Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Bumbung Stadium Terengganu runtuh – Keselamatan pekerja dan orang awam mencapai peringkat teruk

Tidak sampai empat tahun yang lalu, 60 peratus daripada bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang berharga RM292 juta telah runtuh dengan kerosakan bernilai antara RM15 hingga RM25 juta. Mujur tidak berlaku sebarang kematian.

Terbaharu, sekali lagi Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin mengalami bencana. Kali ini lima pekerja cedera dan dua daripadanya parah. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut dengan sikap kurangnya keprihatinan terhadap keselamatan oleh kontraktor dan pegawai yang terlibat.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam dan Pembangunan Negeri Terengganu, Za’abar Mohd Adib dilaporkan sebagai berkata, “Kami melakukan kajian integriti sebelum bumbung diperbaiki tetapi pihak kontraktor gagal mencadangkan kaedah kerja yang tepat untuk memperbaiki bumbung itu.”

Beliau juga berkata berdasarkan siasatan awal, runtuhan itu adalah dipercayai akibat struktur bumbung utama yang tidak kukuh selepas rangka utama bahagian tengah dikeluarkan.

Memandangkan bahaya yang dihadapi oleh pekerja yang berdepan dengan kematian akibat kecuaian ini, kami mempersoalkan bagaimana pekerja dibenarkan untuk menjalankan kerja membaiki apabila cadangan bagi “kaedah kerja yang tepat” masih belum diluluskan.

Adakah terdapat laporan kemajuan berhubung kerja oleh kontraktor yang dipantau oleh perunding dan jurutera dari pihak berkuasa tempatan? Apakah proses pemantauan itu sebenarnya dan apakah hasil penemuannya? Apakah keselamatan pekerja diutamakan dalam proses pemantauan oleh profesional dan pihak berkuasa itu?

Kami juga mempersoalkan bagaimana rangka utama bahagian yang dikeluarkan yang  menyebabkan struktur bumbung menjadi lemah sebelum kerja membaiki dilakukan, diluluskan dan oleh siapa. Keputusan penting hanya boleh dibuat oleh profesional bertauliah selepas mempertimbangkan soal keselamatan.

Za’abar Mohd Adib juga berkata, “Kontraktor bagi kerja-kerja memperbaiki yang bernilai RM1.7 juta itu juga akan menanggung kerugian yang berlaku dalam kejadian itu.”

Sikap tidak peka yang ditunjukkan terhadap keselamatan pekerja dan orang awam di negara ini telah mencapai peringkat teruk dengan setiap bencana baharu yang berlaku. Malangnya, sukarnya terdapat sebarang perubahan dalam sikap kontraktor, perunding dan pegawai kerajaan terhadap keselamatan awam.

Tidak cukup sekadar pihak kontraktor yang akan menanggung segala kerugian. Apa yang lebih penting ialah untuk menentukan siapakah yang akan bertanggungjawab terhadap kemalangan dan pekerja yang mengalami kecederaan serta kebajikan keluarga mereka.

Pada 2009, Datuk S. Subramaniam, Menteri Sumber Manusia telah berjanji untuk meminda Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (OSHA) 1994 bagi “memastikan golongan profesional akan lebih bertanggungjawab apabila melibatkan soal keselamatan. Oleh sebab itu, apabila Akta itu dipinda, para profesional bertanggungjawab untuk memantau proses itu. Jadi sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak betul maka undang-undang membenarkan kita untuk mengambil tindakan,” katanya.

CAP menggesa agar pindaan kepada Akta itu dipercepatkan demi kepentingan pekerja dan keselamatan awam. Kami juga menggesa butiran lanjut berhubung hasil siasatan kejadian kemalangan pertama dan kemalangan yang terbaharu ini didedahkan kepada umum melalui suruhanjaya sisatan bebas.

Menurut laporan PERKESO, terdapat 34,376 kemalangan industri pada 2009 sahaja. Bilangan kematian yang dilaporkan adalah 1,231. Berdasarkan standard keselamatan yang diamalkan oleh majikan dan pihak berkuasa di negara ini, berapa ramai ‘profesional’ dipertanggungjawabkan terhadap kemalangan dan kematian yang berlaku?

Tidak kira sama ada Akta itu dipinda, adalah penting sekali bagi kontraktor, jurutera, perunding dan pihak berkuasa dipertanggungjawabkan terhadap kemalangan yang boleh dielakkan yang boleh mengakibatkan kematian.

Hanya dengan tanggungjawab dan akauntabiliti maka keselamatan pekerja akan menjadi lebih baik di Malaysia.

Perkara ini mestilah dikuatkuasakan dengan segera oleh pihak Kementerian Sumber Manusia tanpa sebarang penangguhan lagi.

Surat kepada Pengarang - 25 Februari  2013

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt