Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Kempen Kurangkan Gula Tersebar ke Sri Lanka

Pada 22 Februari lalu, CAP telah menerima kunjungan seorang tetamu istimewa dan unik dari Sri Lanka, Encik Channa De Silva. Beliau telah menterjemah dan menerbitkan semula buku panduan terbitan CAP, How Sugar Destroys Your Health, ke dalam Bahasa Sinhala dan Bahasa Inggeris serta mengedarkan 50,000 naskhah buku itu secara percuma kepada pengguna Sri Lanka. Encik Channa adalah mantan Ketua Pengarah Suruhanjaya Sekuriti dan Pasaran Sri Lanka dan merupakan lulusan Universiti Melbourne dan Harvard. Ayah mertuanya, Dr A. T. Ariyaratne, merupakan pengasas Sarvodaya di Sri Lanka, satu gerakan sosial berdasarkan ajaran Buddha dan Gandhi, dan pernah bertugas di 10 ribu kampung di negara tersebut.

Ini cuma permulaan perjuangan Encik Channa memerangi gula di negaranya. Beliau bercadang untuk mencetak 50,000 naskhah lagi untuk diedarkan secara percuma, dan kali ini termasuk edisi Bahasa Tamil. Beliau juga merancang untuk menganjurkan cyclothon, bersama dengan Sarvodaya, untuk menyebarkan mesej mengenai amalan mengurangkan gula ke seluruh negara. Acara itu akan bergerak dari titik paling hujung di selatan Sri Lanka hingga ke penjuru paling ke utara negara tersebut, sambil membawa mesej mengurangkan gula hingga menjangkau 300 km ke serata negara. Beliau berhasrat untuk berkempen ke arah Cukai Gula untuk menggalakkan rakyat supaya tidak meminum produk bergula seperti minuman ringan, kandi, gula-gula, konfeksi dan makanan yang diproses.

Buku-buku yang diterbitkan itu nampaknya memberikan kesan yang memberangsangkan di sana. Jabatan Pemakanan Kementerian Kesihatan Sri Lanka akan  melancarkan kempen sepanjang tahun untuk mengurangkan pengambilan gula di Sri Lanka berikutan kesedaran daripada pembacaan buku tersebut. Pengguna pula semakin mengurangkan pengambilan benda manis seperti kek dan minuman ringan. Doktor-doktor mula mengenal pasti gula yang tersembunyi dalam makanan yang diproses serta kesannya terhadap kesihatan penduduk.

Kami menghasilkan semula Nota Penerbit dari edisi buku Sri Lanka, How Sugar Destroys Your Health.

Mari kita mulakan perjuangan mengurangkan gula di Sri Lanka.

Kerosakan akibat gula tidak begitu diketahui kerana ketiadaan statistik atau kurang difahami. Seperkara yang jelas ialah kerosakan yang dilakukan oleh gula menerusi peningkatan kes diabetes selain sumbangannya kepada 60 penyakit serius lain termasuk buah pinggang tidak berfungsi, dan masalah berkaitan jantung. Mereka yang berpengetahuan cukup menyedari bahawa negara kini dalam krisis disebabkan gula. Namun begitu, kebanyakan orang tidak menyedari sepenuhnya mengenai isu kesihatan yang berkaitan dan terus mengambil gula dalam jumlah yang banyak.

Memandangkan negara kita terkenal dengan layanan yang cukup baik, penduduk  Sri Lanka lebih terdedah kepada pengambilan gula yang tinggi. Akibatnya kita turut terdedah kepada masalah kesihatan yang dikaitkan dengan gula. Kita telah membentuk budaya di mana amalan berterusan memberi makanan manis kepada anak-anak sebagai tanda sayang kini menular kepada kaum keluarga, sahabat handai rakan setugas malah kepada orang yang kita kurang kenali lalu membentuk ancaman kesihatan di seluruh negara. Ini digalakkan lagi oleh kegemaran kita memakan atau meminum benda manis yang telah memasuki budaya masakan aliran utama kita. Sudah tiba masanya kita menukar tabiat dan menggantikan makanan yang tidak sihat dengan sentiasa bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada Persatuan Pengguna Pulau Pinang kerana membenarkan saya menerbitkan semula buku ini di Sri Lanka. Saya berterima kasih kepada pemimpin dan kakitangan Persatuan Pengguna Pulau Pinang di atas kesungguhan mereka ke arah melahirkan penduduk yang sihat. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Diabetes Sri Lanka atas bantuan yang dihulurkan.

Buku yang diterbitkan semula di Sri Lanka ini saya tujukan kepada kedua ibu bapa saya dan dijangka akan diedarkan secara percuma.

Semuga kita mampu melahirkan negara yang lebih sihat dengan penduduk yang lebih bahagia.

 

Channa de Silva

36/31 Edmonton Road, Colombo 6.

No Tel: 2512 987, 0722369300

JLIB_HTML_CLOAKING

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt