Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

TAHUN BAHARU CINA YANG SIHAT DAN MENGGEMBIRAKAN

Kegembiraan menyambut Tahun Baharu mula dirasai dengan keluarga kaum Cina sibuk merancang hidangan terpenting untuk tahun ini – Makan Malam Keluarga – di mana semua saudara mara pulang ke kampung halaman masing-masing untuk makan malam bersama.  Musim bunga bakal tiba dan perayaan untuk menyambut kedatangannnya dalam 15 hari berikutnya menjadi lambang kejayaan menempuh musim sejuk yang baharu berakhir.

Makan Malam Keluarga akan disediakan oleh ahli keluarga sesebuah rumah dengan segalanya dilakukan secara gotong-royong. Amalan ini mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan sesama mereka. Kita sepatutnya mengekalkan tradisi ini daripada menempah restoran untuk makan bersama, sehingga seolah-olah melupakan nilai-nilai murni yang diperturunkan oleh nenek moyang kepada kita.

Saudara mara kemudian berkumpul sambil menikmati juadah yang sama serta berkongsi tempat pendiang yang sama untuk memanaskan badan. Untuk melakukannya, semua orang perlu meninggalkan segalanya – sungutan, kemarahan malah telefon bimbit – dengan duduk bersama-sama sambil berbual mesra sesama mereka. Ia melambangkan permulaan kehidupan yang lebih baik di tahun baharu.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada mereka yang merayakannya sambil berharap kita sentiasa beringat mengenai jumlah makanan yang akan dihidang atau yang ditempah dari restoran ketika musim perayaan kali ini. Sudah tiba masanya kita memikirkan berapa banyak makanan akan terbuang, dan bagaimana golongan yang kurang bernasib baik berharap akan berpeluang menikmati segala hidangan lazat yang membazirkan.

Janganlah kita meneruskan tabiat yang membazir ini hanya kerana kita mampu memesan lebih banyak makanan daripada yang diperlukan kerana kaum Cina sentiasa menganggap makanan adalah tanda “tuah” dan suatu rahmat kerana dapat menikmatinya.

Pembaziran makanan menjadi satu masalah di negara kita. CAP menganggarkan RM1.8 bilion makanan dibazirkan atau terbuang begitu sahaja ketika proses menyedia, memasak dan baki yang tidak dihabiskan. Kita selalu menyangka sebagai tuan rumah, kita perlu memastikan semua tetamu yang bakal menikmati juadah yang disediakan mesti menikmati lebih daripada yang secukupnya. Kerapkali kemurahan hati kita ini menyebabkan lebih banyak makanan terbuang begitu sahaja.

Menurut SWCorp, rakyat Malaysia membazirkan 15,000 tan makanan dalam sehari, dan jumlah makanan yang terbuang ini bertambah 15-20 peratus ketika musim perayaan. Harus diingat, bukan makanan sahaja yang dibazirkan kerana sumber-sumber lain seperti air, tenaga, dan kerja turut dibazirkan bersamanya. Misalnya, untuk membuang nasi ke tong sampah memang mudah tetapi ia mengambil masa 100 hari dan 1,000 liter air untuk menghasilkan satu kilogram beras.

Kebanyakan makanan terbuang akan berakhir di tapak pelupusan sampah di mana ia mengurai kepada metana, gas rumah hijau yang berkali-kali lebih memudaratkan daripada karbon dioksida. Tambahan pula pengguna tidak menyedari bahawa makanan yang dibazirkan itu menyumbang kepada kenaikan harga makanan. Kenaikan harga makanan banyak berpunca daripada peningkatan dalam permintaan dan kebanyakan makanan kita pula diimport.

Tahun Baharu Cina perlu diraikan dengan makanan asli lagi berkhasiat yang melambangkan kesihatan. Kita harus memberikan lebih perhatian kepada memakan lebih banyak buah-buahan dan sayuran berdaun hijau, menjauhi segala makanan yang diproses dan mengurangkan makan makanan manis atau masin. Bukankah sayuran berdaun hijau melambangkan kehidupan yang gemilang dan sejahtera.

Marilah sama-sama kita menjadikan Tahun Baharu Cina pada tahun ini lebih bermakna daripada tahun-tahun sebelumnya. Namun kita terlebih dahulu perlu memahami kepentingan perayaan ini agar lebih menghargainya.

Dengan kedatangan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi, kita akan dipengaruhi dengan iklan yang cuba memujuk kita agar berbelanja untuk meraikannya. Marilah kita berfikir dengan teliti mengenai apa yang akan dibelanjakan sepanjang 15 hari sewaktu menyambut Tahun Baharu Cina nanti dan bagaimana perbelanjaan itu boleh dijimatkan atau dibelanjakan ke atas barangan yang lebih diperlukan untuk keluarga dalam tempoh 12 bulan berikutnya. Berjimat cermat boleh membantu  di saat  kita memerlukan wang.

Marilah juga kita memahami dengan lebih mendalam mengenai kepentingan memberi ang pow (sampul merah). Ia diberikan kepada kanak-kanak sebagai ya sui qian (secara ringkasnya bermaksud “wang tekan usia” dalam bahasa Cina) yang secara simbolik berharap anak-anak  akan mampu menghadapi segala masalah yang dihadapi sepanjang tahun itu. Oleh itu jumlah wang yang diberi tidak penting kerana tujuan asal pemberian ang pow itulah yang lebih penting. Apabila kita berpegang kepada prinsip ini, kita akan memahami bahawa kita memalukan ahli keluarga dan saudara mara yang tidak mampu memberikan ang pow “besar”. Walaupun ada di antara mereka yang mampu memberinya namun mereka akan berdepan masalah kewangan selepas Tahun Baharu Cina.

Apabila kita bersembahyang di kuil atau di rumah, kita harus mengelak daripada membakar colok besar  atau  membakar  terlalu  banyak kertas  sembahyang.  Alasannya  niat  murni  lebih penting daripada membakar kayu gaharu, colok atau kertas sembahyang. Ia terpesong daripada matlamat asal berkomunikasi dengan “hati” tetapi sebaliknya menyebabkan wang terbuang begitu sahaja dan udara dicemari. Bau asap yang tengik daripada bahan sembahyang yang dibakar tidak baik untuk mereka yang mengalami masalah pernafasan atau penglihatan yang menyakitkan.

Mercun dan bahan letupan lain tidak seharusnya menjadi sebahagian daripada upacara menyambut Tahun Baharu Cina jika kita mengambil sikap berhemah. Ini kerana apabila membakar mercun, kita hanya membuatkan bayi, haiwan, golongan tua dan mereka yang mengalami masalah kesihatan tidak mendapat rehat yang sepatutnya.

Dengan itu, kami di Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina yang sihat dan menggembirakan. Semuga ada perubahan positif dalam kehidupan anda.

 

Kenyataan Akhbar, 25 Januari 2019

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt