Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Insurans Tanpa Kesalahan

KEBAIKAN Skim Liabiliti Tanpa Kesalahan

• Orang ramai mendapat manfaat daripada kos pengurusan yang rendah.

• Perlindungan penuh bagi semua termasuk mangsa langgar lari.

• Pampasan segera kepada mangsa kemalangan.

• Rawatan perubatan segera kerana NFL menjamin bayaran hospital.

• Kes mahkamah berkurang, kecekapan mahkamah meningkat dan wang rakyat dapat dijimatkan.

• Tiada bayaran guaman.

• Polis boleh menumpukan perhatian kepada jenayah kerana tidak lagi dibebani dengan kes kemalangan.

Rangka Perlindungan Asas Kenderaan oleh Bank Negara: Di mana silapnya dan apa alternatifnya

Bank Negara Malaysia (BNM) meminta orang ramai memberi pandangan mengenai Faedah Kematian dan Kecederaan Tubuh Pihak Ketiga (TPBID) yang dicadangkannya, yang bakal menggantikan insurans kenderaan pihak ketiga. Berikut adalah ulasan yang diserahkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang kepada BNM.

1. Masalah dan isu membabitkan skim semasa yang dikenal pasti oleh BNM

• Sukar membaharui perlindungan insurans pihak ketiga, terutama yang membabitkan kenderaan lama dan komersial.

•  Proses pembayaran penyelesaian memakan masa yang lama.

• Premium yang tidak disemak semula sejak 1978.

• Pihak insurans enggan menawarkan perlindungan insurans pihak ketiga kerana premium tidak mencukupi.

• Mangsa kemalangan menanggung risiko tidak mendapat pampasan atau jumlahnya terlalu sedikit..

2.Masalah dan isu membabitkan skim semasa yang dikenal pasti oleh CAP   

• Kelewatan dalam bayaran tuntutan.

• Proses mahkamah yang panjang dan licik.

• Pihak insurans enggan menyelesaikan kes-kes yang jelas, dan melewatkan bayaran tuntutan.

• Birokrasi dalam mendapatkan dokumen sokongan dari pihak polis, hospital dan sebagainya.

• Pihak insurans enggan menawarkan perlindungan insurans pihak ketiga tanpa ‘loading’ dan lain-lain bayaran.

• Kebocoran dalam bentuk tuntutan lebih besar oleh bengkel, penggantian alat ganti tiruan atau bermutu rendah.

• Sejumlah besar bayaran premium menjadi habuan syarikat insurans dan peguam, bukannya mangsa.

• Kegagalan mendapatkan penjagaan dan pemulihan sepanjang hayat bagi mangsa dengan kecederaan yang serius.

3. Meneliti masalah sistem semasa

Tidak dinafikan sistem pembayaran pampasan kepada mangsa kemalangan kenderaan (MVAs) tidak berjaya terutama kerana gagal memberikan bantuan secukupnya kepada mangsa terbabit.

Sistem yang terdapat sekarang adalah berdasarkan prinsip Keadilan untuk Membetulkan Keadaan. Jika anda bersalah, anda harus membayar pampasan untuk kecederaan diri atau sebarang kerugian lain akibat kemalangan kenderaan yang akan diselesaikan di mahkamah. Pampasan dibayar oleh syarikat insurans dengan menggunakan dana  premium yang dibayar di bawah polisi insurans risiko pihak ketiga yang diwajibkan.

Dalam litigasi berdasarkan kesalahan, bukan semua mangsa yang terlibat dalam kemalangan mendapat pampasan. Tidak kira seberat mana kecederaan dialami atau kerugian yang ditanggung, pihak yang membuat tuntutan terpaksa menunggu lama dan  mengeluarkan wang yang banyak sebelum mendapat wang pampasan. Kelewatan sebegini menyebabkan ramai mangsa tidak berupaya kembali bekerja dengan segera.

Selain itu terdapat kesukaran dan ketidakpastian yang ditanggung oleh mangsa dalam membuktikan liabiliti dan kerugian. Dalam perkara ini mangsa menderita walaupun ia mungkin tidak bersalah.

Begitu juga tidak ada garis panduan bagi pampasan atas kerugian dalam kategori tertentu seperti mereka yang menderita kesakitan. Bayaran pampasan berbeza antara kes.

Penjagaan dan pemulihan yang perlu untuk mangsa dengan kecederaan serius juga tidak  dikemukakan dengan secukupnya di bawah sistem semasa. Apa yang ada hanyalah bayaran sekali gus, yang jelas digerakkan ke arah sekadar membayar biaya perubatan dan bukannya ke arah membantu mangsa yang tercedera dalam jangka panjang.

Tambahan pula, memandangkan ia bukan skim komprehensif, ia tidak berurusan dengan strategi pencegahan kemalangan. Jabatan Keselamatan Jalan Raya telah berusaha tetapi kadar kemalangan dan kematian masih belum berkurang.

Terdapat persoalan ke mana perginya premium insurans dan berapa banyak pulangannya. Mengikut tinjauan kami bagi setiap premium RM1, tidak sampai 50 sen kembali kepada mangsa. Separuh lagi untuk komisen (11%), perbelanjaan pengurusan (20%), keuntungan dan kos guaman.

Sistem yang ada sekarang memang tidak boleh diterima. Syarikat-syarikat insurans berkata mereka tidak boleh mengurusnya lagi. Seperti yang ditegaskan oleh Bank Negara, banyak syarikat insurans enggan menawarkan perlindungan insurans pihak ketiga, dan ramai yang terpaksa mengambil insurans kenderaan mereka dari MMIP yang jauh lebih mahal. Ramai juga yang tidak menginsurans langsung kenderaan mereka. Oleh itu keadaan mereka yang tidak dilindungi hanya membahayakan diri mereka sendiri.

4. Adakah skim TPBID cadangan Bank Negara mampu menangani semua isu yang diutarakan?

Jawapannya sudah pasti TIDAK! Skim yang dicadangkan oleh Bank Negara tidak banyak bezanya daripada sistem semasa. Ia memberi tumpuan kepada:

• Memastikan semua orang memiliki perlindungan insurans asas.

• Pampasan kepada mangsa apabila pihak satu lagi terbukti bersalah.

• Simpanan bagi perniagaan insurans.

Nampaknya masalah yang dikaitkan dengan dakwaan TPBID menjurus kepada prinsip di sebalik skim semasa dan skim baru yang disarankan itu – kedua-duanya merupakan skim yang membabikan pembuktian kesalahan. Dalam skim berasaskan kesalahan, fokus keseluruhan ialah dalam menentukan pihak yang bersalah. Masa, usaha dan perbelanjaan tertumpu ke arah tersebut di mana ia masih akan membabitkan kelewatan, birokrasi dan isu, sama seperti skim semasa.

Bank Negara tidak memberikan penyelesaian yang menyeluruh kepada masalah sedia ada, iaitu jalan keluar yang dapat menjamin semua orang dilindungi di bawah skim tersebut, bukan saja pampasan malah penjagaan dan pemuliharan sepanjang hayat bagi mangsa dengan kecederaan serius dan membabitkan strategi pencegahan kemalangan.

Jika kita melihat saja kepada cadangan RM2 juta siling  bagi tuntutan di bawah skim baru itu, banyak perkara boleh dipertikaikan.

• Angka ini mengelirukan dan apa yang perlu diketahui ialah tuntutan berbeza antara satu individu dengan yang lain misalnya hilang punca pendapatan, kerosakan umum, penjagaan ketika sakit, kos perubatan dan sebagainya. Ada kemungkinan kemampuan individu lebih rendah. Kes-kes di mana individu membuat tuntutan dari semua cawangan adalah sedikit dan agak berjauhan. Bagi segala kemungkinan, jumlah RM2 juta tidak mungkin akan dibayar dalam sebarang tuntutan.

• Bank Negara berkata, 90% daripada jumlah tuntutan adalah di bawah RM2 juta. Skim insurans mesti melindungi semua pihak, dan bukan 90% daripada penduduk. Apa yang berlaku kepada 10% yang mungkin berada di luar batasan RM2 juta itu?

• Jika tuntutan seseorang, atau lebih tepat lagi jika jumlah yang dibayar kepada orang yang membuat tuntutan lebih daripada jumlah yang ditetapkan, adakah ini bermakna pihak yang menuntut boleh meminta pihak mahkamah mengarahkan pihak satu lagi membayar bakinya? Jika ya, ia akan jelas bercanggah dengan matlamat pembaikan.

5. Cadangan CAP

KEBAIKAN Skim Liabiliti Tanpa Kesalahan

1. Orang ramai mendapat manfaat daripada kos pengurusan yang rendah.

2. Perlindungan penuh bagi semua termasuk mangsa langgar lari.

3. Pampasan segera kepada mangsa kemalangan.

4. Rawatan perubatan segera kerana NFL menjamin bayaran hospital.

5. Kes mahkamah berkurang, kecekapan mahkamah meningkat dan wang rakyat dapat dijimatkan.

6. Tiada bayaran guaman.

7. Polis boleh menumpukan perhatian kepada jenayah kerana tidak lagi dibebani dengan kes kemalangan.

Kami berasa yakin sehubungan dengan kelemahan serius dalam sistem insurans semasa, dan dalam cadangan yang dikemukakan oleh Bank Negara, keseluruhan skim tanpa kesalahan perlu dimansuhkan. Begitu banyak masa yang berharga wang dan tenaga dibazirkan semata-mata untuk menentukan siapa yang benar dan siapa yang bersalah.

CAP percaya  rombakan semula sistem semasa untuk pampasan bagi mangsa kemalangan kenderaan dan pengenalasan Sistem Tanpa Kesalahan dalam cara di mana keadilan dan kesamarataan boleh dicapai bagi semua mangsa yang mengalami kecederaan atau akibat kemalangan jalan raya.

CAP telah menyerahkan memorandum mengenai cadangan kami bagi sistem tanpa kesalahan kepada Bank Negara dan kami berpegang teguh dengan pendirian ini.

Cadangan mengenai insurans tanpa kesalahan ini sebenarnya telah lama dibuat sebelumnya:

• Pada tahun 1995, Allahyarham Tan Sri Dato’ Harun Hashim, mantan hakim Mahkamah Agung, mencadangkan pengenalan skim tanpa kesalahan untuk membuat tuntutan berhubung kecederaan tubuh dan kematian akibat kemalangan kenderaan.

• Pada Ogos 2007, Pejabat Peguam Negara mengeluarkan Kertas Cadangan Awal yang mencadangkan Skim Liabiliti Tanpa Kesalahan (NFL) diperkenalkan. Sehingga ke hari ini masih belum kelihatan hasilnya.

Bagaimanapun terdapat satu cadangan yang menampakkan kejayaan. Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) 1971 di bawah Kementerian Sumber Manusia untuk melaksana dan mentadbir skim keselamatan sosial di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 iaitu Skim Insurans Kecederaan Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat. Di bawah skim ini, pekerja dilindungi jika terbabit dalam kemalangan ketika bekerja, menghidap penyakit ketika bekerja, hilang upaya atau kematian disebabkan apa juga puncanya. Pada hakikatnya skim PERKESO ialah skim tanpa kesalahan yang memberikan pampasan kepada pekerja yang tercedera ketika bekerja.

Oleh itu pada pendapat kami, tidak perlu dibincangkan lagi mengenai kehebatan setiap skim. Apa yang kita benar-benar perlukan sekarang ialah tindakan ke arah pelaksanaan Skim Insurans Tanpa Kesalahan di Malaysia.

6. Cadangan CAP bagi skim liabiliti tanpa kesalahan

Cadangan kami adalah berdasarkan prinsip-prinsip yang berikut:

• Pampasan yang cukup, cepat dan cekap untuk mangsa kemalangan kenderaan tanpa memerlukan litigasi atau penyelesaian pertikaian berhubung isu kesalahan.

• Pemulihan dan penjagaan sepanjang hayat untuk mangsa dengan kecederaan serius dan sokongan untuk tanggungan simati.

• Strategi pencegahan kemalangan yang berkesan.

• Kos pengurusan yang rendah supaya lebih banyak dana diperolehi untuk mangsa kemalangan jalan raya.

Di dalam memorandum CAP mencadangkan agar Malaysia mencontohi model yang dilaksanakan di Victoria, Australia, yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Kemalangan Pengangkutan.

Pengurusan

Satu undang-undang yang khusus perlu dilaksanakan untuk memantau skim ini dengan menyediakan semua perkara yang berkaitan dengannya. Sebuah perbadanan atau badan statutori milik negeri yang seakan-akan sama dengan PERKESO perlu dibentuk untuk mengendalikan keseluruhan skim tanpa kesalahan. Sebuah perbadanan adalah lebih baik daripada agensi kerajaan. Walaupun yang pertama itu akan membabitkan pelbagai birokrasi, yang kedua pula boleh beroperasi secara bebas dan mampu menjadi entiti yang boleh mengaut untung dalam jangka panjang. Pada masa yang sama, oleh kerana menjadi milik kerajaan sepenuhnya, ia dijangka memberi keutamaan kepada keselamatan sosial dan matlamat utama skim itu dibentuk, dan bukannya mengaut untung semata-mata.

CAP bersetuju jika kerajaan turut campur tangan dan itulah yang dicadangkan oleh CAP bagi skim tanpa kesalahan. Industri insurans telah dibiarkan mengendalikannya sejak sekian lama hingga kini orang ramai dan kerajaan terpaksa memikul bebannya. Tidak ada sebabnya syarikat insurans membabitkan diri dalam perlindungan kenderaan bermotor. Jika diteliti skim tanpa kesalahan di Australia dan New Zealand, kita dapat melihat yang syarikat insurans tidak terbabit sama sekali.

PERKESO mula-mula dibentuk sebagai jabatan kerajaan pada tahun 1971. Kemudian pada tahun 1985, ia menjadi badan statutori.

Sama seperti TAC, hanya garis luar awal datangnya dari kerajaan dan perbadanan baru itu perlu beroperasi atas premium dan pelaburan.

CAP sentiasa menegaskan PERKESO adalah contoh yang baik bagaimana perbadanan milik kerajaan sepatutntya beroperasi. Laporan Aktiviti PERKESO 2007 menyebut PERKESO mempunyai aset lebih RM15 bilion. Pertambahan dalam pelaburan 2007 dijangka meningkat dalam dana keseluruhan PERKESO dan pulangan positif bagi pelaburan.

Dana

Dana atau pembiayaan bagi skim tanpa kesalahan boleh diperolehi daripada premium insurans pihak ketiga. Oleh kerana yuran perundangan dan pentadbiran syarikat insurans boleh dijangka akan menurun kerana tidak lagi ada keperluan untuk membuktikan kesalahan dan komisen kepada ejen, premium sedia ada mungkin memadai.

Tambahan pula, ia mungkin tidak membebankan untuk meminta pemandu menyumbang kepada skim berkenaan kerana bayaran akan dibuat bersama-sama bayaran untuk pendaftaran kenderaan atau pembaharuan lesen memandu. CAP telah menyarankan purata kadar rata sebanyak RM50 setahun. Malah Allahyarham Tan Sri Dato’Harun Hashim sendiri menyarankan kadar sebanyak itu pada tahun 1995.

Resit dan pengurusan pembayaran boleh mencontohi PERKESO melalui bank atau pejabat pos atau agen-agen lain yang bertauliah.

Tambahan pula, biaya juga boleh diperolehi daripada PERKESO. Memandangkan PERKESO menguruskan kes-kes tuntutan pekerja bagi kecederaan ketika bekerja termasuk pergi dan balik dari tempat kerja, mungkin terdapat pertindihan di mana pekerja menderitai kecederaan dalam kemalangan kenderaan ketika bekerja. Kami menyarankan agar semua kes kecederaan akibat MVA dimasukkan ke bawah bidang kuasa skim NFL, termasuk yang ketika ini dilindungi oleh PERKESO. Justeru, sebahagian daripada caruman majikan dan pekerja kepada PERKESO boleh diagihkan kepada skim NFL.

Pada peringkat awal, perbelanjaan awal perlu datang dari Kerajaan. Namun begitu, perbadanan statutori kemudian boleh mendapatkan dana daripada pulangan pelaburan atas simpanan.

Skim NFL boleh menjimatkan masa dan wang kerana kes-kes kemalangan tidak lagi dibawa ke mahkamah dan mangsa yang terlibat tidak menghadapi kelewatan pembayaran daripada syarikat insurans. Kerajaan dan syarikat insurans juga tidak perlu keluarkan wang yang banyak bagi faedah ke atas jumlah pertimbangan, yang biasanya berlaku apabila kelewatan berlaku.

Untuk memastikan kebolehlaksanaan skim itu dalam jangka panjang, perlu ada semakan berkala ke atas kadar skim berkenaan selain skala keuntungan berdasarkan hilang pengalaman dan kadar inflasi.

6.3 Keselamatan Jalan Raya dan Mencegah Kemalangan

Skim tanpa kesalahan akan menjadi sia-sia jika langkah-langkah berkesan tidak diambil untuk menggalakkan pemanduan yang selamat di jalan raya dan cara-cara mengelak kemalangan. Dalam konteks Malaysia, ini termasuklah mengubah cara berfikir, kerana secara umumnya sejumlah besar pemandu di Malaysia (dan pejalan kaki) tidak mengambil kisah tentang keperluan, peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya.

Kempen-kempen untuk menggalakkan keselamatan jalan raya mungkin belum cukup berkesan; justeru kempen dan penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas perlu dijalankan demi memastikan kemalangan jalan raya dapat dicegah atau dikurangkan.

Melihat kepada Laporan Aktiviti PERKESO 2007 akan menunjukkan jumlah kemalangan yang dilaporkan sepanjang 2007 telah menurun sebanyak 3.4%. Ini berikutan inisiatif yang diambil untuk mengurangkan  jumlah kemalangan misalnya dengan mengadakan seminar, kempen, pemeriksaan berkala dan penguatkuasaan, bekerjasama dengan badan-badan kerajaan, persatuan majikan dan kesatuan sekerja untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Pencegahan kemalangan menjadi kunci kejayaan pelaksanaan skim tanpa kesalahan, yang bukan saja telah diperakui oleh PERKESO malah TAC di Victoria, Australia. Sehubungan itu, kempen-kempen yang diadakan perlu memberi tumpuan ke arah memberi kesedaran dan perubahan tingkah laku,  dengan usaha untuk mengurangkan kemalangan jalan raya dan kecederaan.

6.4 Kebolehlaksanaan skim tanpa kesalahan

Apabila skim bayaran pampasan kemalangan di bawah TAC diperkenalkan pada 1987, keberkesanannya jelas dapat dilihat – terdapat peningkatan kebolehlaksanaan dan kecairan dan antara lain, jumlah tuntutan dikurangkan.

Skim pampasan kemalangan telah dan terus menunjukkan kejayaan kerana ia memberi tumpuan kepada

• Pencegahan kemalangan dan pengurangan kekerapan membuat tuntutan.

• Pengurusan dakwaan yang berkesan dengan kesihatan dan sokongan perundangan dan pemulihan.

• Pengurusan kewangan dan pelaburan yang cekap.

Mencegah kemalangan menjadi kunci kebolehlaksanaan skim itu dalam jangka panjang. Terdapat penurunan lebih 38,000 tuntutan dalam tempoh 10 tahun dengan simpanan melebihi AUD$1 bilion. Kematian di jalan raya sekitar Victoria juga turun secara dramatik, daripada sejumlah 776 yang dilaporkan pada 1987 kepada 337 pada 2006.

Perkara ini boleh menjadi kenyataan jika keadaan jalan raya diperbaiki selain kempen-kempen keselamatan jalan raya yang bersungguh-sungguh dilaksanakan.

Kebolehlaksanaan skim itu dalam jangka panjang juga bergantung kepada pemberian perkhidmatan yang baik kepada mangsa yang terselamat dalam kemalangan – khidmat bukan saja bermakna pembayaran pampasan, malah memberikan penjagaan sewajarnya kepada mangsa kemalangan agar sihat dan boleh bekerja semula dan berdikari.

7. Isu khusus yang dibangkitkan oleh Bank Negara

Dalam perenggan berikutnya, kita akan meneliti isu-isu yang dibangkitkan dalam kertas Perbincangan Bank Negara dan memberikan maklum balas kami bagaimana skim tanpa kesalahan mampu menyelesaikan isu-isu ini, berbanding pembaharuan separuh yang dicadangkan.

ISU: Akses kurang lengkap kepada perlindungan insurans pihak ketiga; sebahagian besar mendapatkannya dari MMIP; banyak syarikat insurans bersikap selektif ketika menawarkan perlindungan insurans pihak ketiga; banyak kenderaan tidak dilindungi.

MAKLUM BALAS DARI CAP

Dalam  Skim Liabiliti Tanpa Kesalahan yang dicadangkan oleh CAP, semua kenderaan yang berdaftar di Malaysia mesti dilindungi selagi kemalangan berlaku di Malaysia. Faedah perlu dibayar kepada mangsa yang tercedera dalam kemalangan sebagai pemandu, penumpang, pejalan kaki, penunggang motosikal, pembonceng atau penunggang basikal.

Justeru itu tidak timbul lagi sebarang isu mengenai kenderaan yang tidak berdaftar. Masalah pembayaran komisen dan sebagainya kepada agen-agen juga tidak timbul.

Berhubung tarif yang tidak disemak semula, kami menyarankan agar tarif sedia ada dikekalkan. Sebagai tambahan, setiap kenderaan berdaftar dikehendaki membayar RM50 setahun bersama-sama dengan pendaftaran kenderaan. Wang itu akan disalurkan kepada perbadanan yang menguruskan skim tanpa kesalahan. Jika kita mempunyai 18 juta kenderaan di jalan raya, ini akan membawa masuk tambahan sebanyak RM900 juta.

ISU; Proses penyelesaian tuntutan yang lama membabitkan beberapa pihak. Di antara 1 hingga 3 tahun. Alasan kelewatan – ambil masa untuk mendapatkan dokumen, memprosesnya,  membayar tuntutan yang munasabah, pertikaian, kes mahkamah.

MAKLUM BALAS DARI CAP:

Melalui skim liabiliti tanpa kesalahan, mula-mula tidak akan wujud keperluan untuk menentukan kesalahan. Akibatnya, proses pengumpulan maklumat menjadi kurang rumit. Kemungkinan orang menggunakan proses-proses rasmi untuk mendapatkan laporan yang menguntungkan pihak mereka akan berkurang dengan banyaknya. Pihak ketiga dan agen juga akan kurang berpeluang campur tangan.

Bagi skim liabliti tanpa kesalahan yang dicadangkan oleh CAP, perbadanan atau badan yang mengendalikan skim itu perlu menyiasat dan mengesahkan tuntutan, mendapatkan pampasan dan cara bayaran dibuat. Tidak ada lagi keperluan untuk peguam dan pihak  seumpamanya, kecuali kakitangan perundangan dan bantuan teknikal.

Seperti yang ditunjukkan melalui PIAGAM PERKESO, ia berhasrat membayar

• Faedah  Hilang Upaya Sementara kepada pekerja yang tercedera dalam masa 7 hari selepas menerima dokumen dan maklumat yang lengkap.

• Faedah Hilang Upaya Kekal kepada pekerja yang tercedera dalam masa 14 hari selepas menerima dokumen dan maklumat yang lengkap.

• Faedah Tanggungan kepada tanggungan mangsa dalam masa 14 hari selepas menerima dokumen dan maklumat yang lengkap.

• Faedah Pengkebumian kepada pewaris yang layak dalam masa 3 hari selepas menerima dokumen dan maklumat yang lengkap.

• Pencen Hilang Upaya kepada pekerja yang layak dalam masa 14 hari selepas menerima dokumen dan maklumat yang lengkap.

• Pencen saraan kepada penanggung dalam masa 14 hari selepas menerima dokumen dan maklumat yang lengkap.

Kesemua ini merupakan sasaran yang baik di mana skim tanpa kesalahan berupaya  malah boleh mencontohinya kerana tidak perlu membuktikan kesalahan.

ISU: PREMIUM TIDAK MENCUKUPI – NISBAH TUNTUTAN TINGGI

Bank Negara telah mengenal pasti dua alasan bagi peningkatan nisbah tuntutan – peningkatan kadar kemalangan dan kebocoran. Apakah yang telah dilakukan untuk menangani isu ini?

Kebocoran dalam sistem tersebut mesti diketengahkan. Budaya untuk mengaut keuntungan dengan cepat serta penguatkuasaan yang lemah telah mengakibatkan keadaan di mana syarikat insurans mendakwa mereka mengalami kerugian.

CAP menegaskan birokrasi mesti dipotong, kebocoran dikenal pasti dan diketepikan dan prosesnya menjadi telus. Dalam cadangan CAP berhubung skim tanpa kesalahan, perbadanan yang mengendalikan skim ini akan menggaji pengubahsuainya sendiri, penasihat guaman untuk meneliti tuntutan dan laporan. Perbelanjaan dan komisen akan menjadi perkara lalu.

Statistik Industri Insurans Tahunan 2009 menunjukkan sejumlah 30% premium diperolehi daripada komisen dan perbelanjaan pengurusan. Kadar ini amat tinggi.

Sebaliknya jika diteliti Laporan Aktiviti Tahunan 2007 PERKESO, didapati akaun perbelanjaan Pentadbiran hanya 9.15% pada 2006 dan 9.79% pada 2007 daripada keseluruhan caruman majikan dan pekerja.

Nisbah tuntutan yang tinggi juga boleh dikurangkan jika kemalangan dikurangkan, keselamatan jalan raya diperbaiki dan jumlah mereka yang membuat tuntutan berkurangan. Tetapi itu tidak boleh dicapai menerusi sistem semasa.

8. Kebaikan sistem NFL

Terdapat beberapa kebaikan untuk menggantikan sistem semasa dengan skim NFL, yang sama dengan cadangan kami dalam memorandum kami dan penjelasan di atas.

• Faedah kepada orang awam amat banyak kerana mereka yang terlibat dalam kemalangan  kenderaan akan mendapat bayaran segera tanpa kelewatan dan kekacauan berikutan saman sivil.

• Mereka yang terlibat juga akan mendapat rawatan perubatan dengan segera terutama kerana hospital mendapat jaminan pembayaran di bawah skim itu.

• Kos kepada orang awam tidak akan membebankan kerana kemudahan dan keberkesanan skim NFL.

• Kemudahan mendapatkan dana untuk membuat pembayaran akan dijamin di bawah undang-undang misalnya statut yang mengawalnya.

• Terdapat perlindungan sepenuhnya bagi semua mangsa kemalangan kenderaan termasuk kemalangan langgar lari.

• Kes-kes lapuk yang masih tertangguh di mahkamah akan dikurangkan dan kos kepada orang awam daripada penggunaan masa dan sumber mahkamah akan dijimatkan.

• Orang awam akan berjimat dari sudut bayaran guaman.

• Syarikat insurans tidak lagi perlu mengetepikan dana untuk membayar tuntutan bagi kecederaan peribadi atau kematian bagi tempoh sehingga 6 tahun.

• Polis tidak lagi perlu menunjukkan bukti untuk menyokong saman sivil antara pihak-pihak yang terlibat, dan siasatan mereka akan terbatas kepada mengumpulkan bukti bagi menjatuhkan dakwaan jenayah terhadap pemandu yang melakukan kesalahan saja.

9. KESIMPULAN

CAP mengulangi gesaannya bahawa sudah tiba masanya bagi mendapatkan skim pampasan kemalangan di negara ini. Skim tanpa kesalahan adalah sistem paling sesuai dilaksanakan di Malaysia kerana hakikatnya ia telah dilaksanakan di banyak negara yang progresif.

Malaysia sendiri telah melaksanakan skim tanpa kesalahan selama lebih 40 tahun melalui skim PERKESO. Justeru itu sokongan sumber manusia dan teknikal tidak seharusnya menjadi masalah kerana ia sudah sedia ada. Tidak ada gunanya untuk menimbangkan sistem lain. Kerajaan sepatutnya menerima sistem tanpa kesalahan dan melantik jawatankuasa yang berpengaruh untuk bekerja dan menubuhkan mekanisme bagi pengenalan skim ini di Malaysia.

CAP juga merayu kepada Bank Negara Malaysia supaya mengetengahkan cadangan kami kepada Kabinet. Kami berbesar hati untuk menghulurkan bantuan seandainya diperlukan oleh pihak berkuasa yang berkenaan.

 






 

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt