Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Kawal Import Kelapa

Dengan perayaan Thaipusam dan Tahun Baharu Cina semakin hampir, penanam dan penjual kelapa berhadapan dengan situasi mencabar untuk menjual kelapa tempatan yang berharga antara RM1.20 dan RM1.50 berbanding kelapa dari Indonesia yang berharga antara RM0.80 dan RM1.00. Alasannya ialah kelapa yang diimport dari Indonesia berharga hanya RM550 setan atau kira-kira RM0.55 sebiji.

Sekali lagi kita boleh melihat bahawa ia adalah hasil dasar yang tidak berpandangan jauh. Perangkaan 2016 menunjukkan ladang kelapa Indonesia seluas 3.6 juta hektar menghasilkan 183 juta tan kelapa. Penggunaan domestiknya ialah 1.8 juta tan, oleh itu ia mempunyai lebihan 181.2 juta tan untuk dieksport.

Di seluruh dunia, Malaysia berada pada kedudukan ke 10 dan kalah kepada Sri Lanka (kedudukan ke 5) malah Mexico (kedudukan ke 8). Malaysia menghasilkan 646,932 tan daripada 80,360 hektar tanah dan perlu mengimport 110,000 tan untuk memenuhi permintaan tempatan. Di sinilah bermulanya masalah harga apabila Malaysia mengimport kelapa dari negara dengan lebihan pengeluaran seperti Indonesia.

Ia meletakkan penanam dan penjual tempatan dalam situasi yang sukar di mana mereka tidak dapat menandingi harga kelapa Indonesia. Diberikan pilihan, pengguna akan membeli kelapa yang lebih murah. Bayangkan situasi di mana seseorang itu membeli 100 biji kelapa berharga RM1.20 (kelapa tempatan yang paling murah) dan seorang lagi membelinya dengan harga RM1.00 (harga kelapa Indonesia yang dilaporkan paling tinggi). Mereka yang membeli kelapa dengan harga RM1.00 dapat menjimatkan RM20 atau 20% daripada jumlah kos.

Alasan bagi situasi ini ialah kita memberikan keutamaan yang salah dalam dasar pertanian kita. Malaysia mempunyai kawasan tanaman kelapa sawit seluas 5.1 juta hektar berbanding 52,582 hektar (1.03 peratus) sayuran, 205,467 hektar (4.03 peratus) buahan, dan 80,360 hektar (1.58 peratus) kelapa. Malah apabila kita melihat daripada jadual di bawah penanaman kelapa telah merosot sejak beberapa tahun:

Walaupun pengeluaran kelapa meningkat di sebalik kemerosotan kawasan tanaman sehingga 55.13%, ia masih tidak mampu untuk memenuhi permintaan penggunaan yang semakin berkembang di sebabkan oleh pertambahan penduduk sebanyak 8 juta dalam tempoh 16 tahun. Selagi perkara ini berlaku penanam tempatan akan berhadapan dengan persaingan harga yang sengit dengan kelapa import. Apabila mereka berterusan mengalami kerugian, mereka mungkin akan meninggalkan tanaman kelapa dan beralih kepada tanaman lain. Oleh sebab itu, kami ini menyarankan agar:

·         Kerajaan mengawal import kelapa, sekurang-kurangnya sehingga keadaan stabil.

·         Menggalakkan petani dan individu menanam kelapa, sayuran atau buahan.

Amat berbahaya bagi negara untuk bergerak ke hadapan tanpa rancangan jangka panjang terutama sekali dalam jaminan keselamatan makanan. Kami menggesa kerajaan supaya mengubah suai dasar pertanian sedia ada berbanding dasar yang dilihat sudah pun gagal sejak berdekat.

Surat kepada Pengarang, 11 Januari 2019

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt