Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Haramkan segera penjualan racun herba berasaskan glyphosate – CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengulangi gesaannya kepada pihak berkuasa supaya mengharamkan segera penjualan racun herba berasaskan glyphosate kerana ia didapati berbahaya kepada manusia dan hidupan liar selain mencemarkan alam sekitar.

Baru-baru ini seorang lelaki dari Brooklyn, Amerika, menuntut pampasan bernilai $5 juta dalam satu saman terhadap Pepsico, iaitu syarikat pengeluar Quaker Oats. Menurut saman tersebut, dakwaan pihak syarikat bahawa makanan untuk sarapan yang terkenal itu sebagai 100% asli adalah dakwaan yang palsu, bersifat menipu dan mengelirukan kerana syarikat terbabit menggunakan glyphosate ketika memproses oat.

Bahan itu digunakan sebagai racun rumpai dan disembur pada tanaman oat sebagai bahan pengering sebelum dituai, demikian menurut dakwaan lelaki dari Brooklyn itu dalam samannya di mahkamah persekutuan.

Namun begitu, Ketua Pengarah Kesihatan kita telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa Quaker Oats di Malaysia tidak mengandungi glyphosate. Mengikut Peraturan Makanan kita, kehadiran glyphosate dibenarkan dalam lingkungan 30 bahagian persejuta.

Glyphosate disembur pada tanaman oat, gandum, barli dan tanaman lain sebagai bahan pengering. 

Glyphosate merupakan ramuan utama di dalam racun rumpai Roundup keluaran Monsanto. Di Malaysia terdapat kira-kira 172 produk racun herba yang mengandungi glyphosate.

Sri Lanka dan El Savador bertindak mengharamkan glyphosate selepas kajian terbaharu mengaitkan racun herba ini dengan Penyakit Ginjal Kronik yang Membawa Maut (CKDu). Penyakit ini dilaporkan menjadi penyebab kematian kedua paling utama dalam kalangan kaum lelaki di negara-negara miskin seperti Sri Lanka dan El Savador.

Menurut kajian terbaharu yang diterbitkan di dalam International Journal of Environmental Research and Public Health, glyphosate menjadi amat toksik apabila bercampur dengan air ataupun logam berat, seperti arsenik atau kadmium, yang wujud semula jadi dalam tanah atau ditambah sebagai baja.

Di Malaysia kira-kira 2.5 juta warganya mengalami masalah penyakit ginjal. Pada ketika ini, terdapat kira-kira 30,000 pesakit menjalani dialisis dan angka ini terus meningkat kira-kira 5,000 – 6,000 pesakit setahun.

Setiap tahun kira-kira 10% pesakit dialisis meninggal akibat ketiadaan penderma organ.

Tahun lalu CAP telah mengetengahkan perkara ini kepada Kementerian Pertanian. Namun di sebalik bahaya yang dikaitkan dengan glyphosate, mereka memaklumkan bahawa ia tidak akan diharamkan.

Dalam sepucuk surat kepada Kementerian Pertanian (yang kemudiannya dirujuk kepada CAP) pihak Lembaga Racun Makhluk Perosak memberikan alasan-alasan berikut bagi membenarkan penggunaan glyphosate:

·         Ia telah digunakan di Malaysia selama lebih daripada 40 tahun.

·         Ia digunakan secara meluas dalam sektor perladangan dan petani berskala kecil.

·         Kadar keracunannya lebih rendah berbanding racun herba lain.

·         Ia hanya berkemungkinan merupakan bahan penyebab kanser.

Glyphosate semakin banyak dikaitkan dengan masalah kesihatan seperti kemandulan, kecacatan bayi ketika lahir, kerosakan sistem saraf, penyakit Parkinson dan beberapa jenis kanser. Selain berisiko menjejaskan kesihatan manusia, penggunaan glyphosate juga boleh menyebabkan kehilangan biodiversiti dan masalah menulenkan air minuman.

Glyphosate adalah racun herba sistemik bukan selektif yang berspektrum luas. Ia digunakan untuk rumput-rampai, lalang, rusiga dan tumbuhan berkayu. Ia boleh disembur kepada pelbagai tanaman, dalam hortikultur dan lanskap. Ia juga digunakan dalam ladang kelapa sawit.

Penggunaan racun herba ini begitu meluas kerana ia merupakan racun rumpai yang mengubah jagung dan kacang soya secara genetik untuk “bertahan” dalam apa jua keadaan. Inilah yang menyebabkan glyphosate disembur di kawasan ladang yang luas kerana petani berasa yakin racun itu tidak akan menjejaskan tanaman mereka.

Sehingga Disember 2015, glyphosate telah diharamkan atau dibatasi di beberapa negara Eropah,  Amerika Utara, Amerika Latin dan Asia.

Majoriti racun herba yang mengandungi glyphosate dibekalkan dengan beberapa surfektan untuk memudahkannya larut di dalam air. Keadaan itu membolehkan racun herba yang disembur merata ke seluruh daun tanaman.

Dalam sebahagian laporan, kadar keracunan daripada produk glyphosate dikatakan meningkat disebabkan  surfektan yang dicampur ke dalam rumusannya.

Sisa glyphosate tidak mudah disingkirkan sama ada dengan mencuci mahupun terurai ketika memasak. Ia kekal pada makanan selama lebih setahun meskipun selepas diproses, dikeringkan atau dibekukan.

Glyphosate bukan sahaja boleh menyebabkan kanser. Ia juga dikaitkan dengan peningkatan kes keguguran tiba-tiba, kecacatan ketika lahir, penyakit kulit, dan penyakit pernafasan serta saraf.

Memandangkan sudah jelas penggunaan racun herba glyphosate boleh menjejaskan kesihatan manusia, hidupan liar dan alam sekitar, sudah sewajarnyalah racun herba berasaskan glyphosate diharamkan atau dikeluarkan secara berperingkat-peringkat di seluruh dunia dan Malaysia seharusnya mencontohi langkah ini.

Sehubungan kadar keracunannya, CAP menggesa Kementerian Pertanian agar mengharamkan segera racun herba berasaskan glyphosate. Sektor pertanian pula perlu berusaha menyingkirkan penggunaan bahan kimia bertoksik dan bergerak ke arah penggunaan kaedah pengeluaran hasil pertanian organik yang lebih selamat.

Kenyataan Akhbar, 15 Jun 2016

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt