Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Tangguhkan cukai perkhidmatan 6% yang akan dikenakan kepada pengguna telefon prabayar

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya menangguhkan terlebih dahulu langkah oleh syarikat telekomunikasi yang akan mengenakan cukai perkhidmatan 6% terhadap pengguna telefon prabayar.

Syarikat telekomunikasi mendakwa mereka telah menyerap cukai itu sejak ia dikenakan pada 1998 dan disebabkan oleh kemerosotan hasil pendapatan, mereka kini mahu melepaskannya kepada pengguna. Untuk mengatakan bahawa pendapatan mereka telah merosot adalah jauh daripada benar.

Pengguna telefon prabayar telah menghadapi pelbagai syarat dan terma yang tidak adil yang dikenakan oleh syarikat telekomunikasi terutama sekali apabila syarikat menelan/merampas baki dalam akaun mereka apabila mereka tidak menambah nilai akaun mereka dalam tempoh yang sah.

Untuk mengekalkan nombor prabayar, pelanggan perlu menambah nilai dengan jumlah minimum RM5.00. Bagaimanapun, menambah nilai dengan jumlah RM30 akan memberikan tempoh sah selama 30 hari. Selepas tamat tempoh 30 hari, pelanggan akan disekat daripada membuat panggilan tetapi panggilan masuk sah untuk 90 hari.

Pelanggan boleh mengaktifkan talian dengan menambah nilai bila-bila masa dalam tempoh 90 hari. Jika talian tidak ditambah nilai dalam tempoh 90 hari talian akan dibatalkan dan baki kredit yang masih ada akan dirampas dan tiada bayaran semula diberikan.

Contohnya, jika pengguna prabayar mempunyai talian yang bakinya RM100 tetapi tempoh sahnya telah tamat, syarikat telekomunikasi akan merampas baki yang ada. Adakah ini sah di sisi undang-undang?  Jika ianya sah, di bawah undang-undang dan peraturan apakah syarikat ini dibenarkan untuk merampas baki yang ada.

Negara seperti England telah menghentikan pengendali telekomunikasi daripada menggunakan amalan ini. Seharusnya terdapat sistem di mana nombor perlu mempunyai kesahan sepanjang masa dan bila-bila masa pelanggan yang mahu mengaktifkan talian (malah selepas tempoh tamat) hanya perlu menambah nilai talian dan perlu diaktifkan.

Contohnya, ahli perniagaan asing yang datang ke Malaysia, katakan tiga atau empat kali setahun dan memerlukan nombor telefon tempatan tetapi tidak mahukan talian pascabayar yang dikenakan caj bulanan kira-kira RM30 perlu untuk mendapatkan talian prabayar yang mempunyai kesahan sepanjang masa tetapi dengan tempoh tamat selaras dengan jumlah tambah nilai pelanggan.

Apabila mereka kembali semula ke Malaysia dan kesahannya telah tamat, apa yang perlu dilakukan hanyalah dengan menambah nilai talian dan perkhidmatannya boleh disambung semula daripada talian menjadi tidak sah dan terpaksa mendapatkan talian baru serta memulakannya semula.

Pengguna mungkin tidak menyedari bahawa pengguna prabayar dan pascabayar dikenakan bayaran bagi panggilan yang tidak dijawab atau bagi panggilan yang dialihkan ke kotak mel suara. Caj yang dikenakan pada masa ini ialah 10 sen.

Pengguna sebenarnya boleh mendapatkan semula bayaran daripada pengendali telekomunikasi bagi caj yang dikenakan sekiranya mereka boleh menyerahkan penyata sebagai bukti. Bagaimanapun dalam kes pengguna prabayar, penyata tidak disediakan melainkan pengguna meminta untuk mendapatkan penyata itu.

Memandangkan kepada hakikat bahawa terdapat beberapa juta pengguna dan beberapa juta panggilan yang dibuat, pengendali telekomunikasi boleh mengaut sejumlah besar setiap bulan daripada caj yang dikenakan ini. Ini jelas satu pencatutan dan tindakan perlu diambil terhadap syarikat ini.

Sehubungan itu, CAP menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menangguhkan terlebih dahulu setiap usaha yang dibuat oleh pengendali telekomunikasi daripada pengenakan cukai perkhidmatan ini dan sebagai ganti menangani semua kekurangan dan terma yang tidak adil yang dikenakan terhadap pengguna telefon bimbit.

Kenyataan Akhbar - 9 September 2011

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt