Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Keselamatan penggunaan tong (silinder) gas memasak perlu dititikberatkan

alt

Sama seperti tenaga elektrik, gas memasak atau Gas Petroleum Cecair (LPG) perlu dianggap sebagai utiliti berbahaya yang perlu dikendalikan dengan penuh berhati-hati. Kerajaan juga perlu melihatnya sebagai sesuatu yang mesti ditangani dengan segera, dan memastikan semua tong gas dan aksesori yang dijual selamat untuk kegunaan. Sementara itu pengguna perlu diberikan pendidikan mengenai keselamatan ketika menggunakannya, yang tiada ketika ini.

Keselamatan di kilang pembotolan, begitu juga ketika pengedaran dan penggunaan gas oleh pengguna tidak seharusnya dipandang remeh. Di Malaysia, sudah bertahun-tahun berlaku kebocoran gas yang menyebabkan tong gas meletup hingga meragut nyawa dan mencederakan pengguna.

Apakah tanggungjawab yang harus dipikul oleh pengedar dan peruncit gas memasak yang dijual di dalam tong atau botol sebagaimana yang diketahui dalam industri? Siapakah yang bertanggungjawab memastikan tong gas yang dibekalkan kepada pengguna adalah selamat dan tidak bocor? Badan manakah yang memantau perkara ini?

Ianya juga tidak jelas mengenai agensi yang manakah bertanggungjawab menguji tong gas secara berkala dan mengesahkan ia selamat untuk kegunaan. Apakah tempoh masa tong gas dan injapnya? Apakah tempoh hayat set alat atur? Tarikh luput barangan ini sepatutnya diletakkan pada barangan tersebut.

Kebocoran  boleh berlaku pada injap silinder, getah penghubung atau pada injap ketuhar. Setiap kebocoran perlu dibaiki dengan cara yang berbeza. Satu-satunya maklumat yang diberi ialah amaran berjaga-jaga pada kad bulat kecil yang dipasang pada kepala tong gas namun ia tidak banyak membantu.

Gas memasak sudah digunakan oleh penduduk Malaysia sejak lebih 50 tahun yang lalu dan ini sajalah pendidikan  yang diterima oleh pengguna. Hampir setiap penghuni rumah mempunyai sebiji atau dua biji tong gas di dapur. Adakah pengguna diharapkan dapat belajar dari kesilapan menggunakannya? Gas merupakan satu kemudahan yang kita tidak sepatutnya melakukan sebarang kesilapan.    

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menghadapi kesukaran untuk mendapatkan maklumat berhubung peraturan dan keselamatan tong gas serta aksesorinya. Terdapat pelbagai agensi kerajaan yang dikaitkan dengan industri gas di Malaysia tetapi tidak satu pun yang boleh memberikan maklumat yang lengkap dan pintar. Segalanya begitu kabur.

Sehubungan itu, CAP menggesa pihak berkuasa berkenaan supaya mengambil langkah-langkah yang berikut tanpa berlengah lagi:

1. Menyediakan prosedur keselamatan mengenai penggunaan gas memasak dan ketika berlaku kecemasan. Maklumat seperti itu seharusnya mudah diperolehi pengguna melalui pelbagai cara, antaranya memberi taklimat di pusat komuniti;

2. Mewajibkan tong gas disertakan tarikh luputnya tong itu sendiri, injap, hos dan alat atur. Pastikan semua bahagian termasuk lingkaran getahnya memenuhi piawaian;

3. Membentuk agensi untuk menguji tong gas dan barangan lain

4. Membentuk badan  yang akan memantau industri berkenaan.

Kenyataan Akhbar - 20 Februari 2014

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt