Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Haramkan Penyegar Udara dan Pewangi Di Tempat Awam – CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa agar memperkenalkan undang-undang yang mengharamkan penggunaan pewangi di tempat awam memandangkan ia boleh membahayakan kesihatan. Pengharaman tersebut turut termasuk penyegar udara dan minyak wangi.

Berikutan iklan yang menggalakkan persekitaran yang berbau harum sebagai bersih dan menyihatkan, penyegar udara sering digunakan di tempat-tempat awam seperti di lapangan terbang, restoran, pusat membeli-belah, bilik mesyuarat dan dewan keramaian. Sungguhpun popular, produk sebegini dibimbangi akan meningkatkan masalah pencemaran udara dan mendedahkan risiko kesihatan, terutama jika terlalu lama terdedah kepadanya.

Menurut Akademi Sains Amerika, 95% bahan kimia yang digunakan di dalam produk wangian adalah sebatian sintetik daripada petroleum. Ia turut termasuk bahan kimia toksik yang diketahui boleh menyebabkan kanser, kecacatan bayi ketika lahir, gangguan sistem saraf pusat dan tindak balas alahan.

Penyegar udara mungkin menggunakan bahan kimia yang dikenali sebagai ftalat yang boleh menyebabkan keganjilan hormon, kecacatan bayi sewaktu lahir, dan masalah sistem pembiakan.

Ftalat (sekumpulan pemplastik toksik) digunakan di dalam penyegar udara untuk melarut dan mengangkut haruman wangian. Penggunaan penyegar udara membebaskan ftalat ke udara. Ia kemudian mungkin dihidu, ataupun zarah aerosol mungkin melekat pada kulit dan diserap. Sebaik bahan-bahan kimia ini memasuki saluran darah, ia boleh mengubah paras hormon dan menimbulkan masalah kesihatan.

Pelbagai kajian yang dilakukan ke atas haiwan telah mengaitkan pendedahan pranatal kepada ftalat tertentu dengan penurunan dalam hormon testosterone, kecacatan alat kelamin lelaki, dan pengeluaran sperma berkurang.

Dalam manusia, ftalat telah dikaitkan dengan perubahan dalam paras hormon, air mani tidak berkualiti dan perubahan dalam perkembangan alat kelamin. Pendedahan ftalat dalam persekitaran dalaman juga telah dikaitkan dengan gejala alahan dan asma. Memandangkan pelabelan tidak diwajibkan, malah produk “asli” boleh mengandungi bahan kimia toksik, pada dasarnya adalah mustahil bagi pengguna biasa untuk mengetahui produk manakah yang berisiko berbahaya.

Selain ftalat, penyegar udara juga turut membebaskan sebatian organik yang meruap (volatile organic compounds atau ringkasnya VOC) ke udara. Pada suhu bilik, VOC mudah berubah menjadi wasap atau gas dan diketahui boleh menjejaskan kesihatan. Bahan cemar sampingan  juga terbentuk apabila bahan kimia di dalam produk bergabung dengan ozon dalam udara.

Kajian menunjukkan kurang daripada 10% ramuan mudah meruap biasanya tercatat pada label produk penyegar udara atau data mengenai keselamatan bahan. Penyegar udara adalah sumber utama sebatian organik mudah meruap yang menyebabkan pencemaran udara dalam bangunan.

Penyegar udara adalah bahan cemar udara. Ia tidak “membersihkan” udara di sekitarnya dan ia juga tidak menambah haruman “asli”. Malah sebahagian daripada penyegar udara menutup saluran hidung dengan lapisan berminyak atau dengan membebaskan bahan yang mematikan saraf untuk menyingkirkan bau.

Malah apa yang dikenali sebagai penyegar udara organik dan mesra alam sekalipun boleh mengeluarkan bahan cemar udara yang berbahaya.  Sebahagian besar bahan ramuan penyegar udara tidak diketahui atau tidak dinyatakan, berikutan perlindungan hakcipta yang membolehkan syarikat menyembunyikan rumusan yang mereka hasilkan.

Kecederaan tanpa disengajakan malah melecur juga pernah dilaporkan apabila penyegar udara yang mudah terbakar itu disambar oleh api yang berhampiran.

Pengguna berhak untuk bernafas dalam udara yang bersih dan tidak tercemar; mereka tidak seharusnya terdedah kepada udara yang dicemari wangian tiruan dan bahan kimia toksik lain. Kini terdapat undang-undang yang mengharamkan merokok di tempat awam; justeru undang-undang seumpamanya juga perlu dikenakan ke atas minyak wangian tiruan memandangkan ia mengandungi bahan kimia yang sama seperti yang terkandung di dalam asap rokok. Pengguna sepatutnya tidak menggunakan penyegar udara – khususnya di tempat kanak-kanak dan wanita hamil berada.

Selain penyegar udara, wangian tiruan di tempat awam mengganggu bagi mereka yang alah kepada bahan kimia dan sensitif kerana mereka tidak dapat pergi ke tempat-tempat seperti pawagam dan pusat membeli-belah. Individu yang memakai minyak wangi mahu menarik  perhatian tetapi ia cuma menyebabkan sakit kepala atau migrain kepada orang disekelilingnya. Sama seperti tembakau, menghidu minyak wangi orang lain bukanlah satu pilihan kerana adalah mustahil untuk mengelak wangian toksik dalam udara.

Ancaman bahaya yang sama turut didedahkan oleh pelbagai produk pengguna yang mengandungi pewangi seperti syampu, sabun, produk bayi, deodoran, produk selepas cukuran, mekap, produk pencuci pakaian, produk pembersih rumah, lilin dan mainan.

Sementara itu pengguna dinasihatkan agar:

·         mengelak penggunaan penyegar udara kerana ia merupakan bahan cemar yang menutupi kualiti udara yang buruk malah memburukkannya lagi.

·         pilih produk tanpa haruman untuk merendahkan pendedahan kepada bahan kimia toksik.

·         baca label bahan ramuan untuk mengetahui sama ada ia mengandungi wangian; malah produk yang diiklankan sebagai “tidak dicampur pewangi” atau “bebas pewangi” mungkin mengandungi VOC.

Sehubungan dengan bahaya yang dikaitkan dengan pewangi, Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa pihak berkuasa agar membentuk undang-undang ke arah mengharamkan penggunaan penyegar udara dan pewangi di tempat awam.

Memandangkan pewangi diketahui mengandungi bahan kimia memudaratkan, langkah ini boleh mendorong pengguna mengurangkan pendedahan kepada bahan kimia toksik.

Kenyataan Akhbar, 17 Januari 2018

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt