Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Menyambut Aidil Fitri, Elakkan Pembaziran & Bid‘ah

Pesanan Hari Raya dari Presiden CAP, Haji S. M. Mohamed Idris

Kita kini berada dalam 10 hari terakhir Ramadhan apabila umat Islam dikehendaki menghabiskan lebih banyak masa dengan bersolat, berdoa, memuhasabah diri dan melakukan amal kebajikan. Malangnya, mereka dihujani dengan iklan supaya membeli dan mengguna lebih banyak barangan. “Ramadan Jam 11, Tawaran Gila-gila bermula dari RM1, Raya Ni Mesti Cun, Jualan Hebat sehingga 50%” adalah antara beberapa iklan yang menggoda pengguna.

Iklan jualan tanpa mengelirukan pengguna dan tidak melanggar peraturan mungkin boleh diterima. Apakah matlamat mengaitkan promosi jualan dengan sambutan Aidil Fitri. Ia telah mencemarkan kesucian hari yang mulia itu. Apakah yang dilakukan oleh pihak berkuasa dan ulama? Mereka perlu mengambil tindakan tegas untuk menghentikan sekularisasi Islam ini.

Menurut portal Al-Islam.org:

“Aidil Fitri adalah perayaan yang unik. Ia tidak mempunyai hubungan dengan sebarang acara sejarah mahupun berkaitan perubahan musim atau kitaran pertanian. Ia bukan perayaan yang berkaitan dengan keduniaan.

Kepentingannya adalah kerohanian sepenuhnya. Ia adalah hari apabila umat Islam bersyukur kepada Allah yang telah memberikan mereka semangat, kekuatan dan ketahanan untuk menunaikan ibadah berpuasa dan patuh kepada perintahNya semasa bulan Ramadhan yang mulia.

Hari ini, umat Islam di seluruh dunia bergembira. Kegembiraan ini bagaimanapun bukan kerana berlalunya Ramadhan; ia merupakan kegembiraan yang mereka rasakan selepas berjaya melaksanakan ibadah penting ini.”

Dalam meraikan Aidil Fitri, umat Islam dikehendaki mengamalkan kesederhanaan dan mengelakkan aktiviti maksiat. Allah swt memerintah kita untuk tidak melakukan keborosan dengan kekayaan tetapi melakukan kebajikan. Dalam kitab suci Al-Quran, Allah swt berfirman dan memberi amaran: “Dan berikanlah haknya kepada kerabat terdekat, juga kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan; dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros. Sesungguhnya orang-orang yang pemboros itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya.” [Surah Al-Isra’, Ayat 26, 27]

Ramai orang Islam terutamanya golongan elit yang kaya raya, ‘orang kaya baru’ telah mencabuli perintah ini dengan melakukan pembaziran dan boros walaupun pada bulan Ramadhan. Mereka berbelanja dengan mewah dalam menghiasi rumah mereka, membeli perabot mahal, langsir, pakaian, jam tangan dan barangan peribadi lain. Manakala purata pendapatan isirumah rakyat kita kurang daripada RM2000 sebulan, beg tangan ‘orang kaya baru’ bernilai lebih RM20,000.

Gaya hidup mewah memberikan kesan negatif dan turut meresap ke dalam lapisan masyarakat lain. Golongan berpendapatan rendah cuba untuk meniru orang kaya, dengan berbelanja berlebihan, hidup melampaui kemampuan dan terperangkap dalam beban hutang. Masalah kewangan mencetuskan pergolakan dalam keluarga yang membawa kepada perpecahan dan perceraian di mana anak-anak menjadi mangsa.

Kekayaan dalam Islam merupakan anugerah daripada Tuhan kepada manusia sebagai pemegang amanah. Ia bukan untuk diboroskan dengan gaya hidup membazir tetapi untuk memperbaiki dan mengupayakan komuniti, dan untuk membantu golongan miskin, mereka yang memerlukan dan mereka yang terpinggir di mana sahaja mereka berada.

Kemiskinan begitu meluas di dunia ini, terutamanya di banyak negara Islam. Lebih 2 bilion orang hidup miskin dengan kelaparan. Di Syria, Iraq dan negara lain yang musnah akibat perang dan konflik, 10 juta orang menjadi pelarian di negara sendiri hidup dalam khemah atau hidup sebagai pelarian di kem-kem pelarian. Mereka tidak mempunyai makanan yang mencukupi, pakaian, pendidikan, penjagaan kesihatan dan keperluan asas lain. Dalam keadaan umah yang sebegini, tidakkah menjadi satu dosa dan jenayah bagi mereka yang kaya menghamburkan kekayaan dengan pemborosan dan pembaziran?

Mengadakan rumah terbuka pada Hari Raya Aidil Fitri sudah menjadi satu kelaziman bagi komuniti Islam di Malaysia yang berada dalam golongan berpendapatan rendah. Secara tradisinya, selepas solat, mereka akan mengunjungi rumah jiran, saudara dan rakan untuk bermaaf-maafan, sembang-sembang, dan memakan sedikit juadah berupa kuih, ketupat, lemang, dan minuman.

Hari ini jauh berbeza. Rumah terbuka diadakan oleh organisasi, parti politik dan ahli politik,  korporat dan orang kaya menyediakan hidangan pelbagai jenis makanan dan minuman malah hiburan juga. Banyak makanan dibazirkan. Berdasarkan nilai ekonomi ia mencecah berjuta ringgit. Tidakkah ia lebih bermanfaat jika wang ini digunakan untuk menyediakan biasiswa bagi anak-anak miskin atau mereka yang tidak berumah?

Sambutan secara sederhana boleh dianjurkan oleh umat Islam dan penduduk bukan Islam dalam kejiranan mereka yang akan menggalakkan pemahaman yang lebih besar, perpaduan dan persahabatan dalam kalangan mereka.

Terdapat amalan menziarahi kubur pada pagi Aidil Fitri, menyiram air mawar dan menaburkan bunga di atas pusara, membaca tahlil, Yasin dan al-Fatihah. Ini bukan amalan Nabi Muhamad s.a.w. atau sahabat. Nabi s.a.w. tidak menetapkan secara khusus hari untuk mengunjungi pusara. Kita boleh berbuat demikian bila-bila masa dan oleh sebab itu ia tiada kaitan sama sekali dengan anjuran agama dalam mengunjungi pusara pada Aidil Fitri.

Amalan Nabi (s.a.w) adalah seperti yang dinyatakan oleh Aishah: “Saya bertanyakan apa yang perlu saya katakan apabila melalui perkuburan, wahai pesuruh Allah (s.a.w.). Nabi (s.a.w.) menjawab: “Katalah mudah-mudahan Allah mencurahkan limpah kesejahteraan kepada kamu sekalian wahai penghuni-penghuni kubur daripada kalangan orang mukmin. Semoga Allah memberi rahmat kepada orang yang telah mendahului kami dan orang yang kemudian. Sesungguhnya insyaAllah kami akan menyusul kamu sekalian.” Hadis riwayat Muslim.

Saya merayu kepada umat Islam agar menghayati kemuliaan Aidil Fitri dan mengelakkan boros, membazir dan bid’ah.

Kenyataan Media, 15hb Jun 2017

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt