Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Berbasikal untuk kesihatan

Berbasikal boleh menjadi kunci kepada kelangsungan hidup jangka panjang dalam bentuk kesihatan, alam sekitar dan ekonomi. Penyelidikan CAP menunjukkan memulihkan kembali penggunaan basikal akan memberikan manfaat kepada negara dan juga pengguna.

Satu kajian, Malaysian Shape of the Nation Survey mendapati rakyat Malaysia mempunyai paling ramai bilangan orang yang gemuk di wilayah Asean. Pada hakikatnya, bilangan orang yang gemuk melebihi daripada kebanyakan negara maju termasuk Jerman dan Perancis (NST, 29 September 2006).

Dalam tempoh 10 tahun yang lepas, bilangan orang yang gemuk telah meningkat lebih daripada dua kali ganda, mengakibatkan lebih ramai rakyat Malaysia jatuh sakit dan penyakit seperti tekanan darah tinggi dan diabetes semakin meningkat. Kini 54% daripada penduduk dewasa sama ada obes atau mempunyai berat berlebihan berbanding kepada hanya 24.1% berbanding 10 tahun yang lalu.

Kajian terbaru menunjukkan 48% lelaki dan 62% wanita Malaysia adalah gemuk. Sebaliknya di Singapura, kira-kira 24% daripada lelaki dan 48% wanita gemuk.

Dengan itu ramai rakyat Malaysia berisiko mendapat penyakit kaediovaskular, tekanan darah tinggi, gangguan lipid dan diabetes mellitus. Kajian yang sama mendapati 13.5% daripada penduduk dewasadi sini menghidap diabetik, berbanding dengan hanya 8.3% pada 1996.

Angka pada tahun lalu menunjukkan lebih daripada 10,000 orang di Malaysia mati setiap tahun daripada penyakit yang dikaitkan dengan tekanan darah tinggi seperti strok, serangan jantung dan kegagalan buah pinggang, termasuk kira-kira 6,000 kematian akibat penyakit jantung koronari (NST, 7 April 2006).

Tiga juta menderita akibat kolesterol tinggi manakala 2.1 juta lagi menghidap diabetes.

Setiap hari, kira-kira 110 rakyat Malaysia mengalami strok, pembunuh ketiga Negara selepas kanser dan serangan jantung. Lebih daripada 40,000 kes kanser baru dilaporkan setiap tahun.

Satu dalam tiga rakyat Malaysia berusia 30 tahun dan ke atas mengalami tekanan darah tinggi manakala hanya enam daripada setiap 100 orang mempunyai tekanan darah mereka di bawah kawalan.

Kanak-kanak Malaysia semakin gemuk & berpenyakit     
   
Kanak-kanak Malaysia juga membesar dengan menjadi semakin gemuk. Satu kajian yang dilakukan terhadap 11,264 kanak-kanak sekolah berusia antara enam dan 12 tahun di Semenanjung Malaysia pada 2002 mendapati satu daripada setiap enam pelajar di negara ini gemuk. Kanak-kanak Malaysia lebih buruk berbanding kanak-kanak di negara Asia lain seperti Filipina di mana satu daripada setiap 20 pelajar mempunyai berat berlebihan.

Kanak-kanak yang mempunyai berat berlebihan berdepan dengan risiko kesihatan yang sama seperti orang dewasa dan senario semasa tidak menunjukkan harapan yang positif.

Menurut Ketua Bahagian Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Wan Azman Wan Ahmad, lebih ramai orang muda mendapat penyakit jantung berbanding 30 tahun yang lalu. Satu pertiga daripada pesakit jantung di Negara ini berusia di bawah 45 tahun (The Star, 30 Julai 2006).

“30 tahun yang lalu, pesakit jantung berusia antara 50 dan 55 tahun bagi lelaki dan 60 dan 65 tahun bagi wanita tetapi hari ini kita mempunyai pesakit semuda 15 tahun.”

Galakkan kanak-kanak untuk berbasikal

Ramai remaja pada masa kini menjalani kehidupan yang tidak aktif dan banyak menghabiskan masa mereka dengan menonton TV atau bermain komputer. Tidak seperti generasi dahulu, kanak-kanak Malaysia di zaman moden ini juga terbatas daripada meneroka persekitaran mereka dengan berjalan kaki atau berbasikal atas alasan keselamatan termasuk keselamatan jalan raya. Pergerakan remaja pada masa kini juga banyak bergantung kepada kereta, kurang berbasikal dan berjalan terutama sekali ke sekolah.

Memandangkan kanak-kanak semakin ramai bergerak menggunakan kereta, bahaya lalu lintas meningkat, keadaan untuk berbasikal atau berjalan kaki (contohnya ke sekolah) menjadi semakin tidak selesa dan kanak-kanak yang berjalan kaki dan berbasikal ke sekolah semakin kurang. Ini menjadikan berbasikal kurang diminati dan membawa kepada lebih banyak penggunaan kereta yang menyebabkan ibu bapa berfikir bahawa jalan raya terlalu berbahaya.

Kajian menunjukkan pergerakan bebas membantu kanak-kanak untuk lebih aktif dan berkeyakinan diri dan menolong mereka mempelajari mengenai kepentingan jalan. Kajian juga menunjukkan pergerakan bebas dan mampu untuk berada di luar tanpa penyeliaan penting untuk pembangunan sosial dan diri kanak-kanak.    

Kerajaan perlu menjadikan jalan raya kita lebih mesra basikal dan menggalakkan kanak-kanak untuk berbasikal di mana jarak antara rumah dan sekolah terletak berdekatan, contohnya tidak kurang tiga kilometer.

Terdapat banyak manfaat daripada langkah ini, antaranya ialah:

• Berbasikal adalah cara yang paling baik untuk menggalakkan kanak-kanak melakukan senaman dengan kerap. Berbasikal secara kerap juga meningkatkan aktiviti dalam kalangan kanak-kanak. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan bahawa remaja perlu menyasarkan untuk menjadi aktif bagi tempoh lebih satu jam sehari. Kanak-kanak yang tidak melakukan senaman secara tetap berisiko mengalami berat badan atau gemuk, dengan risiko mengalami masalah kesihatan.

• Menggalakkan berbasikal dalam kalangan remaja akan menyediakan peluang untuk menyesuaikan tabiat perjalanan dan mengubah tabiat perjalanan generasi akan datang. Corak dan tabiat kehidupan ketika dewasa dibentuk sewaktu kanak-kanak. Penyelidikan menyarankan bahawa apabila kanak-kanak digalakkan untuk berbasikal sejak usia muda mereka akan terus berbasikal apabila dewasa nanti.

• Menggalakkan berbasikal ke sekolah boleh mengurangkan lalu lintas di jalan dan membantu memperbaiki kualiti hidup kanak-kanak.

Banyak negara maju pada hari ini melaksanakan skim berbasikal ke sekolah yang begitu berjaya dan memberikan manfaat kepada golongan muda dan negara mereka. Di Odense, Denmark banyak perubahan dibuat terhadap persekitaran lalu lintas untuk kanak-kanak dalam projek “Laluan Selamat Ke Sekolah”.

Projek itu merupakan salah satu daripada beberapa ciri yang mana dalam tempoh 20 tahun mengubah kadar kematian kanak-kanak daripada paling buruk kepada antara yang terbaik di Eropah Barat. Langkah yang diambil termasuklah kawasan kelajuan perlahan, meluruskan jalan, pulau lalu lintas dan menggabungkan laluan pejalan kaki dan basikal. Ini menghasilkan 82% pengurangan dalam kemalangan.

Di Flanders, Belgium, berkongsi basikal di mana kanak-kanak ke sekolah bersama kumpulan kecil di bawah panduan orang dewasa turut diperkenalkan.

Di Munich, Jerman projek “Pergerakan mapan untuk kanak-kanak” (MOBIKIDS) memperkenalkan langkah seperti tempat menurunkan kanak-kanak di zon yang telah dikhususkan, “bas berjalan kaki” dan “keretapi basikal” (jadual waktu ke sekolah yang dikendalikan oleh orang dewasa).

Langkah yang sama boleh dilaksanakan di sini sebelum berbasikal digalakkan secara rasmi kepada kanak-kanak.

Berbasikal baik untuk kesihatan  

Dengan berbasikal, rakyat Malaysia baik kanak-kanak mahupun orang dewasa akan melakukan senaman ke dalam hidup seharian mereka dan dalam proses ini ia memberikan kebaikan kepada kesihatan kita.

Berikut adalah petikan daripada buku Redesigning Urban Transport oleh Earth Policy Institute, “Basikal bukan hanya bentuk pengangkutan yang fleksibel, ia merupakan cara yang paling baik untuk mengekalkan keseimbangan antara pengambilan kalori dan perbelanjaan … Senaman secara tetap yang disediakan melalui berbasikal ke tempat kerja akan mengurangkan penyakit kardiovaskular, osteoporosis, dan arthritis dan menguatkan sistem imun.

“Berjuta orang membayar yuran bulanan untuk menggunakan pusat kecergasan, yang mereka selalu memandu ke sana untuk mengayuh basikal statik untuk mencapai manfaat yang sama.”

Pakar kesihatan berkata untuk kekal sihat, kita memerlukan senaman selama 30 minit setiap hari. Ini akan membantu seseorang itu mengurangkan risiko serangan jantung, tekanan darah tinggi dan penyakit lain. Berbasikal boleh membakar sehingga 700 kalori dalam sejam, merupakan cara yang paling baik untuk kekal sihat.

Berbasikal juga merupakan preskripsi yang sempurna untuk mengurangkan berat badan dan kekal sihat dan mencegah kegemukan, yang kini semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Disebabkan penunggang basikal menghidu wasap lebih sedikit berbanding mereka yang berada di dalam bas atau kereta, mereka lebih kurang cenderung untuk mengalami penyakit pernafasan. Kajian menunjukkan mereka yang berbasikal sebenarnya lebih baik dalam keadaan pencemaran berbanding mereka yang berada di dalam kereta, teksi dan bas. (Mereka yang berada di dalam kereta terdedah 3-4 kali lebih tinggi kepada pencemaran udara berbanding penunggang basikal dan pejalan kaki!).  

Kenyataan Media

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt