Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Memperkenalkan “Bahasa Rokok” kepada Kanak-kanak

alt

Helah baru untuk menarik kanak-kanak menjadi perokok di masa depan       
 
Sungguhpun terdapat pelbagai usaha untuk membendung tabiat merokok di seluruh dunia, namun masih ada sesetengah pihak yang cuba mematahkan usaha murni tersebut.
 
Satu tinjauan yang dijalankan oleh CAP mendapati beberapa produk yang menyerupai jenama-jenama rokok yang popular yang mensasarkan kanak-kanak kini beredar di pasaran.

Seorang pegawai CAP telah membeli gula-gula “LOVECIGA CANDY” dalam bungkusan merah dan hijau yang kelihatan seakan-akan sama dengan jenama rokok yang popular. Perkataan “medium” yang biasanya terdapat pada kotak rokok dicetak pada bungkusan ini.
 
Satu lagi bungkusan dengan nama  “CIGARETTE NOTEPAPER” yang dijual sebagai alat tulis mengandungi beberapa helaian kertas di dalamnya. Satu relang disertakan bersama di dalam kotak itu untuk menggulung kertas-kertas ini menjadi bentuk rokok. Arahan mengenai cara menggulung dan menggunakan relang itu turut disertakan. Kertas nota yang digulung itu kelihatan sama seperti batang rokok. Kanak-kanak cenderung memasukkan kertas bergulung itu ke dalam mulut mereka dan meniru perbuatan seorang perokok. Label pada bungkusan mempunyai perkataan seperti “lowered tar & nikotine”, “tembakau membahayakan kesihatan secara serius”, “state express” dan “light”. Perkataan-perkataan ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kandungan bahan  namun ia dicetak pada kotak itu. Jelaslah perkataan-perkataan ini mempunyai motif yang tersendiri dalam memperkenalkan “bahasa rokok” kepada kanak-kanak.
 
Satu lagi bungkusan yang mengandungi empat batang coklat direka seperti rokok bersaiz besar dalam ukuran 16 sm panjang dan 3 sm ukurlilitnya dengan warna-warna seperti batang rokok.
 
Kesemua produk ini diimport dari Korea dan mudah dibeli dari kedai barang permainan dan kedai hadiah.
 
Kanak-kanak secara tidak sedar akan tertarik apabila melihat bungkusan yang kelihatan hampir sama dengan kotak rokok. Apa sahaja produk yang diperkenalkan kepada kanak-kanak akan membuatkan mereka percaya bahawa produk itu boleh diterima dalam hidup mereka. Kita perlu ingat, syarikat dan peniaga menjadi sangat kreatif dalam memperkenalkan produk yang kelihatan seperti rokok dan kotak rokok. Ini akan menambah peluang kanak-kanak tersebut menjadi perokok pada masa depan.
 
Penggunaan tembakau merupakan salah satu daripada ancaman kesihatan awam yang terbesar pernah dihadapi oleh dunia. Kini  terdapat lebih daripada satu bilion perokok di seluruh dunia.
 
• Penggunaan produk tembakau semakin meningkat di seluruh dunia meskipun ia semakin menurun di negara-negara yang berpendapatan tinggi.

• Hampir separuh daripada kanak-kanak dunia bernafas dalam udara yang tercemar dengan asap   rokok.  

• Penggunaan tembakau membunuh 5.4 juta orang setahun – purata seorang dalam setiap enam saat – dan merupakan seorang dalam 10 kematian orang dewasa di seluruh dunia.

• Tembakau membunuh sehingga separuh daripada semua penggunanya. Ia menjadi faktor risiko bagi enam dari lapan penyebab utama kematian di dunia.

• 100 juta kematian disebabkan oleh tembakau dalam abad ke 20. Jika trend semasa berterusan, akan terdapat sehingga satu bilion kematian di abad ke 21.

• Jika tidak dibendung, kematian yang ada kaitannya dengan tembakau akan meningkat kepada lebih lapan juta setahun menjelang 2030, dan 80% daripada kematian itu akan berlaku di negara membangun.
 
Tabiat merokok di Malaysia sudah mencecah tahap yang membimbangkan. Statistik menunjukkan 50-70 kanak-kanak dari kumpulan usia 12-18 mula merokok setiap hari.
 
Penggunaan tembakau menjadi punca utama penyakit dan kematian yang boleh dicegah di Malaysia. Terdapat lebih 6,000 bahan kimia dalam asap rokok. Merokok sudah diterima secara menyeluruh sebagai salah satu penyebab utama kanser. Berdasarkan statistik hospital kerajaan, kanser paru-paru merupakan kanser paling umum yang menyerang lelaki. Salah satu penyebab utama kanser paru-paru ialah penggunaan tembakau.
 
Merokok mengakibatkan kira-kira 10,000 kematian setahun sementara kos untuk merawat penyakit yang dikaitkan dengannya menelan berbilion ringgit.
 
Jika langkah-langkah tidak diambil untuk mengekang pengeluaran dan penjualan produk yang mensasarkan kanak-kanak untuk menjadi perokok di kemudian hari, maka semua langkah untuk mengurangkan jumlah perokok akan menjadi sia-sia.
 
Sementara itu, CAP menggesa pihak berkuasa berkenaan supaya mengambil tindakan terhadap peniaga yang memperkenalkan  produk seumpamanya di pasaran.
 
Kenyataan Akhbar - 7 Mei 2014

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt