Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Jangan Lepaskan Nyamuk GM

Kami merasa amat bimbang berhubung laporan The Star, 17 Januari 2012, ‘GM mozzies in populated areas’. Cadangan Kementerian Kesihatan untuk melepaskan nyamuk ubah suai genetik (GM) di kawasan berpenduduk menimbulkan lebih banyak persoalan dan kebimbangan berbanding pelepasan yang menjadi kontroversi di kawasan yang tidak didiami yang dilakukan pada Disember 2010, memandangkan manusia akan terjejas secara langsung oleh sebarang kesan sampingan nyamuk GM.

Kami merasa hairan bagaimana “pelepasan nyamuk GM di kawasan tidak berpenduduk telah terbukti berjaya dalam mengurangkan bilangan nyamuk Aedes aegypti” apabila ujian itu tidak mengkaji sama ada terdapat sebarang penumpasan bilangannya – mereka hanya mengukur sejauhmana nyamuk GM ini boleh terbang dan berapa lama ia boleh hidup. Dalam sebarang kes, bilangan yang dilepaskan adalah terlalu kecil untuk menguji pengurangan bilangan nyamuk.

Walau bagaimanapun, matlamat utama untuk mengurangkan bilangan nyamuk Aedes mungkin gagal. Beberapa pertubuhan masyarakat awam mendedahkan kepada umum maklumat yang menunjukkan anak nyamuk GM mempunyai kadar kelangsungan hidup 15 peratus dalam kehadiran paras rendah antibiotik tetracycline. Ini membimbangkan kerana kemungkinan nyamuk GM hidup dan membiak, menghasilkan bilangan nyamuk GM dewasa termasuk nyamuk GM betina yang boleh menggigit dan menyebarkan penyakit.

Kegagalan teknologi membendung pencemaran tetracycline boleh membawa kepada lantulan dalam kes penyakit, dan gigitan nyamuk GM betina mungkin menyebabkan kesan tidak diketahui ke atas kesihatan manusia seperti alergi. Implikasi ekologi nyamuk GM hidup dan membiak juga tidak diketahui.

Antibiotik tetracycline digunakan dengan meluas dalam pertanian dan hadir dalam kumbahan serta dalam industri ternakan daging. Di sebalik kepercayaan umum bahawa nyamuk Aedes hanya membiak di dalam air bersih, kajian saintifik menunjukkan nyamuk ini juga diketahui membiak dalam persekitaran tercemar dengan kumbahan di mana ia dapat mengatasi pencemaran meluas tetracycline.

Meskipun tanpa pencemaran tetracycline, nyamuk GM diketahui boleh hidup dalam makmal pada kadar sekitar 3 peratus. Di lapangan, ia boleh diterjemahkan kepada bilangan yang hidup yang lebih besar, dengan itu pelepasan berjuta nyamuk GM yang berterusan diperlukan untuk mengekalkan matlamat mengurangkan bilangan nyamuk.

Denggi merupakan masalah yang amat serius di Malaysia dan kami amat prihatin mengenai keperluan untuk menangani penyakit ini. Kami menyedari alternatif lain yang lebih murah, selamat dan berkesan yang wujud. Contohnya, program berasaskan komuniti yang menghapuskan kawasan pembiakan denggi seperti program COMBI di bawah Kementerian Kesihatan, sudahpun menunjukkan hasil yang cemerlang dan berjaya mengurangkan penyebaran denggi di Malaysia.  

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt