Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan gagal mengawasi ketidakpatuhan keperluan keselamatan di tapak kerja

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut apabila Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mendedahkan pada 18 Ogos 2018 bahawa 711 pekerja terbunuh semasa bekerja pada 2017, dengan 183 kematian berlaku di tapak pembinaan.

Tiga orang cedera dan satu pasangan warganegara Indonesia mati dalam insiden terbaharu di tapak kerja di Stesen LRT Gombak di mana bangunan tempat meletak kereta bertingkat yang sedang dalam pembinaan di Taman Melati runtuh pada 23 Mei 2019.

Ini satu penunjuk keadaan yang menyedihkan berhubung penguatkuasaan oleh JKKP dan menimbulkan persoalan sama ada JKKP masih relevan.

Sebahagian besar kerja pembinaan yang sedang berjalan di negara ini dan merupakan penyumbang utama kepada ekonomi, malangnya keselamatan pekerja (terutama sekali buruh kasar) tidak diberikan apa yang sepatutnya diterima mereka. Ia seolah-olah nyawa mereka begitu murah sekali.

CAP telah menjalankan beberapa tinjauan di tapak pembinaan dan mendapati pekerja tidak memakai pakaian keselamatan seperti topi keselamatan, abah-abah keselamatan atau peralatan perlindungan daripada jatuh (apabila bekerja melebihi 6 kaki), jaket keselamatan, sarung tangan dan alat perlindungan pendengaran. Siapakah yang perlu dipersalahkan bagi ketidakpatuhan terhadap aspek keselamatan di tapak kerja; sama ada pekerja itu sendiri, majikan atau badan penguatkuasa?

JKKP jelas percaya bahawa dengan meletakkan notis “UTAMAKAN KESELAMATAN” di tapak kerja membebaskan JKKP dan pemaju daripada liabiliti bagi kemalangan yang mengakibatkan kecederaan dan kematian.

Akta Keselamatan dan Pekerjaan menjadikan majikan bertanggungjawab bagi memastikan tapak kerja selamat dan menjadikan JKKP bertanggungjawab untuk menguatkuasakan Akta itu. Kematian 711 pekerja pada 2017 merupakan angka yang amat mengejutkan dan memalukan. Ia bermaksud mereka dalam industri pembinaan tidak menghormati undang-undang kerana mereka tidak takut dengan undang-undang dan ini disebabkan penguatkuasaan undang-undang yang tidak profesional.

JKKP berkata projek berharga lebih RM20 juta adalah “kawalan sendiri”. Ini bermakna pemaju projek dikehendaki mengupah pakar keselamatan mereka sendiri untuk memastikan keselamatan pekerja di tapak mereka dan JKKP tidak memeriksa tapak ini. Ia hanya memeriksa tapak kerja projek yang berharga lebih daripada RM20 juta.

JKKP salah untuk memikirkan bahawa projek “kawalan sendiri” tidak perlu diaudit. Adakah keselamatan dikompromi memandangkan ia mungkin menelan kos yang lebih untuk meletakkan semua langkah keselamatan yang diperlukan di bawah undang-undang berbanding membayar pampasan bagi nyawa dan anggota buruh kasar? Kenapa JKKP fikir bahawa tidak perlu untuk memeriksa kerja perunding keselamatan di tapak projek yang besar ini?

Dalam dua kes tanah runtuh yang besar di Tanjung Bungah dan Bukit Kukus, Pulau Pinang, JKKP mendedahkan bahawa kontraktor tidak mematuhi dengan standard keselamatan sepertimana yang diperlukan oleh undang-undang dan kecuaian itu seterusnya mengakibatkan kematian lebih daripada 20 pekerja dalam kes itu.

Pemerhatian CAP terhadap projek lain yang sedang berjalan di bahagian pulau dan tanah besar juga mendedahkan bahawa ramai pekerja tidak memakai pakaian keselamatan seperti topi keselamatan, abah-abah keselamatan ketika bekerja di bangunan tinggi. Paling mengejutkan, tiada penyelia di tapak kerja untuk memantau sama ada pekerja mematuhi dengan keperluan keselamatan.

Mengambil tindakan hanya selepas kemalangan besar berlaku dan setelah berlaku kematian bukanlah menyenangkan keluarga mangsa. Perunding yang tidak patuh perlu dibatalkan pendaftaran supaya dapat menyampaikan mesej yang kuat bahawa ketidakcekapan dan kecuaian tidak boleh diterima.

JKKP mendakwa bahawa ia mengamalkan profesionalisme yang tinggi dalam menjalankan tugasnya kelihatan amat dangkal. Ia menyatakan bahawa mereka menjalankan pemeriksaan mengejut di tapak kerja dan pada masa yang sama mengeluh bahawa para pegawainya tidak dapat berada di tapak kerja pada setiap masa. Keluhan JKKP itu sendiri menyuarakan “profesionalisme”nya. Jika ia profesional, ia perlu ditakuti oleh industri pembinaan bangunan sehingga tiada siapa yang sanggup untuk melanggar sebarang peraturan keselamatan tanpa kehadiran pegawai JKKP yang berterusan di tapak kerja. Sehingga dan melainkan JKKP mula menguatkuasakan undang-undang dengan lebih tegas dalam cara di luar kotak, JKKP tidak boleh mendakwa melaksanakan profesionalisme yang tinggi dalam peraturan kerjanya.

CAP menyarankan perkara berikut bagi menambahbaik keselamatan di tapak kerja:-

· Bagi setiap tapak kerja, mestilah terdapat seorang perunding dedikasi yang menjaga keselamatan secara keseluruhannya. Mereka ini mestilah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang kemalangan yang boleh dielakkan yang berlaku di tapak kerja.

· JKKP mestilah menjalankan pemeriksaan mengejut (tidak diumumkan) di semua tapak kerja, termasuk apa yang dipanggil “kawalan sendiri).

· JKKP tidak memerlukan ramai anggota untuk menguatkuasakan undang-undang. Ia perlu untuk menguatkuasakan undang-undang dalam cara yang akan mendidik semua orang dalam industri pembinaan dengan lebih berkesan, iaitu sebagai ganti menasihati dan merayu mereka yang melakukan kesalahan supaya mematuhi undang-undang dan peraturan, ia sepatutnya mengenakan denda maksimum bagi kesalahan pertama untuk menjadi pengajaran bahawa keselamatan pekerja adalah perkara yang serius.

· Seksyen XI Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan memberikan kuasa yang luas bagi menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang. Undang-undang perlu dikuatkuasakan dengan tegas. Ia tidak memberikan kuasa budi bicara untuk membiarkan sesiapa sahaja terlepas dengan begitu sahaja.

· Hukuman denda RM50,000 pada masa kini dan penjara tidak lebih 2 tahun tidak mencukupi dan oleh sebab itu ia tidak mencegah sepenuhnya. Pada hakikatnya, hukuman yang ringan hanya menggalakkan pelanggaran undang-undang memandangkan ia lebih murah untuk berbuat demikian berbanding untuk mematuhi undang-undang. Denda mestilah dinaikkan kepada tidak lebih daripada 10% daripada kos projek atau tidak kurang daripada 2 tahun penjara atau majikan yang tidak bertanggungjawab perlu dikenakan hukuman di bawah Kanun Keseksaan kerana membunuh dalam kes kematian.

· JKKP perlu menjalankan pemeriksaan susulan di tapak kerja selepas kontraktor atau pemaju dikenakan perintah henti kerja. Dalam kes tanah runtuh di Bukit Kukus, didedahkan bahawa perintah henti kerja telah dikeluarkan tetapi pemaju tidak mematuhinya. JKKP perlu meneliti sebarang pencabulan perintah henti kerja dan mengambil tindakan segera terhadap pemaju.

· Pihak yang bersalah perlu didakwa di mahkamah dan dikenakan hukuman yang setimpal untuk memberikan pengajaran kepada industri itu.

Kami menggesa JKKP supaya mengambil pendirian yang tegas terhadap pemaju atau kontraktor yang menyeleweng bagi mencegah kemalangan di tapak kerja. JKKP perlu mengambil langkah segera untuk memperbetulkan masalah yang membarah ini yang menjejaskan mereka yang membantu untuk membina negara ini.

 

Kenyataan Akhbar, 24 Mei 2019

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt