Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Memisahkan Pemberian Ubatan: Memastikan Keselamatan Rawatan Perubatan

Baru-baru ini terdapat banyak perbincangan dalam media mengenai isu lama Pemisahan Pemberian Ubatan.

Banyak daripada hujah yang dikemukakan ialah seperti kemudahan, kebolehcapaian malahan kecekapan atau kompetens. Manakala CAP merasakan bahawa walaupun perkara ini penting bagi pengguna, Keselamatan Rawatan Perubatan kepada pesakit perlu diutamakan dan perkara ini perlu menjadi pertimbangan utama bagi pihak berkuasa untuk mengambilkira sebarang keputusan berhubung isu Pemisahan Pemberian Ubatan. Amalan semasa doktor klinik persendirian memberi preskripsi dan memberikan ubatan tidak menyediakan mekanisme keselamatan bagi audit pihak ketiga yang berkelayakan atau pemeriksaan terhadap kesesuaian atau ketepatan preskripsi. Ketiadaan semakan dan imbangan dalam peraturan penjagaan kesihatan menjejaskan keselamatan pesakit.

 

Pengguna adalah di peringkat akhir rantaian bekalan ubatan dan yang akan menjadi mangsa sekiranya berlaku sesuatu kejadian yang tidak diingini dengan rawatan perubatan. Ubatan tidak boleh disamakan dengan gula-gula atau coklat; ubatan merupakan kategori produk khusus yang dirujuk sebagai Racun. Sudah pasti mestilah terdapat beberapa bentuk penelitian dan pemeriksaan preskripsi sebelum ubatan diberikan kepada pengguna seperti apa yang menjadi amalan biasa di kemudahan penjagaan kesihatan kerajaan.

CAP merasakan bahawa mestilah terdapat mekanisme semakan kali kedua bagi keselamatan ubatan untuk pengguna dan ini hanya boleh dilakukan dengan pemisahan preskripsi dan pemberian ubatan, amalan yang dilaksanakan di kebanyakan negara di dunia dengan Malaysia dan Singapura merupakan segelintir negara di dunia yang masih membenarkan doktor untuk memberi preskripsi dan membekalkan ubatan kepada pesakit mereka.

CAP merasakan bahawa sebarang pelaksanaan Pemisahan Pemberian Ubatan perlu dirancang dengan berhati-hati dan dijalankan dalam cara bersistematik dan berperingkat, bermula dengan kawasan bandar di mana terdapat bilangan farmasi mencukupi untuk menampung bilangan klinik. Semua pihak yang berkepentingan perlu diberikan notis awal untuk bersedia dan bekerjasama bagi mengelakkan sebarang komplikasi yang mungkin timbul daripada perancangan yang lemah atau pelaksanaan secara terburu-buru.

Untuk mencegah mana-mana pihak daripada mengaut keuntungan, CAP menggesa kerajaan supaya melaksanakan Kawalan Harga bagi ubatan. Jika kawalan harga boleh dilakukan untuk barangan pengguna biasa, tiada sebab kenapa kawalan harga tidak boleh dilakukan untuk ubatan yang bukan hanya penting bagi mereka yang sakit tetapi ia juga penyelamat bagi ramai pesakit. CAP juga menggesa kerajaan supaya melaksanakan bil terperinci mandatori untuk bekalan atau jualan semua ubatan dan produk penjagaan kesihatan.

Kebimbangan juga telah disuarakan mengenai Pemisahan Pemberian Ubatan yang akan membawa kepada monopoli dalam sektor pemberian ubatan, dengan syarikat farmaseutikal dan perniagaan besar membunuh pemilik kedai ubat atau farmasi yang beroperasi secara kecilan. Masalah ini mestilah ditangani dengan penelitian perundangan dengan lebih sempurna.

Bagi mencegah sebarang Pengamal Perubatan bersekongkol dengan mana-mana ahli farmasi untuk meraih keuntungan daripada jualan ubatan dan perniagaan, CAP ingin menggesa Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Persatuan Farmaseutikal Malaysia (MPS) supaya memantau amalan ahlinya bagi memastikan pelanggan tidak diambil kesempatan oleh mana-mana penjaga kesihatan profesional. Persatuan profesional kesihatan lain juga boleh membantu untuk mengenalpasti dan melaporkan kepada pihak berkuasa pengamal perubatan dan ahli farmasi persendirian yang melakukan penyelewengan serta sanggup untuk mengetepikan etika profesional dan tingkah-laku yang baik. Tindakan mencegah mestilah diambil segera terhadap doktor persendirian atau ahli farmasi seperti ini.

CAP ingin mengingatkan MMA dan MPS bahawa sebagai badan profesional mereka bertanggungjawab terhadap tindakan ahli mereka dan mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa profession ini mematuhi Kod Amalan dan Etika yang tegas.


Siaran akhbar, 19 Mac 2015

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt