Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Rakyat Malaysia Sangat Memerlukan Udara Bersih

Pada Mac tahun ini, kira-kira 2,775 orang jatuh sakit akibat pendedahan kepada wasap toksik di Pasir Gudang. Mereka mengalami kesukaran bernafas, sakit dada dan muntah. 200 orang termasuk kanak-kanak sekolah dimasukkan ke hospital, 111 sekolah ditutup sementara.

Pegawai Bomba dan Penyelamat mengenal pasti sekurang-kurangnya 15 jenis bahan kimia berbeza termasuk sianida hidrogen beracun dan tidak berwarna terdapat dalam wasap. Kerajaan Johor terpaksa menanggung belanja pembersihan yang melebihi RM6 juta.

Pada Jun lepas, lebih daripada 400 sekolah di Johor ditutup selepas 75 pelajar mengalami kesukaran bernafas dan muntah.

Walaupun kedua-dua insiden itu berlaku di Pasir Gudang, Johor, pihak berkuasa berkata insiden itu tidak berkaitan.

Dalam insiden terbaharu pada Julai, 283 pelajar sekolah rendah di Port Dickson, Negeri Sembilan terdedah kepada keracunan racun makhluk perosak.

Menurut laporan media, mereka terdedah kepada racun makhluk perosak Malathion, yang merupakan satu bentuk organofosfat, dari ladang berdekatan. Ladang itu beroperasi berdekatan sekolah, menggunakan pekerja tidak mahir untuk menyembur racun makhluk perosak.

Rentetan laporan yang berkaitan pencemaran udara baru-baru ini tidak seharusnya dipandang ringan oleh rakyat Malaysia.

Kajian baru-baru ini menunjukkan pencemaran udara boleh menyebabkan banyak kematian di Malaysia sepertimana kemalangan jalan raya. “Pembunuh” ini tidak dramatik atau boleh dilihat sepertimana perlanggaran kereta, tetapi lebih bahaya memandangkan ia menembusi dan mencemarkan organ penting kita, membawa kepada penyakit serius dan beribu kematian. Pencemaran membunuh dan melemahkan.

Dibandingkan dengan bentuk pencemaran lain, pencemaran udara paling berbahaya memandangkan kita menyedut udara sepanjang kehidupan dan jika udara tercemar kita tidak mempunyai pilihan tetapi terpaksa menghirup semua pencemaran yang tidak kelihatan bersama oksigen yang kita perlukan untuk kelangsungan hidup.

Pencemaran udara juga boleh menjejaskan kita secara psikologi. Pasukan penyelidik di Sekolah Perniagaan Universiti Singapura mengkaji kesan pencemaran udara terhadap produktiviti di tempat kerja. Menurut penemuan mereka: pendedahan yang berpanjangan kepada pencemaran udara yang meningkat menjadikan kita melakukan lebih buruk di tempat kerja. “Bukan sahaja pencemaran udara secara negatif menjejaskan paras oksigen dan glukosa dalam darah, kedua-duanya menjejaskan kawalan diri, ia juga boleh mengurangkan sumber psikologi kawalan diri kita, menyebabkan insomnia, kebimbangan atau kemurungan,” tulis Sam Yam Kai Chi, Penolong Profesor Pengurusan dan Organisasi.

Dengan terdedah kepada paras bahan cemar yang tinggi memberikan kesan sampingan terhadap kehidupan kita dari buaian hingga ke liang lahad. Secara harfiah dari buaian. Menurut UNICEF, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, asap toksik di perbandaran yang sesak boleh membahayakan perkembangan otak bayi yang baharu dilahirkan dan bayi.

Menurut Pengarah Eksekutif UNICEF, Anthony Lake, bahan cemar bukan sahaja membahayakan paru-paru bayi yang sedang berkembang tetapi boleh merosakkan perkembangan otak mereka secara kekal dan dengan itu masa depan mereka.

Dr. Margaret Chan, Ketua Pengarah WHO berkata, “Pencemaran udara boleh membunuh terutamanya kepada kanak-kanak. Perkembangan organ dan sistem imun mereka, dan saluran udara dan badan mereka yang kecil, menjadikan mereka mudah terjejas kepada air dan udara yang kotor.”

Pendedahan yang berbahaya boleh bermula dalam rahim ibu dan meningkatkan risiko kematian awal. Selain itu, apabila bayi dan kanak-kanak prasekolah terdedah kepada pencemaran udara di dalam dan di luar serta asap perokok pasif, ini akan meningkatkan risiko pneumonia dalam kalangan kanak-kanak dan meningkatkan risiko penyakit pernafasan kronik sepanjang hayat seperti asma. Pendedahan kepada pencemaran udara juga mungkin meningkatkan risiko penyakit jantung, strok dan kanser sepanjang hayat mereka.

Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (IARC) yang merupakan sebahagian daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengklasifikasikan pencemaran udara di luar sebagai agen penyebab kanser.

Selain berhadapan dengan pencemaran udara dari kilang, ladang, kereta dan sumber lain, rakyat Malaysia terpaksa berhadapan dengan kesan “jerebu” tahunan yang disebabkan oleh pembakaran hutan dan kawasan pertanian di Indonesia.

Bilangan kematian berkaitan pencemaran udara di seluruh dunia akibat penyakit jantung iskemik dan strok ialah 72%, penyakit halangan kronik pulmonari atau jangkitan pernafasan rendah akut 14% dan kanser paru-paru 14%.

Walaupun kesan pencemaran alam sekitar yang serius diketahui umum, orang ramai sering tidak menyedari faktor atau sumber yang menyebabkannya. Kita hanya berada pada fasa permulaan pemahaman penyebab masalah kesihatan yang besar.

Memandangkan kepada keadaan di atas, pihak berkuasa seharusnya:

·         Menambah baik pemantauan indeks pencemaran udara

·         Mengenal pasti penyebab pencemaran dan mengambil tindakan untuk menghapuskan atau mengurangkannya.

 

Surat Kepada Pengarang, 2hb Ogos 2019

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt