Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Kenakan cukai ke atas minuman ringan untuk cegah diabetes

CAP menggesa pihak berkuasa supaya mengenakan cukai ke atas minuman ringan sebagai salah satu usaha untuk mengurangkan bilangan penghidap diabetes yang semakin meningkat di negara ini.

Cukai soda, seperti yang dikenali di Amerika Syarikat, adalah cukai atau surcaj yang dikenakan ke atas minuman ringan. Tujuan utamanya ialah tidak menggalakkan pengambilan gula dalam kadar yang tinggi kerana minuman ringan merupakan penyumbang utama obesiti, yang sebaliknya dikaitkan dengan diabetes, penyakit jantung, strok, kanser dan masalah kesihatan lain.

Pengenaan cukai soda ini sepatutnya tertumpu kepada minuman yang bergula seperti minuman soda, lain-lain minuman sama ada berkarbonat atau tidak, serta minuman tenaga dan sukan yang tinggi kandungan gulanya.

Norway mempunyai cukai eksais ke atas produk gula yang diproses, termasuk minuman ringan, pada harga 7.05 kroner (RM3.70) sekilo. Hungary dan Finland memperkenalkan cukai ke atas minuman ringan dan makanan lain yang tinggi kandungan gulanya. Kerajaan Perancis pula mengenakan cukai ke atas kola dan minuman manis lain pada awal tahun ini. Dua negeri di Amerika, Maryland dan Virginia, turut mengenakan cukai ke atas minuman soda. Sementara itu New York dan Richmond merupakan dua buah bandar terbaru yang mencadangkan pengenaan cukai ke atas minuman manis.

Setin minuman ringan boleh mengandungi antara 5-8 sudu teh gula dan ia menjadi salah satu alasan kenapa penduduk Malaysia mengambil terlalu banyak gula, iaitu secara purata 26 sudu teh sehari, yang menjadikan kita menduduki tangga ke 8 pengguna terbesar gula di dunia.

Selain obesiti dan diabetes, minuman ringan juga dikaitkan dengan berbagai masalah kesihatan lain. Natrium benzoat, sejenis bahan pengawet yang digunakan di dalam minuman ringan, telah dikaitkan dengan asma. Minuman berkola yang tinggi dengan asid sulfurik telah dikaitkan dengan kerosakan gigi, osteoporosis, batu dalam buah pinggang, dan lain-lain masalah buah pinggang. BPA atau Bisphenol A yang melapisi tin minuman ringan boleh menyebabkan keganjilan dalam sistem pembiakan.

Diabetes kini telah menjadi satu wabak di seluruh dunia sehingga mendorong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) mengisytiharkan 14 November sebagai Hari Diabetes Sedunia.

Di Malaysia, kita mempunyai subsidi gula yang menggalakkan pengambilan gula di kalangan rakyat. Kita mesti memansuhkan pemberian subsidi ini dan lebih penting lagi, mengenakan cukai ke atas minuman soda untuk membendung wabak diabetes. Kelaziman kes-kes diabetes telah melonjak naik sejak beberapa tahun kebelakangan meskipun terdapat pelbagai kempen mengenai pencegahan penyakit diabetes. Secara ringkasnya, pihak berkuasa telah gagal dalam usaha membendung wabak diabetes di negara ini.

Dengan kepadatan penduduk berjumlah 28 juta orang pada masa kini dan kadar kelaziman kes diabetes setinggi 15%, dianggarkan terdapat kira-kira 4.2 juta penghidap diabetes di Malaysia. Di dalam Tinjauan mengenai Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) yang pertama pada 1986, kelaziman kes diabetes adalah 6.3%. Angka itu kemudian meningkat kepada 8.3% pada 1996, dan NHMS terbaru pada 2006 menunjukkan kelaziman kes diabetes telah meningkat kepada 14.9%. Penyakit diabetes di Malaysia dijangka akan terus meningkat berikutan diet dan amalan gaya hidup tidak sihat penduduk di negara ini.

Tinjauan mendapati dalam setiap dua penghidap diabetes, terdapat sekurang-kurangnya seorang lagi yang tidak didiagnosis dan tidak dirawat sehingga timbul masalah kesihatan yang sukar untuk dipulihkan. Malah lebih buruk lagi, diabetes Jenis 2  bukan lagi merupakan penyakit yang hanya melibatkan golongan usia pertengahan atau orang tua. Kini kanak-kanak semuda 10 tahun menghidap diabetes sudah menjadi perkara yang lumrah di Malaysia.

Kadar kelaziman diabetes di Malaysia meningkat jauh lebih cepat daripada jangkaan, iaitu hampir dua kali ganda dalam tempoh sedekad yang  lalu.  Penyakit ini bukan saja membebankan sumber-sumber negara, tetapi turut menyebabkan penghidapnya terpaksa dipotong kaki, menjadi buta, buah pinggang rosak, strok dan saraf rosak. Diabetes menjadi ibu kepada pelbagai penyakit dan masalah kesihatan.

Peningkatan kes-kes diabetes yang membimbangkan itu memerlukan langkah tegas dari pihak kerajaan untuk membendung wabak ini.

Sehubungan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa pihak berkuasa supaya:

• Mengenakan cukai ke atas minuman ringan.
• Memansuhkan pemberian subsidi untuk gula.
• Melarang penjualan minuman ringan dalam bekas besar.
• Membentuk sistem warna bagi label makanan untuk menunjukkan paras gula, garam dan lemak yang tidak menyihatkan.
• Makanan tidak sihat yang mengandungi terlalu banyak gula, garam dan penambah tidak sepatutnya digalakkan dengan mengenakan cukai ke atasnya.
• Mendidik penduduk Malaysia mengenai bahaya obesiti dan diabetes.
• Menggalakkan penduduk supaya rajin bersenam dan menyediakan kemudahan untuk bersenam yang sewajarnya di semua kawasan kediaman.   

Kenyataan Akhbar - 8 November 2012

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt