Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Selamatkan Remaja Daripada Kemusnahan Hidup Akibat Ketagihan Haramkan Sepenuhnya E-Rokok, Vape dan Shisha

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut oleh keputusan kabinet untuk mengawal e-rokok dan vape sebagai ganti mengharamkan sepenuhnya. CAP sekali lagi mengulangi gesaan agar kabinet mengenakan pengharaman sepenuhnya ke atas e-rokok dan vape jika mereka prihatin mengenai masa depan dan kesejahteraan golongan belia di negara ini.

Perbezaan pandangan menteri kabinet dalam perkara ini mungkin boleh membawa kepada meluasnya lebih banyak masalah sosial. Amat menyayat hati untuk mengetahui bahawa sesetengah menteri menyokong amalan buruk ini dengan mengekalkan pendirian mereka dengan menentang terhadap pengharaman ini. Hanya beberapa orang menteri kabinet yang mengemukakan kebimbangan mereka berhubung isu ini manakala yang lain kekal pasif.

Ironinya ketika 14 negara di seluruh dunia sudah pun mengharamkan e-rokok, Malaysia masih menunggu bukti saintifik dan kajian bagi alat ini untuk diharamkan. Ia merupakan satu penghinaan terhadap pendirian yang diambil oleh 14 buah negara ini bagi melindungi kesihatan rakyat mereka. Ini juga menunjukkan kecenderungan kerajaan untuk meletakkan perniagaan mengatasi kesihatan rakyatnya.

Golongan muda sudah pun dijangkiti dengan pelbagai masalah sosial lain seperti merokok, ketagihan alkohol, perjudian, penagihan dadah dan sebagainya. Perokok di negara ini membelanjakan RM10 bilion setiap tahun untuk menyokong tabiat mereka.

 


Ketika rokok, e-rokok dan vape dilihat sebagai perosak kepada golongan belia, satu lagi amalan buruk bernama Shisha kini secara perlahan sudah menguasai generasi muda.

Tinjauan CAP dalam isu ini menunjukkan kanak-kanak semuda usia lapan tahun telah mula menghisap shisha jenis hookah elektronik guna buang. Shisha dengan panjangnya 12 cm dalam bentuk rokok dengan warna yang menarik.

Shisha dijual dengan harga RM15 setiap satu. Setiap shisha bertahan sehingga 500 sedutan. Ia boleh didapati dalam pelbagai perisa seperti oren, nanas, kola, gula-gula getah, sarsi, anggur, mirinda, strawberi, vanila dan limau. Perisa ini menunjukkan niat buruk pengeluar untuk menarik kanak-kanak dan golongan muda dengan mengaitkan shisha dengan perisa kegemaran mereka.

Shisha disahkan mengandungi formaldehid. Formaldehid gas tidak berwarna boleh terbakar dengan bau kuat sehingga menusuk hidung. Pendedahan kepada formaldehid boleh merengsakan mata, hidung dan kerongkong. Ia juga boleh menyebabkan simptom seperti sakit kepala, letih dan pening. Formaldehid menunjukkan ia menyebabkan kanser pada haiwan makmal. Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat mengkalsifikasikan formaldehid sebagai kemungkinan karsinogen manusia.

Penghisap e-rokok dan vape membelanjakan sekitar RM340 sebulan untuk membeli cecair. Ini tidak termasuk harga untuk peralatan yang mungkin menelan belanja sekitar RM500.

Ibu bapa dan guru-guru turut menyuarakan rasa tidak puas hati serta rungutan mengenai gejala e-rokok, vape dan shisha yang semakin buruk di sekolah. Bersama dengan buku sekolah mereka, pelajar boleh membawa peralatan mereka ini di dalam beg sekolah dan mempengaruhi pelajar lain untuk menjadi ketagih kepada tabiat ini. Vape dilihat sebagai mengikut perkembangan terbaharu dalam kalangan pelajar berbanding dengan merokok memandangkan kepada pelbagai perisa yang ditawarkan. Bagi alasan yang sama, ia semakin popular dalam kalangan pelajar perempuan. Pelajar dan wanita bekerja dari universiti dan kolej swasta juga mula menggunakan peralatan ini. Menurut guru-guru, sesetengah pelajar telah sampai ke peringkat bekerja separuh masa untuk membeli peralatan ini manakala sesetengahnya pula sanggup berbohong kepada ibu bapa mereka untuk mendapatkan wang bagi membeli peralatan ini.

Seorang pelajar perempuan tahun empat dari sekolah rendah di Pulau Pinang ditangkap oleh guru disiplin ketika menjual shisha kepada pelajar yang lebih tua dari sekolah yang sama. Beliau merupakan satu-satunya penjual shisha kepada pelajar lelaki di sekolah itu. Perniagaan shisha dijalankan di dalam premis sekolah, menunjukkan bahawa sekolah lain juga turut menghadapi masalah yang sama yang masih belum dikenalpasti lagi. Menurut guru dari sekolah ini lagi, setiap pelajar membelanjakan RM15 seminggu untuk membeli shisha. Wang hasil penat lelah ibu bapa dibelanjakan oleh pelajar untuk menyokong tabiat yang memusnahkan kehidupan mereka.

Peralatan shisha juga tidak mempunyai sebarang label. Tiada maklumat untuk melihat pengeluar, negara asal dan ramuannya. Memandangkan shisha tidak diharamkan, maka ia dengan mudah boleh dibeli di tempat awam, pasar raya dan pasar malam.

Jika kerajaan terus mengambil sikap tidak peduli dalam isu ini, maka lebih ramai golongan muda akan termasuk ke dalam perangkap e-rokok, shisha, vape dan perkara sepertinya di masa hadapan. Adalah tidak mengejutkan jika kita mempunyai lebih ramai penagih dadah di masa depan memandangkan benih bagi penagihan dadah sudah pun disemai melalui pengenalan e-rokok, shisha dan vape.

Kami menggesa kabinet Malaysia mengenakan pengharaman segera ke atas e-rokok, vape dan shisha sebelum ia mendedahkan ancaman besar kepada kesejahteraan negara.


Kenyataan Media, 4 Disember 2015

alt

alt

alt

alt

alt