Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Kebaikan bersama menghalang tabiat merokok

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memuji dan mengucapkan syabas kepada Kementerian Kesihatan kerana melaksanakan dan menguatkuasakan Peraturan 11 (1) (d), Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2018.

Di bawah Peraturan ini, pesalah yang ditangkap kerana merokok “di mana-mana tempat makan atau kedai berhawa dingin” boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun. Sejumlah 605 kes membabitkan kompaun sebanyak RM144,450 dikeluarkan ke atas perokok yang melanggar pengharaman tersebut di hari pertama pelaksanaannya, iaitu pada 1 Januari 2020. Pemilik 103 premis dikenakan denda berjumlah RM25,750 kerana gagal mempamerkan tanda “dilarang merokok” dan menyediakan barang (seperti tempat abu rokok) yang memudahkan pelanggan merokok.

Kami menyokong penuh usaha Kementerian untuk mengekang tabiat merokok memandangkan 20.3 bilion batang rokok dihisap pada 2018, membabitkan lebih lima juta perokok yang berusia 15 tahun ke atas. Tabiat yang menimbulkan kesan ketagihan ini hanya menjauhkan perokok tegar dan keluarga mereka daripada menikmati makanan dan keperluan lain yang lebih baik. Kita seharusnya turut mengambil kira 20.3 bilion puntung rokok yang dibuang dan menimbulkan masalah alam sekitar.

Selain tabiat yang membazir, merokok juga membahayakan kesihatan perokok dan mereka yang berada di sekitar mereka. Kebanyakan perokok kurang peka akan penyakit yang dikaitkan dengan merokok kerana ia mengambil masa antara 20-30 tahun untuk berkembang. Pada ketika itu, sama ada perokok gagal mengaitkan tabiat merokok mereka dengan penyakit yang dihidapi ataupun terlalu lewat untuk menghentikan tabiat mereka. Tambahan pula, asap rokok basi juga boleh menyebabkan penyakit yang dikaitkan dengan merokok kepada bukan perokok di sekitar mereka.

Pada 1967, Laporan Ketua Pakar Bedah AS menyebut bahawa “perokok mempunyai kadar kematian dan hilang upaya yang lebih tinggi berbanding penduduk setempat yang tidak merokok” dan kenyataan itu ternyata masih benar hingga kini. Bagaimanapun, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS telah memberi amaran bahawa asap aliran tepi (gabungan asap dari puntung rokok dan asap yang dihembus keluar oleh perokok) boleh menimbulkan beberapa masalah kesihatan dalam kalangan bayi dan kanak-kanak; selain meningkatkan risiko mengembangkan kanser paru-paru sehingga 20-30 peratus; penyakit jantung sehingga 25-30 peratus dan strok sehingga 20-30 peratus.

Hakikatnya, setiap tahun lebih 20,000 lelaki dewasa di Malaysia maut akibat komplikasi yang dikaitkan dengan merokok kerana merokok memudaratkan hampir semua organ di dalam tubuh. Ia telah dikaitkan dengan pelbagai bentuk kanser, dan lebih 30 penyakit lain seperti strok, katarak, penyakit jantung koronari, bronkitis yang kronik, dan penyakit kardiovaskular.

Kerajaan dianggarkan perlu membelanjakan kira-kira RM7.4 bilion bagi kos rawatan kesakitan utama yang disebabkan oleh tabiat merokok, misalnya kanser paru-paru dan masalah jantung koronari menjelang 2025. Kos rawatan berkenaan ditanggung oleh pembayar cukai dan ia sepatutnya digunakan ke arah sesuatu yang lebih memanfaatkan orang awam.

Kami menggesa kerajaan agar terus membuat serbuan dan memantau tempat-tempat makan. Di sebalik sekadar mengenakan denda dan hukuman penjara, kerajaan juga perlu menimbangkan untuk memperkenalkan perintah melakukan khidmat masyarakat yang mewajibkan pesalah membersihkan tempat-tempat awam sehingga 12 jam. Sementara itu kajian Biro Perangkaan Jenayah dan Penyelidikan Australia (BOCSAR) pada 2013 menunjukkan bahawa perintah bagi khidmat masyarakat “lebih berkesan daripada hukuman lain.”


Kenyataan Akhbar, 7 Januari 2020

alt

alt

alt

alt

alt