Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Permainan Buatan Plastik Hitam Kitar Semula – Mengancam Kesihatan Kanak-Kanak!

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan persekutuan untuk mengambil tindakan tegas terhadap kesan buruk permainan yang diperbuat daripada  plastik hitam yang dikitar semula, yang mengancam kesihatan kanak-kanak. Satu kajian yang menganalisis kesan bahan kimia toksik dalam permainan plastik kanak-kanak dan produk pengguna terhadap sel manusia, telah mendedahkan bahawa permainan yang diperbuat daripada beberapa plastik kitar semula adalah toksik kepada manusia dan merupakan penyumbang besar pendedahan dioksin harian kepada kanak-kanak terutamanya kanak-kanak yang memasukkan permainan tersebut ke dalam mulut mereka.

Kajian ini dilakukan oleh sekumpulan penyelidik dari Arnika, BioDetection Systems, dan International Pollutants Elimination Network (IPEN), sebuah jaringan masyarakat sivil global yang turut disertai CAP dalam advokasi masa depan bebas-toksik.

Kami amat bimbang tentang hasil kajian ini yang menekankan kebahayaan aliran di dalam modal ekonomi sirkular yang mencari cara untuk menurunkan kadar sisa plastik yang makin meningkat melalui pengitaran semula plastik. Sistem kitar semula sekarang membenarkan bahan kimia kalis api dan dioksin untuk dimasukkan ke dalam aliran kitar semula, menghasilkan produk  diperbuat dari plastik yang dikitar semula yang amat tercemar, seperti  bahan permainan yang dikaji dalam penyelidikan ini.

Tahap bahan kimia yang bertoksik yang didapati dalam semua sampel adalah setara dengan tahap sisa merbahaya seperti abu daripada sisa insinerator. Permainan yang diperbuat daripada plastik hitam, yang sering didapati dari pengitaran plastik dari sisa elektronik yang mengandungi bahan kimia kalis api, adalah toksik kepada sel manusia. Kajian ini juga menunjukkan bahawa permainan kanak-kanak yang digunakan oleh bayi (mouthing toy) yang diperbuat daripada plastik ini adalah berisiko tinggi mengancam kesihatan kerana mengandungi bahan toksik.

Plastik hitam berasal daripada plastik sisa elektronik yang bertoksik tinggi yang mengandungi bahan kimia bertoksik bromin kalis api. Penyelidik telah mendapati tahap kandungan bahan kalis api dan dioksin yang  amat tinggi dalam sampel permainan dan komponennya yang dianalisa, yang mana paras kandungan didapati setara dengan sisa berbahaya. Para penyelidik juga menganalisa ketoksikan sampel kepada manusia dan impaknya terhadap sel hidup manusia. Aktiviti dioksin yang tinggi telah dikenalpasti dalam sampel sel dan ia telah disimpulkan bahawa  permainan kanak-kanak seperti yang digunakan untuk pergigian bayi (teething and mouthing) akan meningkatkan pendedahan harian dioksin pada kanak-kanak.

Dioksin dianggap sebagai bahan kimia yang amat bertoksik dan merbahaya walaupun dalam jumlah yang minima. Dioksin berbrominasi (brominated dioxin) adalah bahan kimia yang amat merbahaya yang diketahui sebagai pembantut tumbesaran otak, merosakkan sistem imun, meningkatkan risiko kanser, dan mengganggu fungsi tiroid, Ia dibentuk secara tidak sengaja semasa penghasilan brominasi kalis api.

Apabila plastik yang berbrominasi kalis api dikitar semula dan dipanaskan untuk diperbentuk kepada bahan plastik baru, tambahan dioksin berbrominasi dan  berklorin terbentuk. Walaupun tidak dilarang secara global, dioksin berbrominasi diakui oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia sebagai bahan toksik yang berkait rapat dengan dioksin berklorin.

Dr. Peter A. Behnisch, Pengarah  BioDetection Services, makmal yang berpusat di Amsterdam yang telah menjalankan analisis ini menyatakan bahawa “kami menggunakan  metodologi kaedah pengajian sel manusia dan mamalia, serta analisis bahan kimia bagi mentaksir impak toksik dari plastik dalam kajian ini, meningkatkan pengetahuan saintifik tentang bagaimana bahan kimia toksik dalam plastik dapat mempengaruhi kesihatan manusia. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa banyak produk pengguna dihasilkan menggunakan plastik hitam yang dikitar semula mengandungi bahan kalis api brominasi (seperti PBDEs), sebatian dioksin-berbrominasi yang bertoksik tinggi adalah dijangka dan harus dipantau dan dicegah dengan segera.”

Jindrich Petrlik, Pengarah Eksekutif Arnika, Penasihat IPEN, dan saintis utama projek berkata, “Kajian ini mendemonstrasikan bahawa sistem sekarang membenarkan bahan merbahaya diperbentukkan untuk menjadi permainan. Kawalan yang lebih ketat untuk bahan pencemar organik (POPs) berterusan dihalang daripada produk pengguna  adalah penting dari segi moral. Kita harus memberhentikan aliran sisa elektronik, dan plastik kalis api, ke dalam pengitaran semula dan menetapkan had yang lebih ketat untuk POPs dalam sisa. Kalau tidak, kita akan melihat kepada ekonomi sirkular bertoksik.”

“Kita dikelilingi plastik, terutamanya dalam permainan, dan bahan kimia yang digunakan  untuk membuat plastik tidak diketahui, terutamanya jikalau plastik itu dikitar semula. Ibu bapa tentu tidak mahu mendedahkan kanak-kanak mereka kepada toksik,” kata Dr. R. Thomas Zoeller, Ph.D., Profesor Biologi di Universiti Massachusetts, Amherst dalam menunjukkan keseriusan bahan kimia yang menjadi penyebab kanser seperti yang dijumpai pada permainan yang dikaji

CAP menyokong seruan para penyelidik agar tindakan segera diambil untuk mengubah sistem global proses pengitaran semula untuk menghindar bahan bertoksik yang merbahaya daripada memasuki rantaian pengitaran semula.

CAP juga menasihat para ibu bapa untuk mengurangkan pendedahan kanak-kanak mereka kepada bahan kimia yang bertoksik seperti memberhentikan penggunaan permainan yang diperbuat daripada plastik hitam. Walaupun kebanyakan plastik diperbuat daripada sisa elektronik, plastik berwarna lain juga boleh mengandungi bahan kimia bertoksik.

CAP menggesa kementerian yang relevan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Alam Sekitar dan Air serta Kementerian Kesihatan untuk mengkaji semula secara serius sistem kitar semula bagi memberhentikan pengitaran semula bahan toksik. Kesihatan dan keselamatan kanak-kanak adalah amat penting dan tidak boleh dikompromikan.

 

Kenyataan Media, 12 Mei 2020

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt