Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Gejala Buli Di Malaysia

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendapati kes-kes buli di kalangan pelajar sekolah amat membimbangkan. Fenomena membuli telah sampai ke satu tahap di mana ia kini boleh dianggap sebagai suatu gejala sosial.

Jika kita tidak mencari jalan keluar untuk menangani masalah ini dengan segera, dikhuatiri anak-anak kita akan menjadi masyarakat yang ganas.

Namun begitu, sama seperti masalah-masalah lain yang dihadapi negara, sebelum kita bergerak ke arah membasminya, terlebih dahulu kita perlu menentukan punca-punca kenapa ia berlaku.

Jika kita mengambil kira bahawa kanak-kanak banyak dipengaruhi oleh tindakan atau ketiadaan tindakan ibu bapa mereka (orang-orang yang paling kuat pengaruhnya ketika di peringkat awal usia kanak-kanak), maka faktor penyumbang utama bagi kes-kes buli di sekolah-sekolah Malaysia besar kemungkinan berpunca daripada kurangnya didikan ibu bapa pada hari ini. Situasi sebegini di sebabkan tuntutan mentaliti masyarakat kita yang bersifat materialistik. CAP sentiasa menentang gaya hidup sedemikian rupa yang ditentukan oleh konsumerisme – di mana orang sanggup mengorbankan segalanya, termasuk masa berharga bersama anak-anak, agar mereka boleh membeli peralatan atau gajet terkini untuk keluarga mereka.

Gaya hidup dan pemikiran seumpamanya membuatkan ibu bapa bekerja keras demi memastikan mereka mempunyai wang yang secukupnya untuk memenuhi pelbagai “kemahuan” mereka yang berlebihan (dalam keluarga yang terdapat ibu bapa). Manusia sepatutnya hidup dengan serba ringkas dan memberi tumpuan kepada “keperluan” mereka semata-mata. Jika mereka berbuat demikian, mungkin cuma seorang bapa yang perlu bekerja dan ibu akan mempunyai lebih banyak masa bersama anak-anak, dengan menjaga dan mendidik mereka.  Ini merupakan cara terbaik dalam membesarkan anak-anak berbanding ibu bapa yang terpaksa meninggalkan anak-anak kepada pengasuh.

Selain itu, pendekatan dalam sistem pendidikan kita dengan menyemai nilai-nilai murni dalam diri anak-anak perlu difikirkan dan mungkin merupakan satu lagi penyebab kes buli di sekolah-sekolah. Kanak-kanak diajar mengenai pengajian Islam, pendidikan moral dan pendidikan siviks sebagai sebahagian daripada kurikulum di sekolah-sekolah. Bagaimanapun cara kanak-kanak diajar subjek-subjek tersebut adalah cuma untuk menggalakkan mereka memperolehi ‘A’ dalam peperiksaan  dan bukannya untuk melahirkan insan yang bermoral.

Adalah lebih bermanfaat jika sistem pendidikan formal kita benar-benar melahirkan anak-anak yang mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan sebagai sebahagian daripada silibus dan bukannya sekadar mengajar mereka “bagaimana menjadi insan yang bermoral.”

Sehubungan dengan situasi semasa yang semakin membimbangkan, CAP meminta Kerajaan Malaysia menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan bagi meneliti masalah yang ada secara terperinci dan menentukan langkah-langkah yang boleh diambil untuk menangani gejala buli di sekolah.

Surat kepada Pengarang, 9 Jun 2016

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt