Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Pandang serius ancaman diabetes

15% rakyat Malaysia berusia lebih 30 tahun menghidap diabetes. Diabetes menjejaskan 246 juta orang di seluruh dunia dan dijangka menjejaskan kira-kira 380 juta menjelang 2025.

Setiap tahun 7 juta orang menghidap diabetes dan 3.8 juta dikaitkan secara langsung kepada  penyebab berkait diabetes termasuk penyakit kardiovaskular yang diburukkan lagi oleh diabetes berkait dengan gangguan lipid dan tekanan darah tinggi.

Diabetes Jenis 2 dikaitkan dengan pengambilan gula yang tinggi dan kegemukan.

Ketika dijalankan kajian mengenai Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) pada 1986, diabetes hanyalah 6.3%. Selepas 10 tahun kemudian, ia meningkat kepada 8.3%. Kini wabak diabetes telah meningkat kepada 14.9%. (NHMS III, 2006).

Gula memusnahkan tubuh dalam banyak cara – menyemai penyakit, menjejaskan kesihatan dan memendekkan nyawa. Ringkasnya Gula membunuh!

Gula adalah elemen asas yang terkandung dalam makanan berkanji. Bagaimanapun, gula putih bertapis, pada umumnya merujuk kepada istilah “gula”, yang diproses untuk tujuan komersial dan tidak sesuai untuk penggunaan manusia.

Bahan penambah yang  digelar “serbuk putih paling berbahaya pernah diketahui manusia” ini tidak mempunyai nutrien dan bertindak lebih seperti dadah berbanding makanan, malah lebih menjejaskan kesihatan manusia berbanding sebarang dadah lain.

Gula yang diproses dianggap sebagai keperluan atau makanan “penting” – di mata orang ramai dan kerajaan! Ia dikategorikan antara makanan ruji seperti beras dan minyak masak, dan merupakan barangan kawalan harga. Kekurangan gula dianggap sebagai krisis negara.

Rakyat Malaysia dilaporkan merupakan pengguna gula ke-8 tertinggi di Asia Tenggara. Pada 1970-an mereka mengambil 17 sudu teh gula sehari dan meningkat kepada 21 sudu teh pada 1980-an. Kini mereka mengambilnya secara purata 26 sudu teh gula sehari.

Lebih 60 penyakit telah dikaitkan dengan pengambilan gula termasuk kegemukan, diabetes, penyakit jantung, kanser, asma, dan alergi. Sesetengah penyakit yang membawa kematian ini menunjukkan tanda-tanda yang membimbangkan sejak beberapa tahun ini.

Kebanyakan orang mendapati sukar untuk mempercayai atau menerima bahawa mereka mengambil purata 26 sudu teh gula sehari kerana mereka mungkin memikirkan hanya gula putih yang “dilihat”, tetapi peningkatan jumlah gula yang diambil adalah yang terkandung dalam makanan dan minuman yang diproses secara komersial.

Sesetengah minuman ringan mengandungi purata sekurang-kurangnya 7 sudu teh gula dalam setiap tin. Tinjauan CAP mendapati, bilangan makanan dan minuman komersial mengandungi lebih 10 sudu teh gula dalam satu hidangan. Pengguna sering tidak menyedari berapa banyak gula yang diambil dalam jumlah keseluruhan setiap hari.

Tindakan segera perlu diambil untuk mengawal pengambilan gula di negara ini. Sehubungan dengan keadaan yang membimbangkan ini, CAP menggesa kerajaan supaya:

• Bekerjasama dengan pengeluar untuk mengurangkan kandungan gula dalam produk mereka.

• Menggesa pengeluar supaya meminda label mereka dengan menunjukkan secara jelas jumlah gula dalam makanan mereka. Untuk memastikan bahawa maklumat ini difahami oleh pengguna, kandungan gula boleh ditunjukkan secara grafik dalam bentuk bilangan sudu teh gula. (Satu sudu teh gula anggarannya bersamaan dengan 5g).

• Menggunapakai label “lampu isyarat” untuk meningkatkan kesedaran pengguna. Skim ini telah menunjukkan keberkesanan dalam membolehkan pengguna meneliti kandungan nutrien produk tertentu, dan membolehkan mereka membuat perbandingan antara produk. Di bawah skim ini, kod warna merah, oren, dan hijau akan menunjukkan sama ada paras ramuan berkenaan tinggi, sederhana atau rendah. Kehadiran tanda merah, oren atau hijau pada bungkusan makanan akan membolehkan ia berfungsi sebagai notis untuk pengguna – malah kanak-kanak atau mereka yang mempunyai pengetahuan pemakanan yang terhad atau kemahiran berangka dengan mudah mampu memahami tanda ini. Ia juga memastikan pengeluar segera bertindak untuk mengeluarkan versi produk yang lebih sihat.

• Hentikan segera iklan yang menunjukkan penggunaan gula yang tinggi dan minuman serta makanan remeh sewaktu rancangan televisyen yang menjadi tontonan kanak-kanak. Banyak iklan makanan remeh termasuk gula-gula, coklat dan minuman ringan disiarkan sebelum atau selepas rancangan kanak-kanak. Kanak-kanak mudah terpengaruh dengan tekanan media.

• Mendidik kanak-kanak sekolah tentang bahaya pengambilan gula berlebihan melalui pendidikan kesihatan, sains rumah tangga dan pelajaran masakan.

• Mendidik orang awam berhubung bahaya pengambilan gula melalui media (televisyen, radio dan akhbar).

• Menggalakkan kanak-kanak supaya menjauhi minuman manis di sekolah dengan menyediakan air minuman dalam mesin air di sekitar kawasan sekolah. Minuman manis tidak seharusnya dijual di kantin sekolah supaya kanak-kanak dapat mempelajari untuk memilih air sebagai minuman pilihan pertama.

• Mengharamkan sepenuhnya penjualan makanan remeh di kantin sekolah.

• Mengharamkan makanan penjaja dalam kawasan sekolah supaya kanak-kanak  tidak cenderung untuk membeli dan memakan makanan yang tidak sihat.

• Menghentikan tempat pameran yang mempunyai paras ketinggian yang sama dengan kanak-kanak di pasar raya dan kedai runcit yang biasanya ditempatkan berdekatan dengan kaunter bayaran untuk menarik kanak-kanak.

• Mengambil langkah menghapuskan mesin jualan makanan remeh dan minuman bergula daripada kawasan seperti hospital, lapangan terbang dan sekolah.

Ibu bapa boleh memainkan peranan berkesan dengan:

• Tidak menyimpan produk yang mengandungi gula yang tinggi dan gula-gula di rumah mereka.

• Jelaskan kepada anak-anak tentang faedah sayuran dan buahan serta menjadikan makanan ini menarik kepada mereka.

• Jadilah contoh yang terbaik kepada mereka yang masih muda dengan tidak memakan makanan manis, gula-gula, coklat dan makanan remeh ketika berada bersama mereka.

• Tidak memberikan ganjaran kepada kanak-kanak dengan benda-benda yang manis untuk menunjukkan kasih sayang kepada mereka.

Kenyataan Media CAP

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt