB perlu ditanggung oleh bank itu sendiri memandangkan perkara itu berkaitan Perintah Letakhak di bawah pelaksanaan gabungan bank.

Peguam cara biasanya mengenakan bayaran kepada Penggadai RM300 bagi menyediakan borang Pertukaran Nama dan RM110 bagi pendaftaran borang dan Perintah Letakhak. Ini adalah tambahan kepada bayaran biasa dan perbelanjaan untuk pelepasan.

Memandangkan RM410 untuk Pertukaran Nama perlu ditanggung oleh bank, Majlis Peguam perlu juga mengarahkan ahlinya supaya membuat bayaran balik sepenuhnya kepada semua pelanggan mereka yang dikenakan bayaran bagi dokumentasi Pertukaran Nama dan pemfailan. Kegagalan Majlis Peguam untuk bertindak bagi melindungi kepentingan awam telah menyebabkan Penggadai terpaksa menanggung berpuluh juta ringgit.

Amat dikesalkan apabila Majlis Peguam tidak melihat ketidakadilan ini dikenakan ke atas Penggadai oleh ahlinya yang berusaha untuk melepaskan hartanah dari bank yang telah bertukar nama.

Dalam tempoh sedekad yang lalu, bank kecil bergabung dengan bank yang lebih besar. Hasilnya, mereka yang mengambil pinjaman perumahan dari bank kecil terperangkap dalam keesahan memandangkan bank di mana mereka menandatangani perjanjian pinjaman tidak lagi wujud. Pihak bank yang baharu memaklumkan kepada mereka bayaran pinjaman mereka perlu dibuat kepada bank “xxx”. Peminjam berbuat demikian dan masih terus berbuat demikian.

Bagaimanapun, apabila pinjaman dilangsaikan sepenuhnya, bank baharu tidak mampu melepaskan hartanah itu memandangkan dokumen gadaian tidak mempunyai nama mereka dan oleh sebab itu mereka tidak mempunyai locus standi untuk memberikan pelepasan. Pertukaran nama bank dalam dokumen gadaian perlu dilakukan terlebih dahulu iaitu dari bank asal yang memberikan pinjaman kepada bank yang kini akan memberikan pelepasan. Ini melibatkan perbelanjaan.

Peguam cara yang memindah hak menyediakan sendiri borang Pertukaran Nama dan mendaftarkannya serta Perintah Letakhak di Pejabat Tanah. Kos ini berjumlah RM410 dan dikenakan kepada Penggadai. Ini tidak adil memandangkan Penggadai tidak mempunyai kaitan langsung dengan pertukaran nama bank; oleh itu mereka tidak sepatutnya menanggung kos yang berkaitan dengan penyediaan dan pemfailan dokumen Pertukaran Nama dan Perintah Letakhak.

Memandangkan semua kos berkaitan pertukaran nama dan perintah letakhak perlu ditanggung oleh bank, bayaran balik sepenuhnya perlu dibuat dalam jumlah sama yang terhutang kepada mereka. Peguam cara tidak sepatutnya memaksa Penggadai membayar yuran profesional mereka RM300 bagi menyediakan borang Pertukaran Nama dan RM110 bagi mendaftar borang itu dan Perintah Letakhak di Pejabat Tanah.

Pengguna yang perlu membayar bagi pertukaran nama bank ketika pelepasan hartanah mereka perlu menuntut kembali wang yang dibayar bagi tujuan itu dari peguam cara mereka. Peguam cara perlu mengenakan bayaran itu kepada pihak bank bagi transaksi Pertukaran Nama dan bukannya kepada Penggadai.

Surat Kepada Pengarang - 30 Januari 2013

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt