Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Tempat makan yang menawarkan “ramuan” tambahan perlu ditutup

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengucapkan syabas kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang ingin menguatkuasakan dengan lebih tegas undang-undang di negeri ini, seperti yang dilaporkan oleh pihak media baru-baru ini. Pada ketika ini, bidang kuasa MBPP cuma terbatas kepada mengeluarkan kompaun terhadap tempat makan yang kotor.

Setakat ini, hanya Jabatan Kesihatan sahaja yang mempunyai kuasa untuk menutup premis haram atau kotor di bawah Seksyen 38 (1), Undang-undang kecil Akta Pengendali Makanan 1991. Justeru, MBPP pada 2013 telah memohon kepada Kementerian Kesihatan memberikan kuasa kepada mereka untuk menutup tempat makan yang kotor. Kami menyokong langkah itu memandangkan masih terdapat banyak premis haram dan kotor selain terdapat pesalah yang melakukan kesalahan berulang kali.

Pada masa lalu, CAP telah membongkar tindakan pengendali makanan meletakkan makanan di atas lantai, malah sesetengah daripadanya menyediakan makanan di sebelah tandas. Pegawai-pegawai Jabatan Kesihatan sudah beberapa kali melihat tikus dan serangga lain berkeliaran di dalam premis makanan, ataupun terdapat bukti kehadiran haiwan berkenaan melalui najis atau bangkainya.

Satu lagi ancaman kesihatan yang dilihat adalah tindakan pengendali makanan memenuhkan  peti sejuk atau peti dingin beku mereka hingga padat, dan menyimpan makanan yang diproses bersama daging mentah. Ini meningkatkan risiko pencemaran bersilang, khususnya makanan yang diproses kerana ia cuma akan dipanaskan dan bukannya dimasak dengan sempurna sebelum dihidang.

Amalan pengendalian yang kotor dan tidak bersih menyebabkan pelanggan di tempat-tempat makan ini berisiko mengalami keracunan makanan. Malah ia turut mencemarkan nama baik peniaga lain yang sentiasa mematuhi piawaian pengendalian makanan.

Pegawai-pegawai yang mengeluarkan lesen kesihatan alam sekitar perlu menyerbu semua tempat makan dan bertindak tegas ke atas pengendali makanan, khususnya mereka yang melakukan kesalahan berulangkali. Perkara ini termaktub dalam Seksyen 39 Undang-undang Kecil iaitu “Sesiapa yang melanggar mana-mana peruntukan di bawah undang-undang kecil ini adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara selama tidak lebih dari satu tahun atau kedua-duanya sekali dan dalam kes membuat kesalahan seterusnya, sejumlah sebanyak tidak melebihi dua ratus ringgit bagi tiap-tiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.”

Kami menggesa MBPP agar menimbangkan untuk menaikkan denda kepada “tidak melebihi RM15,000” kerana denda sebanyak RM2,000 dianggap terlalu kecil bagi rantaian tempat makan yang memperolehi pendapatan harian sehingga melebihi RM15,000. Mungkin inilah yang menyebabkan sesetengah tempat makan berani melakukan kesalahan yang sama berulangkali.

Makanan sepatutnya merupakan suatu nikmat Tuhan kepada kita; yang disediakan dengan penuh teliti dan dimakan dengan penuh kesyukuran. Apa yang menyedihkan kehidupan moden telah menjadikan ramai di antara kita beralih ke tempat-tempat makan demi keselesaan diri, di mana makanan diperlakukan dengan sewenang-wenangnya seperti yang dilihat melalui pemantauan MBPP. Ini menambah lagi alasan bagi pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit, bukan sahaja mereka melanggar undang-undang malah tidak mempunyai rasa hormat paling asas terhadap makanan.

Kementerian Kesihatan perlu menimbangkan dengan serius untuk memberikan lesen kesihatan alam sekitar kepada MBPP, iaitu kuasa untuk menutup premis haram dan kotor, kemudian menyenaraihitamkan dan mengharamkan pengendali tempat makan yang melakukan kesalahan berulangkali. Ini terutama memandangkan Pulau Pinang digelar “syurga makanan”; oleh itu kerajaan tidak sepatutnya mendedahkan risiko ancaman kesihatan terhadap penduduk dan pengunjung dari luar.

 

Kenyataan Akhbar, 28 Februari 2020

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt