Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Bolehkah Pekerja Asing Terhindar Daripada Tertimbus?

Dilaporkan pada 21 Julai 2020 terdapat pekerja asing yang tertimbus di tapak pembinaan di Kota Damansara dan meninggal dunia ketika dikejarkan ke hospital. Siasatan awal menunjukkan tanah dinding runtuh ketika beliau sedang memasang paip pelupusan sisa bawah tanah.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut dengan berita ini memandangkan ini bukanlah kali pertama kemalangan berlaku ketika kerja-kerja sedang dilakukan di bawah tanah, atau di dalam lubang atau parit yang dibina di tapak pembinaan.

Kes kemalangan di tempat kerja yang sama melibatkan paip pembetungan berlaku pada Mac tahun ini di tapak pembinaan di Temerloh. Dua pekerja asing tertimbus oleh tanah yang diletakkan di tepi lubang.

Amat menyedihkan untuk mengetahui bahawa satu lagi nyawa hilang dan kita sebagai masyarakat dilihat menjadi tidak peka sepenuhnya kepada tragedi ini, memandangkan ia terus berlaku, hingga ke peringkat di mana kita telah hilang rasa kemanusiaan kita.

CAP ingin mengetahui jika terdapat SOP yang mesti dipatuhi apabila pekerja binaan memasang atau menempatkan paip pembetungan di tapak pembinaan dan adakah SOP itu dipatuhi dalam kemalangan yang berlaku itu.

Kini kita sedang berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), banyak tapak pembinaan telah memulakan semula operasi biasa mereka. Amat penting sekali agar SOP yang lebih ketat dan SOP ini diikuti supaya keselamatan pekerja asing di tapak pembinaan dapat dipastikan. Majikan yang tidak mengambil langkah keselamatan yang mencukupi dan melanggar SOP mestilah dihukum termasuk hukuman penjara.


Kenyataan Akhbar, 24 Julai 2020

alt

alt

alt

alt

alt