Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Haramkan pengunaan vape untuk selamatkan remaja Malaysia

Persatuan Pengguna Pulau (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan mengenakan pengharaman segera ke atas penggunaan e-rokok. CAP amat terkejut apabila mendapati penggunaan e-rokok kini menjadi semakin popular dalam kalangan remaja di Malaysia. Malah lebih mengejutkan e-rokok digunakan dengan meluas dalam kalangan pelajar.

Berdasarkan aduan ibu bapa dan guru dari beberapa sekolah rendah dan menengah di Pulau Pinang, bilangan pelajar yang mengambil vape semakin meningkat. Menurut beberapa orang guru, pelajar sekolah rendah tidak terkecuali dalam perkara ini. Guru-guru ini juga telah merampas peralatan e-rokok daripada pelajar mereka.
E-rokok adalah mekanisma yang dioperasi dengan bateri, yang membolehkan pengguna menyedut atau “vape”. Ia menghasilkan wap berperisa daripada katrij yang boleh ditukar, berisi dengan nikotin dan bahan kimia lain.

E-rokok telah diharamkan di Singapura, Argentina, Brazil, Kemboja, Mexico, Nicaragua, Panama, Qatar, Seychelles dan Turki. Kelewatan dalam pengharaman peralatan di negara ini tidak difahami.

Kami amat bimbang terhadap kesihatan kanak-kanak yang mula menyedut Vape pada usia yang masih muda. Mereka tertarik dengan peralatan baharu ini dan ingin mencubanya, kata seorang guru di sebuah sekolah rendah di Pulau Pinang. Tidak seperti rokok konvensional, peralatan ini mempunyai perisa dan ini lebih menarik perhatian kanak-kanak. Ini mungkin menjadikan kanak-kanak itu lebih ketagih kepada vape sepanjang hayatnya.

Kini vape menjadi gangguan utama di premis makanan. Ramai orang menggunakan vape secara terbuka di restoran dan tempat awam, menyebabkan keadaan rasa tidak selesa dalam kalangan orang ramai. “Wap daripada e-rokok kelihatan seperti asap yang keluar dari serombong asap”, menurut seorang pengadu.

Label pada e-rokok menyatakan bahawa kandungan nikotin di dalamnya ialah 3.6% daripada jumlah 10 ml kandungan cecair. Adalah menjadi satu ironi apabila beberapa laman sesawang mempromosikan e-rokok sebagai penyelesaian bagi ketagihan nikotin. Di samping nikotin ia mungkin mengandungi banyak lagi bahan kimia berbahaya lain.

E-rokok dipasarkan sebagai alat berhenti merokok yang berkesan dan dijual pada harga RM50 hingga RM90. Botol berisi cecair dijual daripada harga RM10 hingga RM20. E-rokok boleh diperolehi dengan mudah di kedai-kedai cenderamata. Terdapat kedai yang khusus menjual e-rokok. E-rokok juga dijual dengan meluas dan secara terbuka di pasar malam.

Perbualan dengan penjual mendedahkan bahawa ramai belia membeli e-rokok termasuk wanita. Wanita juga menyukainya kerana ia tidak memberikan tanggapan sosial negatif berbanding rokok. Menurut penjual lagi, lebih mahal cecair, lebih tinggi kandungan nikotinnya.

Bagi rokok biasa, setiap batang rokok perlu dinyalakan, yang mungkin pada waktu tertentu menghalang perokok daripada menghisap rokok yang kedua. Tetapi dalam kes e-rokok terdapat peluang yang tinggi untuk terus merokok sehingga ke titisan terakhir cecair.

E-rokok dipromosikan sebagai alternatif sihat kepada menghisap tembakau. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak menganggap ia satu terapi untuk perokok yang cuba untuk berhenti merokok. Menurut WHO, e-rokok tidak terbukti sebagai terapi pengganti nikotin.

Menurut saintis dari Universiti Athens, Greece, e-rokok menyebabkan kerosakan kepada paru-paru. Nikotin itu sendiri adalah racun yang menyamai racun perosak. Apabila diambil dengan begitu banyak, ia boleh membawa kepada keracunan nikotin, yang boleh menyebabkan muntah, loya dan sakit kepala.

Malaysia mempunyai prevalens merokok 23.1% dalam kalangan orang dewasa dan prevalens merokok amat tinggi sehingga 30.9% dalam kalangan lelaki berusia 13 tahun. Setiap hari 50 remaja di bawah usia 18 tahun mula merokok di Malaysia.

Daripada tinjauan yang dilakukan oleh CAP, jelas bahawa e-rokok amat menarik kepada golongan belia dan mungkin menyebabkan ketagihan nikotin dalam kalangan mereka. Ia juga membebaskan penggunanya daripada halangan untuk membeli rokok, yang bermakna peluang untuk menjadi ketagih lebih tinggi berbanding rokok.

Terdapat had umur bagi penjualan rokok, tetapi tiada had umur bagi membeli e-rokok. Ini boleh membawa kepada lebih ramai kanak-kanak dan golongan belia membeli dan menggunakan e-rokok. Kebanyakan penjualan adalah melalui dalam talian dan menjadi capaian yang lebih mudah kepada mereka yang di bawah umur. Oleh itu, ibu bapa perlu memantau anak-anak mereka bagi mencegah penagihan e-rokok dalam kalangan mereka.

Terdapat keperluan untuk mengenakan pengharaman segera ke atas penjualan vape memandangkan ia mungkin menarik golongan belia untuk mencuba dan menjadi ketagih dengannya. Sehubungan itu, CAP menggesa Kementerian Kesihatan mengenakan pengharaman segera ke atas penjualan dan penggunaan e-rokok. Bertindak segera untuk menyelamatkan generasi muda.

Kenyataan Akhbar,30 Oktober 2015

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt