Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Ketagihan terhadap asap nikotin E-rokok semakin popular dalam kalangan belia

alt

CAP Gesa Kementerian Kesihatan haramkan sepenuhnya

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut dengan penemuan bahawa penggunaan rokok elektronik E-Rokok semakin popular dalam kalangan belia di Malaysia.

Lebih mengejutkan lagi E-Rokok digunakan dengan meluas oleh pelajar. Perkara ini didedahkan oleh guru dari sekolah menengah di Pulau Pinang yang menangkap pelajarnya menghisap E-Rokok. Guru itu telah menyerahkan E-Rokok kepada CAP dan memaklumkan bahawa kira-kira 60 pelajar di sekolahnya menghisap E-Rokok.

Rokok elektronik pertama kali diperkenalkan dalam pasaran domestik China pada 2004. E-Rokok tidak mengandungi tembakau. E-Rokok adalah alat yang beroperasi menggunakan bateri yang menggunakan kartrij yang mengandungi perisa pudina, vanila, ceri, kopi dan pelbagai lagi perisa. Ia juga terdapat dalam perisa yang digemari kanak-kanak seperti coklat, strawberi dan karamel. Pengguna meletakkan E-Rokok antara dua bibir dan menghisapnya. Tindakan ini mengaktifkan elemen pemanasan yang menjadikan cecair itu mengeluarkan asap. Asap inilah yang akan disedut.    

Label E-Rokok mengatakan kandungan nikotina di dalamnya ialah 3.6% dari jumlah 10 ml kandungan cecair. Adalah satu ironi bahawa sesetengah laman sesawang mempromosikan E-Rokok sebagai penyelesaian bagi ketagihan nikotina. Di samping itu ia mengandungi banyak bahan kimia berbahaya lain.

E-Rokok dipasarkan sebagai alat berhenti merokok yang berkesan dan dijual dengan harga RM50 hingga RM90. Botol berisi cecair itu dijual dengan harga dari RM10 hingga RM20. E-Rokok boleh diperolehi dengan mudah di kedai cenderahati. Terdapat juga kedai yang secara khususnya menjual E-Rokok.

Perbualan dengan penjual mendedahkan semakin ramai golongan belia membeli E-Rokok termasuklah wanita. Wanita lebih menggemarinya kerana ia kurang mendapat gambaran buruk dari segi sosial berbanding rokok sebenar. Menurut penjual lagi, lebih mahal harga cecair, lebih tinggi kandungan nikotinanya. Dalam kes rokok biasa, setiap rokok yang dinyalakan, mungkin mengelak seseorang itu untuk menyedut kali kedua. Tetapi dalam kes E-Rokok terdapat kemungkinan yang tinggi untuk terus menghisap sehingga titisan cecair yang terakhir.

Walaupun terdapat had umur bagi penjualan rokok sebenar, tiada had umur dikenakan bagi membeli E-Rokok. Ini boleh membawa kepada lebih ramai kanak-kanak dan belia membeli dan menggunakan E-Rokok.

E-Rokok dipromosikan sebagai alternatif yang sihat kepada menghisap tembakau. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak menganggap ia adalah satu terapi bagi perokok yang cuba berhenti merokok. Menurut WHO, rokok elektronik tidak terbukti sebagai terapi pengganti nikotina.

Menurut saintis dari Universiti Athens, Greece, E-Rokok menyebabkan kerosakan kepada paru-paru. Nikotina memiliki keracunan toksik yang sama dengan racun makhluk perosak. Apabila diambil dengan terlalu banyak, ia boleh membawa kepada keracunan nikotina, yang boleh menyebabkan muntah, loya dan sakit kepala.

Dalam satu kajian yang dibentangkan dalam pertemuan tahunan European Respiratory Society’s pada Februari 2012 menunjukkan menghisap E-Rokok memberikan kesan negatif terhadap mereka yang mempunyai penyakit arteri koronari yang mempunyai plak dalam arteri mereka, kerana ia merendahkan paras oksigen darah selepas 10 minit menggunakan E-Rokok. Pada Mei 2009, Pentadbiran Ubatan dan Makanan AS (USFDA) menguji 19 jenis kartrij rokok elektronik dan mengesan agen penyebab kanser di dalamnya.

E-Rokok pada masa ini diharamkan di Brazil, Norway, Colombia, Panama, Singapura dan Uruguay. Perancis bercadang untuk melarang E-Rokok di tempat awam.

Malaysia mempunyai wabak merokok 23.1% dalam kalangan orang dewasa dan wabak merokok yang amat tinggi iaitu 30.9% dalam kalangan budak lelaki berusia 13 tahun. Setiap hari 50 remaja berusia di bawah 18 tahun mula merokok di Malaysia.

Dari kajian yang dilakukan oleh CAP, jelas E-Rokok ini amat menarik kepada golongan belia dan mungkin mewujudkan ketagihan nikotina dalam kalangan mereka. Ia juga membebaskan penggunanya daripada halangan membeli rokok dan dengan ini bermakna peluang menjadi ketagih adalah lebih tinggi berbanding rokok sebenar.

Walaupun terdapat had umur bagi penjualan rokok sebenar, tiada had usia bagi membeli E-Rokok. Ini boleh membawa kepada lebih ramai golongan kanak-kanak dan belia membeli dan menggunakan E-Rokok. Kebanyakan penjualan adalah menerusi atas talian dan ia amat mudah untuk mereka yang di bawah umur membelinya. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu memantau anak-anak mereka bagi mencegah ketagihan E-Rokok dalam kalangan mereka.

Terdapat keperluan untuk melaksanakan pengharaman  sepenuhnya penjualan E-Rokok memandangkan ia mungkin menarik lebih ramai golongan belia untuk mencuba dan ketagih dengannya. Sehubungan itu, CAP menggesa Kementerian Kesihatan mengharamkan penjualan dan penggunaan E-Rokok. Sementara itu, CAP juga menggesa orang ramai mengelak daripada menggunakan E-Rokok.

Kenyataan Akhbar - 24 Jun 2013

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt