Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Ke arah sektor pergigian bebas-merkuri di Malaysia

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan persekutuan untuk mempercepatkan penggubalan peraturan untuk menghentikan penggunaan amalgam dalam sektor pergigian.  Pada tahun 2013,  Konvensyen Minamata berkaitan Merkuri telah dirangka dan diterimapakai setelah negara-negara mengadakan rundingan berikutan  kebimbangan terhadap kesan merkuri kepada kesihatan awam dan alam sekitar. Malaysia merupakan di antara negara yang menandatangani Konvensyen ini.

Amalgam pergigian mengandungi kira-kira 50% merkuri. Salah suatu peruntukan utama Konvensyen Minamata adalah untuk mengurangkan secara berperingkat (phase down) penggunaan amalgam dalam sektor pergigian.

CAP menyambut baik langkah yang diambil kerajaan Filipina dalam usaha mereka untuk fasa keluar amalgam pergigian. Pada 14 Mei 2020, kerajaan Filipina telah mengeluarkan Perintah Pentadbiran - “Administrative Order" (AO) yang merangkumi garispanduan untuk fasa keluar daripada penggunaan amalgam dalam prosedur pemulihan pergigian. Penguatkuasaan AO tersebut pada 29 Mei ini bermakna pengimportan merkuri untuk tujuan prosedur pemulihan pergigian dan kapsul amalgam pergigian telah diharamkan di Filipina. AO ini juga dengan segera memberhentikan penggunaan amalgam pergigian untuk kanak-kanak di bawah umur empat belas tahun, wanita hamil dan ibu yang menyusu.

Negara Filipina, dan Nepal sebelum ini, telah mencatatkan duluan (precedent) di mana CAP berharap Malaysia akan turuti. Kesatuan Eropah telah pun memberhentikan penggunaan amalgam untuk kanak-kanak, wanita hamil dan ibu yang menyusu di samping mengambil tindakan tambahan untuk melindungi mereka daripada kesan-kesan pencemaran merkuri pergigian dengan tindakan fasa keluar segala penggunaan amalgam.

Malaysia berpotensi menuju ke arah fasa keluar amalgam pergigian kerana sudah pun mengambil tindakan untuk penurunan secara berperingkat sejak beberapa tahun yang lalu. Dalam masa yang sama, kebanyakan kolej pergigian swasta telahpun menukar kurikulum mereka untuk mengajar pemulihan alternatif tanpa menggunakan amalgam. Hospital swasta juga menggunakan pemulihan alternatif dan ibu bapa sering menggesa untuk pergigian bebas-merkuri untuk anak-anak mereka.

CAP sedar tentang kekangan yang meliputi penggunaan amalgam pergigian terutamanya kepada sektor kerajaan seperti kos dan keberkesanan penggunaan alternatif. Namun demikian kami berpandangan langkah tegas dan segera perlu diambil untuk menghentikan penggunaan amalgam pergigian. Sebagai permulaan, kerajaan harus mengeluarkan arahan untuk menghentikan penggunaan amalgam pergigian untuk kanak-kanak di bawah umur empat belas tahun, wanita hamil, ibu yang menyusu dan mereka yang mengalami masalah ginjal dan imuniti kerana mudah terancam kepada kesan daripada penggunaan amalgam.

CAP menyeru kerajaan Malaysia untuk meratifikasikan Konvensyen Minamata dan Kementerian Kesihatan untuk mempercepatkan penggubalan undang-undang bagi memberhentikan penggunaan amalgam pergigian. Negara Filipina dan Nepal telah mengorakkan langkah untuk transisi kepada negara bebas-merkuri terutamanya di sektor pergigian dan boleh dicontohi oleh Malaysia.

 

Kenyataan Media, 2 Jun 2020

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt