Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Usah beralasan lagi: Haramkan kodeina sekarang

Sejak 15 tahun lalu, CAP telah mengetengahkan isu mengenai bahaya dan kemudaratan pengambilan kodeina (codeine) dalam ubatan dan kemudahan membelinya di mana-mana. Kami percaya Kementerian kesihatan memahami perkara ini dan pihak berkuasa farmaseutikalnya cukup menyedari tentang keadaan di sini.

Jadi, kenapakah mereka masih belum mengambil sebarang tindakan? Ini di sebalik kebimbangan yang CAP dan para pengguna lain suarakan melalui beberapa pucuk surat yang dihantar kepada pihak media berikutan laporan media mengenai rampasan ubat batuk kodeina yang dibawa masuk secara haram ke negara ini.

Tinjauan kami terus mendapati ubat batuk berkodeina mudah dibeli dan inilah yang didapatkan oleh penagih dadah jika mereka tidak berjaya mendapatkan bekalan dadah mereka.

Kementerian Kesihatan perlu memberi penjelasan kepada orang awam: Apa yang telah berlaku dengan janji pihaknya iaitu Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, untuk menamatkan penjualan dan pengeluaran ubat batuk kodeina mulai Jun 2003? Kementerian masih belum memberikan maklum balas kepada pertanyaan kami berhubung perkara ini.

Kodeina, atau O-methylmorphine, adalah alkaloid yang terkandung dalam opium poppy  dan berada di bawah kumpulan ubat dikenali sebagai ubat narkotik. Ia digunakan secara umum bagi merawat kesakitan yang ringan hingga teruk. Pengambilannya boleh menjadi satu tabiat dan di negara maju, ia merupakan ubat yang terkawal dan hanya oleh diberikan oleh doktor.

Kodeina kini merupakan opiat (ubat yang mengandungi opium) yang paling meluas penggunaannya di dunia, dan mungkin ubat yang paling biasa digunakan secara keseluruhan, demikian menurut laporan dari beberapa pertubuhan termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Laporan-laporan mengenai bahaya kodeina terus muncul dan banyak negara mula mengharamkan atau membatasi penggunaannya dalam ubat-ubatan. Laporan berita terbaru mengatakan pakar-pakar di Britain semakin bimbang mengenai penggunaan kodeina dalam ubat-ubatan dan menggesa supaya ia disemak semula.

Sementara itu, kira-kira 27 juta pek ubat penahan sakit yang mengandungi kodeina dijual secara bebas di Britain setiap tahun. Agensi Kawalan Ubatan dan Produk Kesihatan Britain telah mengeluarkan amaran bahawa risiko gula-gula dan sirap ubat batuk berasaskan kodeina melebihi kebaikannya, terutama bagi golongan di bawah 18 tahun.

Menurut pihak berkuasa, terdapat sedikit bukti bahawa kodeina dalam ubat batuk boleh melegakan batuk di kalangan kanak-kanak, dan doktor-doktor di Britain (yang  dianggarkan mempunyai 30,000 orang pesakit yang ketagih kepada ubat tersebut), Kanada dan Australia sedang mendesak kerajaan masing-masing supaya mengharamkan sepenuhnya kodeina.

Bagaimana pula dengan situasi di Malaysia? Selain ubat-ubatan yang bebas dibeli, bagaimanakah pihak berkuasa mengawasi ubat yang mengandungi kodeina yang dijual secara haram?

Jun lalu masyarakat Malaysia dikejutkan dengan berita mengenai dua orang guru sekolah rendah adalah antara empat orang yang ditahan kerana mengedar kodeina di Shah Alam.

Ibu Pejabat Polis daerah Shah Alam diberitakan telah merampas lapan botol ubat batuk seberat 14.8 liter dan 2,200 pil pelbagai jenis daripada keempat-empat suspek ketika membuat serbuan di sebuah rumah di Seksyen 5. Pihak polis percaya keempat-empat mereka mungkin terlibat dalam satu sindiket besar.

Kami tidak lihat sebarang alasan bagi Kementerian Kesihatan berdiam diri mengenai perkara ini. Justeru itu, kami menggesa pihak Kementerian agar mendidik pengguna mengenai bahaya ubat ini, secara teratur dan berkesan, agar orang ramai menyedari akan bahayanya.

Tindakan ini perlu diambil serentak dengan pengharaman sepenuhnya ke atas pengeluaran dan penjualan semua ubat yang mengandungi kodeina selain mempertingkatkan penguatkuasaan untuk mencegah penyeludupan kodeina ke negara ini. Hal ini penting memandangkan kodeina kini mudah dibeli melalui Internet.

Undang-undang juga perlu dikuatkuasakan dengan mengenakan hukuman yang lebih berat ke atas mereka yang membawa masuk, menjual atau mengedar kodeina di negara ini. Usah lagi memberikan pelbagai alasan kepada kami!

Surat kepada Pengarang – 26 Oktober 2010

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt