Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Peralatan di Taman Permainan Bersalut Plumbum pada Paras Berbahaya – CAP

Kandungan plumbum yang tinggi ditemui pada peralatan di taman permainan awam sekitar kawasan utara Malaysia. Cat pada alat permainan yang mengandungi plumbum pada paras berbahaya mendedahkan risiko keracunan plumbum kepada kanak-kanak. Sehubungan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa tindakan segera diambil bagi melarang penjualan dan penggunaan cat berplumbum terutama untuk produk yang mendedahkan kanak-kanak kepada pencemaran plumbum.

Amaran CAP ini dibuat sempena Minggu Pencegahan Keracunan Plumbum Antarabangsa yang disambut dari 20-26 Oktober dengan tumpuan diberikan ke arah menyingkirkan cat berplumbum.

Tinjauan CAP yang dimuatkan dalam satu laporan berjudul “Lead in Playground Equipment in Malaysia” mendapati 13 dari 17 peralatan taman permainan mengandungi plumbum pada kadar melebihi 90 bahagian persejuta (bps), iaitu piawaian peraturan yang paling ketat di dunia. Tambahan pula, 11 peralatan dengan cat berplumbum di taman permainan seumpamanya didapati mengandungi plumbum melebihi 10,000 bps.

Laporan yang  disediakan dengan kerjasama International POPs Elimination Network (IPEN) di mana CAP adalah ahlinya, mengetengahkan kepentingan mengambil langkah segera untuk melarang pengeluaran, penjualan dan penggunaan cat berplumbum bagi segala tujuan, terutama sebagai hiasan dan penyalut produk yang boleh mencemarkan persekitaran kanak-kanak.

Kajian itu dijalankan dalam usaha menyedarkan orang ramai mengenai kehadiran cat berplumbum dalam peralatan di taman permainan dan menggesa phak berkuasa agar mengambil langkah tegas, termasuk menggubal undang-undang cat berplumbum selain memperkenalkan langkah-langkah keselamatan untuk mengurangkan ancaman habuk plumbum apabila peralatan permainan yang bercat plumbum dipindah, dicat semula atau diganti dengan yang lain.

CAP mengesan peralatan bersalut plumbum di taman permainan di sekitar Pulau Pinang dan Kedah dengan menggunakan alat penganalisis kimia,  X-Ray Fluorescence (XRF).

Paras plumbum yang tinggi yang dikesan pada peralatan permainan luar rumah amat membimbangkan dan tidak boleh diterima. Selepas beberapa lama, cat itu akan rosak melalui penggunaan yang berulangkali selain pendedahan kepada cahaya matahari dan hujan. Ini akan menyebabkan cat itu mengelupas dan masuk ke dalam habuk dan tanah, yang kemudian akan dihadam oleh kanak-kanak yang gemar memasukkan tangan ke dalam mulut.

Plumbum merupakan bahan toksik yang mudah terkumpul dan mampu menjejaskan beberapa sistem tubuh. Ia khususnya boleh membahayakan kanak-kanak, wanita hamil dan mereka yang terdedah kepadanya. Kesan-kesan pendedahan kepada plumbum termasuklah masalah pembelajaran,  enggan bergaul dengan orang lain, penurunan kadar kesuburan dan peningkatan risiko kegagalan ginjal dan masalah kardiovaskular di kemudian hari.

Kesan pendedahan plumbum kepada kesihatan kanak-kanak adalah berpanjangan, sukar   dipulihkan dan sukar untuk diubati. Plumbum masuk ke dalam gastrousus kanak-kanak apabila kanak-kanak mengunyah benda-benda seperti alat mainan, perabot atau benda lain yang dicat dengan cat berplumbum. Penggunaan cat berplumbum secara berterusan menjadi penyumbang utama pendedahan plumbum sewaktu kecil.

CAP bersama IPEN berusaha mendesak ke arah penggubalan peraturan mandatori yang mengharamkan plumbum dalam cat yang melebihi kadar 90 bps, had yang diteatapkan di dalam Model Law and Guidance for Regulating Lead Paint, yang dimajukan oleh Global Alliance to Eliminate Lead Paint (GAELP) dan diterbitkan oleh Program Alam Sekitar PBB.

IPEN adalah sebuah rangkaian global yang dianggotai oleh lebih 500 kumpulan berkepentingan awam di 121 negara yang bekerja ke arah mengurang dan menyingkirkan bahan-bahan kimia toksik yang membahyakan kesihatan manusian dan mengancam persekitaran.

Kumpulan-kumpulan itu juga menyarankan kepada pihak berkuasa di Malaysia supaya menggalakkan pemerolehan dan penggunaan cat berplumbum yang selamat untuk kerja mengecat dan penyelenggaraan peralatan, fasiliti, struktur dan barang permainan kanak-kanak.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pendedahan kepada plumbum boleh menjejaskan kesihatan manusia khususnya kanak-kanak. Tiada paras selamat pendedahan kepada plumbum yang diketahui tanpa sebarang kesan buruk. Pendedahan kepada plumbum pada paras rendah sekalipun boleh menimbulkan masalah kesihatan yang berpanjangan. Plumbum khususnya berbahaya kepada otak kanak-kanak yang sedang berkembang, dan boleh menurunkan tahap kepintaran (IQ) dan tumpuan, melambatkan pembelajaran dan meningkatkan masalah tingkah laku. Kesan terhadap kesihatan ini turut memberi kesan kepada ekonomi negara.

Seperti yang dijelaskan oleh Dr Maria Neira, Pengarah Jabatan Kesihatan, Persekitaran dan Penentu Kesihatan Sosial WHO, “Cat berplumbum menjadi salah satu sumber pendedahan kepada plumbum dalam bayi dan kanak-kanak. Namun cat berplumbum masih ditemui di rumah, sekolah dan pada barang permainan. Mengharamkan cat berplumbum sekarang akan mencegah pendedahan kepadanya pada masa depan. Ini merupakan pelaburan yang baik dalam kesihatan anda, dan dalam kesihatan anak-anak anda.

WHO telah memberi amaran bahawa pendedahan kanak-kanak kepada plumbum dianggarkan menyumbang sekitar 600,000 kes kanak-kanak dengan keupayaan intelek yang rendah setiap tahun.”

Sejak 1992, CAP telah menggesa kerajaan supaya menggubal undang-undang yang menyingkirkan plumbum dalam cat. Dalam ujian yang dijalankan pada 1992 kami mendapati 7 dari 9 cat enamel mengandungi plumbum melebihi 600 bps. Dalam ujian itu paras tertinggi yang dikesan ialah 11,700 bps.

Pada 2016, CAP mengulangi gesaannya kepada kerajaan supaya membentuk piawaian bagi plumbum dalam cat memandangkan kami mendapati lebih 60% sampel yang diuji mengandungi plumbum pada paras yang amat tinggi. Lebih tiga tahun berlalu namun pihak berkuasa Malaysia masih belum menggubal undang-undang berhubung plumbum dalam cat.

Berikutan pelbagai bahaya pendedahan kepada plumbum, CAP menggesa pihak berkuasa agar:

· membentuk undang-undang untuk menyingkirkan plumbum dalam cat

· mengharamkan plumbum dalam produk

· menguji dan mengharamkan produk yang didapati mengandungi plumbum pada paras tinggi

· menjalankan kempen pendidikan untuk memberi kesedaran mengenai bahaya plumbum.

Tanpa pengharaman, Malaysia akan menjadi tempat longgokan produk dengan kandungan plumbum yang tinggi, yang sebaliknya telah ditolak oleh negara lain. Memandangkan plumbum mempunyai kesan besar ke atas kanak-kanak, tindakan segera diperlukan untuk melindungi generasi masa depan.

 

Kenyataan Akhbar, 23 Oktober 2019

alt

alt

alt

alt

alt