Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

KRISIS KEKEBALAN ANTIBIOTIK

Penyalahgunaan dan penggunaan antibiotik yang berlebihan membawa kepada pelbagai bakteria yang menyebabkan penyakit menjadi kebal kepada antibiotik. Kita mungkin akan kehilangan penawar dalam pertempuran melawan kuman kebal.

Jangkitan yang mudah diuruskan mungkin sekali lagi menjadi tidak terkawal dan sukar untuk dirawat. Kuman kebal membunuh berjuta orang di seluruh dunia.

APAKAH ANTIBIOTIK

Antibiotik merupakan ubat yang kuat untuk membunuh atau mengurangkan pembiakan bakteria.

Sejak diperkenalkan selepas Perang Dunia Kedua, doktor dan masyarakat menjadi terlalu bergantung kepada antibiotik untuk merawat segala penyakit. Antibiotik juga digunakan dengan meluas untuk bayi praterma dan sebelum atau selepas pembedahan, rawatan kanser dan pemindahan organ.

Jika digunakan dengan betul, antibiotik boleh menyelamatkan nyawa. Ia telah menyelamatkan berjuta nyawa sejak mula diperkenalkan pada 1940-an dan 1950-an.

Malangnya, disebabkan penyalahgunaan dan penggunaan berlebihan, banyak antibiotik hari ini tidak lagi berkesan. Apabila bakteria menjadi semakin kebal dan kuat, antibiotik yang baharu diperlukan.

Antibiotik baharu mahal harganya dan mengambil masa untuk dimajukan. Sementara itu “kekebalan kepada antibiotik semakin meningkat dan kita semakin kehabisan kaedah rawatan untuk melawannya”, Dr Marie-Paule Kieny, Penolong Ketua Pengarah WHO mengenai sistem kesihatan dan inovasi, memberi amaran dalam laporan terbaharu.

Bakteria mampu mengembangkan kekebalan kepada antibiotik dengan cepat. Kuman Staphylococcus aureus yang kebal antibiotik Methicillin (MRSA) berkembang cuma dua tahun selepas methicillin beredar di pasaran pada 1960.

Kita menggunakan lebih banyak antibiotik – preskripsi untuk diri sendiri atau dalam pertanian dan haiwan ternakan sebagai menggalakkan pembesaran dan kira-kira 70% antibiotik dunia digunakan untuk haiwan.

MASALAH SERIUS

Di seluruh dunia, lebih 2 juta orang dijangkiti oleh bakteria kebal antibiotik.

Di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana, kekebalannya sudah pun tinggi: Di Indonesia, Brazil dan Rusia kira-kira 60% jangkitan bakteria sudah pun kebal kepada sekurang-kurangnya satu antibiotik.

Pusat bagi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat menggelarnya “salah satu daripada masalah kesihatan awam yang paling menekan.”

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengenal pasti kekebalan kepada antibiotik sebagai salah satu ancaman terbesar kepada kesihatan manusia sekarang. “Mekanisme kekebalan yang baharu telah muncul dan tersebar di seluruh dunia, mengancam kemampuan kita untuk merawat penyakit berjangkit,” tegas WHO.

Ia memberi amaran bahawa “kita sedang menuju ke era pasca antibiotik, di mana banyak jangkitan biasa sukar untuk diubati dan kuman sekali lagi (akan) membunuh secara berleluasa.

Ketua Pegawai Perubatan England, Dame Sally Davies turut memberi amaran berhubung “mala petaka era pasca antibiotik”. “Jika kita tidak bertindak sekarang, sesiapa sahaja di antara kita akan dimasukkan ke hospital dalam tempoh 20 tahun bagi pembedahan kecil dan mati kerana jangkitan biasa yang tidak mampu diubati dengan antibiotik. Pembedahan rutin seperti penggantian tulang pinggul atau pemindahan organ boleh membawa maut berikutan risiko berlaku jangkitan,” tegas beliau.

SIAPA BERISIKO?

Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), yang menasihati WHO mengenai inisiatif kesihatan awam, telah memberi amaran pada November 2018 bahawa kadar kekebalan yang tinggi dalam sistem penjagaan kesihatan “akan membawa kepada kadar kematian yang tinggi, yang kebanyakannya akan membabitkan bayi baharu lahir, kanak-kanak dan golongan tua.”

Kementerian Kesihatan New Zealand berkata: Golongan yang paling mudah terjejas kepada risiko mendapat penyakit akibat bakteria kebal adalah mereka dengan sistem imun rendah, misalnya pesakit di hospital yang tua atau terlalu tenat; pesakit hospital yang mempunyai luka terbuka (seperti luka akibat terbaring terlalu lama) atau tiub dimasukkan ke dalam tubuh mereka (seperti cateter saluran kencing); dan mereka yang menjalani rawatan untuk kanser.

alt

alt

alt

alt

alt